suria

Pemuda terkilan tak sempat jumpa, video momen terakhir kakak bersama anak 9 bulan undang sebak - “Seperti tak nak lepaskan mak dia”

Kakak Ieman terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum pulang ke rumah ibu di Kuala Rompin, Pahang.

KEHILANGAN insan tersayang pastinya memberi impak mendalam dalam diri, lebih-lebih lagi melibatkan ahli keluarga.

Momen menerima panggilan mengenai pemergian kakak masih segar dalam ingatan pemuda berusia 22 tahun, Muhammad Nurieman Daharuddin.

Ketika menerima perkhabaran duka pada 10 September lalu, dia dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Tioman, Pahang.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Ieman berkata, kakaknya, Allahyarham Nur Natrah Daharuddin, 26, tidak sempat menyertai percutian keluarga pada tahun ini.

"Kami bercadang nak pergi bercuti satu keluarga termasuk arwah. Rancangan asalnya nak konvoi naik dua kereta dari rumah mak.

"Sebelum tu, saya dan abah pergi ke jeti untuk ambil tiket pukul 12 tengah hari kami pada awal pagi tu. Dalam perjalanan balik ke rumah, saya dapat panggilan daripada mak. Suara mak cemas suruh telefon kakak sebab tak angkat call. Saya telefon pun dia tak angkat.

"Saya minta abah telefon abang. Mula tu dia tak angkat. Lepas abang telefon abah semula, dia beritahu yang kakak dah tak ada. Abang dapat berita dulu sebab saksi pertama yang nampak arwah kemalangan tu kenal kereta dia. Dia nampak masa kereta tu bertembung," ujar Ieman.

Mengimbas kembali, Ieman memperincikan detik-detik sebelum kejadian kakaknya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawanya dan meninggalkan anak perempuan berusia sembilan bulan, Nur Airis Sofea Khuzairi.

Arwah kakak bersama anaknya.

Menurut anak keempat itu, kakaknya memandu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Hospital Kuantan ke Kuala Rompin, Pahang sejauh 30 kilometer.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kawan tak boleh tidur, kakak bacakan Yasin" - Meninggal selepas demam on-off, adik sebak terbuka Instagram arwah kakak

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak jaga macam arwah mak, adik nangis nak tinggalkan kampung! Sempat beri 'pesanan penting' sebelum naik bas

"Sebelum balik, dia sempat singgah pasar raya beli susu dan nestum anaknya. Kakak baru saja habis cuti seminggu kerana anaknya demam sebab pertama kali berjauhan dengan ibunya.

"Kalau tengok rakaman dashcam, memang nampak kereta dah bergerak ke kiri dan kanan. Kelajuan kereta kakak masa tu 80 hingga 100 kilometer sejam saja. Mungkin dia mengantuk dan penat baru pulang dari tempat kerja.

"Rakaman tu boleh nampak sampai dia melepasi selekoh saja. Masa turun dari bukit tu mungkin dia terlelap dan tertekan minyak. Lori yang datang dari arah bertentangan tak sempat nak elak menyebabkan kedua-duanya bertembung," katanya.

Kalau tengok video tu, anak kakak seperti tak nak lepaskan mak dia.

MUHAMMAD NURIEMAN

Ujar Ieman lagi, dia menangis dengan kuat hati sejurus tiba di tempat kejadian melihat keadaan kereta jenis Audi RS8 yang remuk di bahagian pemandu.

Dia yang kini menetap di Setia Alam, Selangor memberitahu, kakaknya berada dalam keadaan tidak bernyawa di lokasi kejadian.

Ieman (tiga dari kiri, baris belakang) bersama keluarga.

Bagi Ieman, dia mengakui amat terkilan dengan pemergian kakaknya kerana kali terakhir mereka bertemu adalah dua bulan sebelum tragedi itu.

Mengenai perkongsian video yang dimuat naiknya di TikTok sehingga tular, Ieman menjelaskan bahawa rakaman tersebut merupakan momen terakhir kakaknya berjumpa dengan anaknya.

"Kalau tengok video tu, anak kakak seperti tak nak lepaskan mak dia sebab nak ikut balik Kuantan. Mak cakap masa dia nak bertolak, arwah beritahu lagi 'Adik! Sabtu nanti jumpa tau. Nanti mama balik ya. Bye adik!'

"Sekarang anak arwah dijaga oleh mak. Suami arwah dah kembali bekerja seminggu lepas kakak meninggal dunia. Dia pun cuti lama jadi sama-samalah jaga dia sementara babah ada dan belum naik kapal semula waktu tu,” kata Ieman.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain