suria

Seksanya! Bisul ‘singgah’ celah paha dan punggung suami, doktor kata boleh jadi kanser... Sapu air kapur pun tak kecut

Suami Fatin mendapatkan rawatan di Thomson Hospital.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai nasib yang menimpa Muhammad Nazrin, 27, apabila bahagian belakang badannya ditumbuhi lima benjolan bisul sejak awal Jun.

Bercerita kepada mStar, Fatin Izzati, 27, memperincikan kisah di sebalik penderitaan yang terpaksa ditanggung si suaminya walaupun sudah mendapatkan rawatan secara semula jadi namun tidak berhasil.

"Suami kena masalah bisul ni dah lama. Tapi dulu tak teruk lagi sebab kejap okey... kejap naik balik.

"Macam-macam cara kami dah cuba. Apabila bisul tu timbul kami sapu air kapur dan limau biar dia pecah lepas tu hilang. Mula-mula kami ingat punca daripada minum kopi 3in1 sebab selepas suami berhenti minum, bisul dah tak naik.

"Baru-baru ni bisul tu naik seketul dekat punggung tapi jenis keras yang apabila sapu ubat pun dia tak keluar nanah dan hilang. Jadi kami terpaksa pergi jumpa doktor untuk keluarkan nanah tu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 4 cara mudah rawat bisul tanpa perlu jumpa doktor, paling penting tak menyakitkan!

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja sebab angin pasang, ini 5 punca lain ada benjolan di celah kelangkang

Ujar Fatin yang juga ibu kepada seorang cahaya mata ini suaminya terpaksa mengambil cuti daripada bekerja sebagai pest control (kawalan serangga) akibat tidak dapat menunggang motosikal.

"Dalam masa seminggu bisul tu naik sampai lima tempat dekat bahagian punggung dan paha. Suami ada mengadu yang dia rasa sakit sangat sampai tak boleh bawa motosikal untuk pergi bekerja.

"Jadi kami pergi ke klinik tapi alatan dekat sana tak cukup jadi doktor terpaksa buat surat suruh kami pergi hospital. Kata doktor bisul ni berakar. Kalau tak buang, dia akan naik lagi banyak.

Fatin risau akan keadaan suami yang memiliki masalah bisul.

"Walaupun kita tengok dah hilang atau kecut tapi dia akan naik lagi banyak. Lagi risiko kalau tak keluarkan nanah tu, ia boleh jadi kanser," imbas Fatin.

Menurut Fatin yang menetap di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, suaminya ditahan selama satu hari bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Damansara pada 17 Jun lalu.

"Sebenarnya tak terfikir pun bisul tu akan jadi sampai tahap boleh kena kanser kalau dibiarkan macam doktor dekat klinik cakap.

Sekarang keadaan dia Alhamdulillah okey cuma kena buat dressing selama seminggu. Lepas Tu kena tengok tahap kesembuhan pada luka bekas pembedahan.

FATIN IZZATI

"Saya jadi risau sampai fikir bukan-bukan. Tak sanggup nak hadap atau terima apa-apa yang buruk terjadi dekat suami.

"Sekarang keadaan dia Alhamdulillah okey cuma kena buat dressing selama seminggu. Lepas Tu kena tengok tahap kesembuhan pada luka bekas pembedahan," ujar Fatin lagi.

Berikutan perkongsian Fatin di TikTok sehingga meraih hampir 300,000 jumlah tontonan, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib menimpa suaminya.

Pasangan ini sudah berumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata.

Jelasnya dia berharap ia boleh menjadi peringatan buat warga maya lain supaya tidak mengambil remeh mengenai masalah bisul.

Wanita ini turut menitipkan pesan agar individu yang berdepan masalah bisul agar ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum ia merebak sehingga mengancam nyawa jika dibiarkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
benjolan celah paha, cyst, bisul, nanah, sakit

Artikel Berkaitan

Artikel Lain