suria

Curi-curi bermalam di tangga mall, gadis ini rasa perit 11 hari jadi gelandangan... “Saya tidur secara duduk je”

Bella dihalau keluar rumah sewa dan menjadi gelandangan selama 11 hari.

SETIAP daripada kita pastinya diuji dengan pelbagai dugaan dan nasib berbeza-beza.

Adakalanya musibah yang menimpa diri membuatkan mereka merasakan seolah-olah mahu berputus asa.

Sebagaimana diceritakan oleh gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Bella, dia kehilangan tempat untuk berteduh setelah berlaku satu pertelingkahan antara penjaganya.

Ketika dihubungi mStar, gadis ini memperincikan nasib malang yang menimpanya setelah berpindah dan menetap di Putrajaya sejak tujuh tahun lalu.

“Masa saya tengah belajar online (dalam talian), mak ayah minta saya tinggal di rumah makcik dan pakcik untuk tolong mereka jaga nenek yang sakit.

“Tapi tak lama lepas tu pakcik dan makcik bergaduh atas sebab tertentu. Nenek terpaksa balik semula rumah dia dekat Cheras, Selangor.

“Mereka tak bagi saya balik rumah (keluarga) lagi sebab masa tu kebetulan nak dekat final exam. Jadi saya duduk dekat rumah (bapa saudara) tu lagi sampailah Julai 2021. Apabila dah habis study, mereka suruh saya cari rumah sewa sebab nak ajar saya berdikari. Saya pun turutkan saja,” ujar Bella.

Ujar Bella yang merupakan bakal graduan di sebuah universiti awam di Seremban, Negeri Sembilan, dia berpindah keluar dari rumah bapa saudaranya dan menyewa di sebuah rumah terletak di Presint 16, Putrajaya.

Pada ketika itu juga, Bella mula bekerja sambilan di sebuah kedai menjual pakaian di pusat beli-belah Alamanda yang berdekatan dengan rumahnya selama hampir setahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki B40 ubah diri kepada T20 selepas dibuang kerja... teh tarik bungkus ikat tepi jadi punca, ubah kehidupan!

ARTIKEL BERKAITAN: 2 bulan tak dapat bayaran penuh, sekali bersuara tanya pasal gaji terus dipecat! Lelaki cuma ada RM30 untuk sara keluarga

Dia kemudiannya bertukar tempat kerja dan bekerja sepenuh masa di sebuah restoran makanan yang masih terletak di dalam pusat beli-belah sama.

“Saya bertukar kerja sebab majikan baharu ada sediakan bilik sewa. Tapi sepanjang saya tinggal kat situ ada timbul isu dengan lima lagi penyewa lain.

“Mereka mengadu dekat tuan rumah barang dalam rumah milik mereka selalu hilang. Mereka tuduh saya ambil sedangkan saya kerja dari 9 pagi sampai 10.30 malam. Jadi tuan rumah minta saya keluar dari situ.

“Lepas tuan rumah pulangkan RM200 deposit, dia beri tempoh masa lima hari saja untuk keluar dari rumah tu. Tapi saya gagal untuk cari rumah sewa baharu sebab masa terlalu singkat... sebab tu saya jadi homeless,” ujarnya.

Saya tak berniat nak aibkan famili tapi kalau nak ajar berdikari sekalipun janganlah sampaikan tak nak tolong saya.

BELLA

Kata Bella yang memiliki empat adik beradik, sepanjang hidupnya yang sudah berusia 24 tahun, inilah pengalaman pertamanya tidur di tepi tangga tanpa alas di tempat kerjanya.

Tanpa sebarang pertolongan dihulurkan daripada keluarga, Bella terpaksa meneruskan hidup dengan berulang alik ke tempat kerja tanpa rumah selama 11 hari sebelum menemui rumah sewa baharu di Presint 11, Putrajaya.

“Saya cuba minta duit untuk bayar sewa. Tapi mereka tak nak tolong pun lepas saya cakap tak cukup duit nak bayar deposit. Jadi saya teruskan tidur saja di tepi tangga secara duduk.

“Saya memang datang daripada keluarga susah. Saya seorang saja perempuan dan saya anak ketiga. Lepas apa terjadi dekat saya, barulah saya sedar yang tak semua akan ada masa susah walaupun darah daging sendiri.

Bella enggan mendedahkan identiti sebenarnya.

“Saya tak berniat nak aibkan famili tapi kalau nak ajar berdikari sekalipun janganlah sampai tak nak tolong saya langsung. Saya nak minta duit sikit untuk makan pun tak bagi.

"Walaupun dah dapat rumah sewa baharu, saya masih lagi berdepan dengan masalah kewangan,” luahnya lagi.

Berikutan perkongsiannya di TikTok yang menjadi tular, ramai warganet yang menawarkan tempat tinggal dan kerja serta mahu menjaga kebajikannya.

Namun, Bella memilih untuk menolak segala tawaran tersebut kerana niatnya hanya ingin meluah perasaan dan bukanlah mengharap simpati orang ramai.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain