suria

Terang-terangan kesan 5 jari! Ibu hilang sabar anak autisme dilayan macam komando, aduan jadi mangsa dera dipandang sepi

Kesan lebam dan kemerahan pada bahu kiri kanak-kanak tersebut.

SATU demi satu kes penderaan membabitkan kanak-kanak istimewa dikongsikan di laman sosial sejak kebelakangan ini.

Selepas dakwaan seorang ibu mengenai kisah anak perempuannya yang dipulas kedua-dua belah telinga sehingga lebam oleh seorang guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), terbaharu, kejadian yang hampir sama dikongsikan oleh seorang wanita mengenai anak lelakinya.

Menerusi perkongsian di Facebook, wanita berkenaan mendakwa anak lelakinya yang berusia enam tahun dan didiagnos menghidap autisme, didera oleh ahli terapi di sebuah pusat terapi berbayar sehingga meninggalkan bekas dan lebam pada tubuh badan.

dera 2

Kesan lebam dikesan pada dada.

"Lebam di bahu kiri ni berbentuk jari, cukup lima jari, ditambah dengan kesan cubitan di dada. Sampai pecah darah, sampai lebam kau buat pada anak ni!

"Apabila minta explanation, apa yang terjadi, therapist (ahli terapi) terlibat jawab anak ini meronta masa buat aktiviti. 'Tak sangka lebam, tak perasan, badan mudah tinggal bekas, maaf puan'.

"Senang betul bagi jawapan!" kongsinya sambil menambah, kejadian tersebut didakwa berlaku pada 7 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kena ‘piat telinga’ sampai jadi biru! Ibu dakwa anak autisme jadi mangsa dera, cikgu beri alasan tak cukup staf

ARTIKEL BERKAITAN: Melulu kaitkan anak autisme, speech delay dengan gangguan jin... ustazah teruk kena ‘sekolah’, pakar psikiatri pun bersuara

Pada posting berkenaan wanita tersebut turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan kesan lebam dan kemerah-kemarahan pada tubuh serta wajah anaknya.

Dakwa wanita tersebut, ia bukan kali pertama dia terlihat kesan seumpama itu pada badan anak lelakinya sejak didaftarkan di pusat terapi berkenaan pada November 2019.

dera 3

Pipi kanak-kanak tersebut juga terdapat kesan kemerah-merahan.

"Setiap kali berlaku insiden atau kecederaan, therapist asyik cakap anak tak bagi kerjasama dan alasan-alasan yang tak masuk akal!

"Di mana kepakaran anda dalam memberi rawatan kepada anak autisme kami? Anda war-warkan pada umum, anda tenaga kerja terlatih, anda profesional?

"Bayaran bulanan anak kami bukan murah! Kami tidak hantar anak kami ke pusat terapi untuk anda latih menjadi komando, kalau sungguhpun anak ni tak bagi kerjasama, adakah anda perlu untuk cengkam bahu dia, tampar muka dia, cubit dan herdik dia!" luahnya penuh kesal.

Disebabkan bimbang dengan kecederaan tersebut, wanita berkenaan membawa anaknya menjalani pemeriksaan di sebuah hospital.

"Doktor sahkan kecederaan ni serius, bukan kerana aktiviti seperti yang mereka (pusat terapi) maklumkan. Seterusnya diikuti dengan buat laporan polis," kongsinya.

Bayaran bulanan anak kami bukan murah! Kami tidak hantar anak kami ke pusat terapi untuk anda latih menjadi komando.

IBU MANGSA

Malah dia turut bertemu dan meminta penjelasan daripada pihak atasan pusat terapi berkenaan dan dimaklumkan, 'tidak mungkin aktiviti dan peralatan mereka akan hasilkan kecederaan ini'.

"Memanglah! Terang-terang kesan jari! Anak ini sampai trauma, hampir setiap malam bangun dan berjaga sampai lewat pagi.

"Adakalanya menangis sendiri tanpa ketahuan! Kamu dah tinggalkan memori hitam dalam kepala dan ingatan dia! Sedangkan kami, berusaha sedaya upaya cari cara untuk berikan perawatan yang terbaik untuk dia!" luahnya lagi.

Apa yang lebih dikesalkan, tiada bukti untuk menyokong dakwaannya kerana pusat terapi berkenaan tidak dilengkapi kamera pengawasan (CCTV).

"Untuk makluman semua juga, kami dah ikut prosedur. Polis minta dibawa dan dirujuk kepada pakar kanak-kanak di hospital, kami dah buat. Laporan perubatan dah keluar, anak saya dah disahkan didera (Alleged Physical Abuse)," ujarnya.

dera 1

Perkongsian kisah di Facebook milik wanita tersebut meraih lebih daripada 3,400 shares dalam tempoh kurang 24 jam.

Namun begitu, sungguhpun sudah tiga minggu berlalu, wanita tersebut mendakwa masih tiada tindakan lanjut yang diambil pihak berkuasa hingga menyebabkan dia nekad untuk berkongsi kisah anaknya di media sosial.

"Kami tak dihubungi sesiapa untuk bertanyakan keadaan anak kami, mungkin kerana kami hanya orang awam, bukan somebody? Jadi, pada siapa kami nak letakkan kepercayaan lagi?

"Kes dera ni, dah dinormalisasikan di Malaysia. Orang pandang remeh fasal yang kena bukan darah daging sendiri. Anak ini, anak istimewa. Kalau pun dia tak boleh beritahu dia sakit, tapi dia ada perasaan.

"Kenapa kamu terlalu jahat sakitkan dia sampai macam ini sekali, kamu ada keturunan, andai Allah izin, satu hari nanti lebih teruk dari ini Allah bagi! Hati-hati dengan dosa kita kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada anak-anak istimewa ini," tulisnya lagi.

komen dera

Laman komen dibanjiri dengan luahan rasa geram dan marah oleh netizen yang mendesak agar kanak-kanak tersebut mendapat pembelaan.

Sehingga kini, perkongsian wanita tersebut meraih lebih 3,400 shares di Facebook, selain dibanjiri dengan ribuan komen netizen.

Rata-ratanya menyuarakan rasa simpati dengan nasib yang menimpa anak wanita berkenaan.

Dalam masa yang sama, warga maya turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dan menggesa pihak berwajib memberi perhatian terhadap kes sedemikian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain