suria

Lain macam ‘friendship’ lelaki, 20 sahabat kumpul RM1,600 beli laptop baharu demi kawan sambung belajar... Berkat suka tolong orang!

Video seorang pemuda menerima hadiah sebuah laptop daripada rakan-rakannya mengundang sebak netizen.

TINDAKAN sekumpulan sahabat lelaki menghadiahkan sebuah komputer riba untuk salah seorang rakan mereka menyentuh hati orang ramai.

Berdasarkan video berdurasi satu minit 34 saat yang dikongsi Farhan Azman, 20, di TikTok, rata-rata netizen turut sebak tatkala melihat momen rakan mereka yang menerima hadiah berkenaan mengesat air mata.

Bercerita tentangnya, Farhan berkata rakan mereka iaitu Nazrul, 20, memerlukan komputer riba berkenaan bagi menyambung pengajian dalam jurusan Ijazah Pengajian Islam (Syariah) di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu.

Ujar Farhan lagi, laptop berharga RM1,600 itu merupakan hasil sumbangan daripada 20 orang lagi rakan-rakan lain.

“Kami tahu Nazrul dapat sambung pengajian di Unisza. Dia antara kawan paling lambat masuk universiti sebab pendapatan keluarga dia yang tak berapa mampu nak menanggung kos pengajian.

“Saya dan kawan-kawan lain buat rancangan nak kumpul duit bagi dekat dia. Tambahan pula kami dapat tahu dia baru kehilangan dompet. Kami wujudkan satu grup di WhatsApp untuk berbincang dan kumpulkan duit sebelum dia mendaftar 10 Oktober baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mahu jumpa kawan Seri Indah” - Budak 11 tahun buat ramai sebak, pilih persahabatan berbanding hadiah hari jadi

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda hiba kawan baru kenal tak sampai setahun hadiahkan helmet terpakai, rupa-rupanya ada kisah ‘mungkir janji’

“Jumlah terkumpul ialah RM1,600. Salah seorang rakan iaitu Fakhri beri RM1,000. Dia yang minta kami belikan Nazrul laptop tu. Fakhri tak dapat belikan sendiri sebab dia dah pindah sekolah sejak kami tingkatan tiga lagi,” kata Farhan kepada mStar.

Imbas Farhan, setelah menerima amanah daripada rakan-rakan, dia kemudiannya menguruskan hal pembelian laptop berjenama Lenovo itu.

Jelasnya yang berasal dari Kerian, Perak, dia membeli laptop tersebut pada 7 Oktober lalu selepas pulang dari tempat kerja.

Perbualan antara Farhan dan Fakhri ketika membuat transaksi wang.

“Saya pergi semua kedai yang menjual laptop, setelah sekian lama mencari akhirnya jumpa sebuah model yang dijual pada harga RM1,700. Lebih sedikit daripada bajet kami. Tapi saya cuba tawar menawar sampailah dapat beli dengan harga RM1,600.

“Memang rezeki Nazrul nak sambung belajar guna laptop baharu. Jadi malam tu kami pun teruskan dengan rancangan ajak dia melepak di kedai makan,” ujarnya lagi.

Hingga kini video yang dikongsikan Farhan meraih lebih 1.2 juta jumlah tontonan.

Kami tak kisah bagi barang mahal sebab Nazrul suka belanja orang dengan bayar makan minum kawan-kawan dalam diam.

FARHAN

Rata-rata netizen melahirkan rasa kagum dengan nilai persahabatan yang ditunjukkan Farhan dan rakan-rakannya terhadap Nazrul.

Dalam pada itu Farhan berkata sikap Nazrul yang baik hati serta suka membantu orang membuatkan rakan-rakan ingin membalas jasanya dengan sesuatu yang amat berguna.

“Tak sangka pula video tu boleh viral. Mungkin netizen sedih tengok Nazrul terharu sampai mengalirkan air mata, 30 minit juga dia menangis tak berhenti.

Farhan (kiri dari barisan bawah) bersama bekas rakan-rakan sekolahnya.

“Kami tak kisah nak bagi barang mahal dekat dia sebab Nazrul ni suka belanja orang. Dia akan bayar makan dan minum kawan-kawan dalam diam. Padahal dia bukanlah orang senang.

“Apa-apa pun saya dan kawan-kawan lain harap Nazrul gembira dengan pemberian tu. Semoga dia pergi ke Unisza dengan selamat dan pulang dengan kejayaan. Jangan lupa kami semua ni sahabat dunia akhirat dia,” kata Farhan lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain