suria

AyahPa dijemput Ilahi, tak kena Covid-19 hingga akhir hayat! Pernah tular antara individu tertua berani suntik vaksin

AyahPa meninggal dunia pada usia 106 tahun kerana sakit tua.

KISAH lelaki warga emas ini pernah tular tahun lalu kerana menjadi antara individu tertua di Malaysia yang menerima suntikan vaksin Covid-19.

Jaafar Awang Mat ketika itu berusia 105 tahun memegang poster 'Saya telah divaksin' di pusat pemberian vaksin (PPV).

Namun siapa sangka, selepas lebih setahun ceritanya menjadi perhatian rakyat Malaysia, Jaafar yang lebih dikenali sebagai AyahPa meninggal dunia pada Isnin.

ayahpa meninggal

Kisah AyahPa yang pernah tular turut dilaporkan oleh mStar.

Cucu Jaafar, Noor Azriena Syamsuri Md Nor mengesahkan berita mendukacitakan itu kepada mStar dengan memaklumkan datuknya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.35 malam.

Lebih dikenali sebagai Suri, katanya, AyahPa meninggal dunia pada usia 106 tahun akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Pulong di Kubang Kerian, Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Usia 105 tahun, sikit pun tak 'termakan' cakap kawan anti vaksin di kedai kopi... selamat dapat suntikan pertama - "AyahPa kata dia okay"

"Tok ayah (panggilan datuk) menghidap penyakit paru-paru kronik sejak tiga tahun lalu. Dia okay, cuma seminggu dua ni dia tenat.

"Dia letih dan tak ada selera nak makan. Dia hanya berehat di rumah berbanding sebelum ini sering ke sana sini menunggang basikal," katanya kepada mStar.

ayahpa meninggal 6

AyahPa merupakan antara individu tertua menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Wanita berusia 34 tahun itu memberitahu, datuknya masih bercakap dengan ahli keluarga sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas Maghrib.

"AyahPa cakap dia nak tidur. Kami dapat rasa pernafasannya agak laju dan sempat ajarnya mengucap dua kalimah syahadah.

"AyahPa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali di Kubang Kerian pada pukul 11.45 malam hari sama. Alhamdulillah kesemua ahli keluarga tinggal di kawasan sekitar, jadi ramai yang datang untuk pengebumian," katanya mengenai datuknya yang meninggalkan tujuh anak, lebih 35 cucu dan lebih 30 cicit.

ayahpa meninggal 3

Kenangan AyahPa di kedai kopi.

Berkongsi momen terakhir bersama AyahPa, Suri berkata, tiada perubahan berlaku kerana datuknya seperti bersedia untuk 'pergi'.

"Sehari sebelum AyahPa meninggal dunia, dia berpesan supaya tolong jaga rumahnya. AyahPa kata 'Tolong jaga rumah aku, aku dah nak pergi'.

"Sebagai cucu mahupun ahli keluarga lain, kami tahu AyahPa dah uzur. Mungkin itu jugalah tanda hari-hari terakhirnya," katanya mengenai rumah yang didiami AyahPa di Kampung Pulong sejak 2006.

Suri berkata, neneknya telah lama meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

ayahpa meninggal 4

AyahPa menghidap penyakit paru-paru kronik.

Mengulas lanjut, Suri memberitahu dia yang tinggal bersebelahan dengan rumah datuknya turut menjaga arwah serta menghantar makanan.

"Setiap kali jumpa, AyahPa selalu pegang tangan anak-anak dan cucu cicit, seperti tak mahu orang tinggalkan dia. AyahPa seorang yang sangat mesra terutama dengan kanak-kanak.

Sehari sebelum AyahPa meninggal dunia, dia berpesan supaya tolong jaga rumahnya. AyahPa kata 'Tolong jaga rumah aku, aku dah nak pergi'

SURI

"AyahPa juga pencinta haiwan, selalu beri makanan kepada kucing-kucing," katanya mengenai datuknya yang dahulunya merupakan penjual kuih.

Mengenai suntikan vaksin Covid-19 yang diambil datuknya secara sukarela, Suri berkata, arwah lengkap dengan dua dos vaksinasi.

ayahpa meninggal 7

AyahPa tidak pernah dijangkiti Covid-19 sehingga akhir hayatnya.

"Keadaan kesihatan AyahPa okay selepas mengambil suntikan vaksin kecuali tempoh sebulan terakhir dia tenat kerana sakit tua selain penyakit paru-paru.

"Sejak pandemik pada 2020, AyahPa tidak pernah dijangkiti Covid-19 sehinggalah ke akhir hayatnya, syukur Alhamdulillah. Sama-sama kita mendoakan AyahPa," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain