suria

Alang-alang dijemput kerajaan Rusia, anak Malaysia ‘kahwin’ kali ke-2 di kampung halaman isteri! Pertama kali jumpa bapa mentua

Pasangan ini dinikahkan pada tahun 2021 sebelum diraikan buat kali kedua di Rusia pada 6 Jun lalu.

KISAH pernikahan seorang jurugambar Malaysia dan model kelahiran Rusia pada Februari tahun lalu pernah meraih perhatian ramai masyarakat di negara ini.

Selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga, Mohamad Anwar Mohd Yusli, 28, dan isterinya Anna Eltsova, 24, sekali lagi diraikan dalam majlis penuh romantis yang berlangsung kampung halaman isterinya di Khabarovsk, Rusia.

Senang disapa Nuar, dia berkata majlis tersebut dirancang dalam tempoh seminggu sahaja memandangkan dia berangkat ke negara itu atas jemputan kerajaan Rusia dalam satu program berkaitan pelancongan.

nuar2

Nuar berangkat ke Rusia pada penghujung Mei lalu.

"Isteri saya dah balik ke Rusia selepas Hari Raya Aidilfitri. Dia balik sendirian ke sana. Tiba-tiba pada 12 Mei lalu, saya dapat jemputan daripada kerajaan Rusia. Jadi saya berangkat ke sana pada hujung Mei.

"Saya dijemput oleh Kementerian Luar mereka sebagai wakil blogger Malaysia, program itu bertujuan untuk memperkenalkan pelancongan Rusia. Saya dipilih kerana banyak buat content dengan isteri menerusi TikTok dan YouTube.

"Selepas mengikuti program mereka yang padat bersama wakil negara lain selama seminggu, saya juga minta pihak di sana agar memanjangkan tempoh visa agar dapat kami adakan majlis perkahwinan belah perempuan. Alhamdulillah, majlis kami diadakan pada 6 Jun," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harungi banyak dugaan ketika bertunang, jurugambar Malaysia akhirnya nikah model Rusia - “Mencabar, macam-macam lelaki datang kat dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Hari nak hujan, jurugambar berpeluh penuhi hasrat pasangan mempelai bergambar naik vespa di bendang... seronok sangat sampai terangkat tayar!

Menurut Nuar, dia bersyukur apabila diberi peluang untuk bertemu dengan ahli keluarga isterinya, malah dia juga dapat menyelami budaya perkahwinan Rusia yang berbeza dengan adat kita di Malaysia.

Usai majlis itu, Nuar dan isterinya turut berjalan-jalan ke Moscow dan Saint Petersburg sebelum berangkat pulang dan kembali ke tanah air pada 1 Julai baru-baru ini.

"Ini kali pertama saya jumpa bapa Anna. Masa bertunang dulu, hanya mak dia yang datang ke Malaysia. Keluarga mereka ada bisnes, jadi tak boleh dua-dua tinggalkan Rusia, sebab itu hanya mak dia yang datang dulu.

nuar3

Kisah penyatuan cinta pasangan ini mendapat liputan mStar pada tahun 2021.

"Adat perkahwinan mereka juga agak berbeza dengan budaya kita. Macam kita, lepas mekap, terus berarak dan makan. Di sana, kena selesaikan photoshoot outdoor dulu. Kemudian baru makan dinner. Di sana juga tiada acara bersanding.

"Tahun lepas kami hanya akad nikah saja kerana kahwin ketika pandemik Covid-19. InsyaAllah kami rancang nak buat majlis persandingan di Malaysia tak lama lagi, tapi tunggu keadaan kembali normal dulu," ujar Nuar lagi.

Bercerita mengenai kunjungannya ke sana, Nuar berkata ia banyak membuka mata, sekali gus mengubah persepsi mengenai negara itu yang sering dimomokkan sebelum ini.

Ini kali pertama saya jumpa ayah Anna. Masa bertunang dulu, hanya mak dia yang datang ke Malaysia.

MOHAMAD ANWAR MOHD YUSLI

"Saya bukanlah nak puji Rusia kerana isteri berasal dari sana, tapi sejujurnya mereka sangat mengalu-alukan kedatangan kita. Mereka sentiasa senyum dan seolah-olah hargai kita.

"Saya juga agak terkejut apabila melihat sendiri sikap rakyat mereka. Mungkin selama ini kita tengok dalam filem barat, tapi mereka sangat baik, makanan di sana juga sedap. Cuma kalau kita tekak Melayu, sana tak ada makanan pedas, semua dengan keju.

"Saya juga rasa selamat bila berjalan-jalan dengan isteri, kami juga menaiki kereta api bawah tanah. Rupa-rupanya banyak tempat pelancongan yang underrated di sana. Tak sangka seronok melancong di Rusia.

nuar4

Nuar merupakan seorang jurugambar manakala isterinya bekerja sebagai model.

"Saya sendiri pun terkejut. Mungkin sebelum ini orang kita banyak ke Eropah, Paris, Amsterdam dan sebagainya. InsyaAllah saya juga ada perancangan untuk bawa orang kita melancong ke sana tak lama lagi," ujar Nuar.

Untuk rekod, kisah perkahwinan pasangan sama cantik sama padan itu pernah mendapat liputan mStar pada 8 Februari tahun lalu.

Menurut Nuar, dia melamar isterinya pada Februari tahun 2020 selepas mereka berkenalan menerusi satu sesi photoshoot pada tahun 2019.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain