suria

Pemuda sanggup stop gunting rambut sendiri, segera hantar remaja India terlepas bas sekolah naik motor... Ramai approve jadi ikon permotoran!

Tindakan Ayoiii membantu seorang remaja India mendapat pujian ramai.

PERTOLONGAN tidak semestinya datang dalam bentuk wang ringgit semata-mata.

Pelbagai cara atau bentuk bentuk pertolongan boleh dihulurkan sekiranya kita terserempak dengan seseorang atau situasi yang memerlukan bantuan, sebagaimana yang dilakukan oleh seorang pemuda ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial, pemuda ini berkongsi cerita bagaimana dia dihampiri seorang remaja lelaki berbangsa India yang memerlukan bantuannya selepas terlepas menaiki bas untuk ke sekolah.

Ketika itu, pemuda yang dikenali sebagai Ayoiii80 di aplikasi TikTok ini sedang merakam video dia menggunting rambut sendiri untuk dijadikan konten di laman sosial.

"Kebetulan rekod video konten potong rambut sendiri. Tiba-tiba ada adik India ni minta tolong hantar dia pergi sekolah sebab dah terlepas bas.

"Dia kata kalau tak datang (sekolah) hari ini kena surat amaran. Aku pun stop la konten aku tu," kongsi pemuda berkenaan sebagaimana yang diceritakan pada videonya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedang bertugas hantar makanan, rider ini viral sebab dalam kepalanya tetap ingat belajar - “Tahu dia rakam, tapi malas nak layan sangat”

ARTIKEL BERKAITAN: Rider Grab dipuji cekap bantu ambulans kawal lalu lintas... “Tengok gaya macam polis trafik, maybe dia buat partime”

Tanpa melengahkan masa, dia terus menghantar remaja berkenaan dengan menunggang motosikal miliknya sehingga selamat tiba pagar sekolah.

Ketika dalam perjalanan yang mengambil masa sekitar 20 minit itu, Ayoiii sempat bersembang dengan remaja berkenaan dan bertanya beberapa soalan kepadanya.

"Aku tanya kalau biasa bas terlepas, naik apa? Dia kata terpaksa naik basikal. Aku hantar naik motor pun 20 minit. Kalau naik basikal tu bilalah dia sampai?

"Kesian kan... benda baik. Dia pun budak baik. Selalu tegur aku. Dia kata minta tolong orang lain tak ada yang nak tolong," ujarnya.

REMAJA 2

Ayoiii menghantar remaja India tersebut dengan selamat sehingga ke pagar sekolah.

Menurut pemuda ini lagi, dia tidak ragu-ragu untuk menghulurkan pertolongan kepada remaja tersebut kerana memahami situasi lantaran bukan berasal dari keluarga yang senang.

"Saya sendiri masa kecil pernah susah. Saya tengok dia pun macam tengah susah. Kalau tak susah, dia tak minta tolong. Yang buat saya nak tolong tu, sebab dia nak pergi sekolah.

"Jarang budak-budak (macam ni), selalu budak-budak ada alasan nak ponteng. Tapi dia ni bersungguh-sungguh nak pergi sekolah. Saya kebetulan tengah free, buat konten potong ambut je.

"Cara dia pun sopan, masa atas motor sikit-sikit cakap terima kasih," katanya dalam satu video berasingan ketika menjawab soalan netizen.

Saya sendiri masa kecil pernah susah. Saya tengok dia pun macam tengah susah. Kalau tak susah, dia tak minta tolong.

AYOIII

Tambah pemuda ini lagi, dia mengambil keputusan untuk terus membuat rakaman video bersama remaja itu atas tujuan keselamatan.

"Saya sebenarnya rakam video tu untuk keselamatan saya juga... takut kalau apa-apa jadi dekat dia, orang tuduh saya menculik. Jadi ada bukti saya hantar dia.

"Kebetulan tak ada konten. Teringat pula dekat budak tu. Itu yang jadi buat konten. Harap video ni dapat jadi contoh untuk kita saling membantu," ujarnya.

Pemuda ini juga sama sekali tidak menyangka video tersebut mengundang perhatian warga maya malah rata-ratanya memuji tindakannya yang disifatkan sangat mulia.

"Terharu ramai yang doakan... tak pernah orang doa macam ni, bukan nak bangga orang puji tapi terharu. Terima kasih mereka yang doakan saya. Saya doakan juga kepada mereka dimurahkan rezeki," ujarnya lagi.

REMAJA 3

Rata-rata netizen tersentuh dengan kemuliaan hati Ayoiii.

Sehingga kini video berkenaan meraih sehingga melebihi 482,000 jumlah tontonan, selain dibanjiri dengan komen pujian daripada netizen.

"Abang ni boleh buat jadi idola permotoran yang sebenar. Ada lesen, suka tolong menolong, pandai potong rambut... lengkap jadi idola.

"Awak jadi la jiran saya. Senang saya nak minta tolong.

"Muka serius... kalau tak kenal macam muka orang berlagak sombong, tak bercakap dengan orang. Tapi sebenarnya abang ni baik suka tolong orang," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain