suria

Ramai cemburu ‘lifestyle’ gadis Indonesia ini, selak langsir rumah nampak Menara KL! Orang Malaysia pun tak mampu, cukup makan je...

Video kisah hidup Brenda tular di laman TikTok.

BERKELANA jauh ke negara orang merupakan keputusan terbaik yang pernah dibuat gadis ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Brenda, dia yang berasal dari Medan, Indonesia sudah mengumpul jutaan memori selepas berhijrah ke Malaysia sejak 2014.

Menurut gadis berusia 26 tahun itu, dia gembira apabila impian untuk bekerja di luar negara tercapai pada usia muda, sekaligus memberi perspektif kehidupan yang berbeza buatnya.

"Saya belajar di Bukit Jalil bermula tahun 2014 sehingga 2017. Pada waktu itu, saya merupakan pelajar bidang Medical Biotechnology. Awalnya memang homesick dengan negara asal, setiap hari saya menangis ketika semester pertama. Tapi lama-kelamaan saya mula biasakan diri.

"Selepas habis belajar, saya balik ke Indonesia. Kemudian pada 2019 saya kembali ke Malaysia untuk bekerja di Kuala Lumpur. Kiranya, sudah tiga tahun saya bekerja sebagai perunding pemasaran digital untuk sebuah syarikat di sini.

"Kenapa nak kerja di Malaysia? Pertama, sebab gaji. Kerana perbezaan tiga kali ganda antara matawang Malaysia dan Indonesia. Jadi saya fikir, banyak manfaat jika kerja di sini. Selain itu, saya juga nak cuba hidup jauh daripada keluarga," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern sewa kondo jarak 5 minit dari KLCC, gadis Terengganu ini ada sebab mampu hidup selesa... Tahan diri godaan ‘shopping’

ARTIKEL BERKAITAN: Cakap bahasa Indonesia mix dialek Kelantan, ramai keliru identiti jejaka ini... hakikatnya tuan badan pun ‘pening’ nak jawab soalan asal-usul dirinya

Bercerita lanjut, gadis berketurunan Cina itu akui mudah untuk menyesuaikan diri dengan Malaysia memandangkan budaya dan bahasa di sini sangat mirip dengan negara asalnya.

Tambah Brenda, akses kepada pengangkutan awam di ibu negara juga banyak dan memudahkan urusan sehariannya sepanjang berada di Malaysia.

"Saya duduk di sini dengan rakan sekerja. Sangat seronok menetap di Malaysia. Saya suka suasananya. Makanan juga ada pelbagai jenis.

brenda4

Kata Brenda, budaya di Malaysia tidak jauh berbeza dengan negara asalnya.

"Paling seronok tentunya akses kepada pengangkutan awam di sini. Dari rumah saya, hanya perlu jalan kaki lima minit untuk ke stesen monorel. Kalau nak ke LRT, saya perlu jalan kaki 10 minit," ujarnya.

Dalam pada itu, Brenda juga tidak menyangka video kisah hidupnya di Malaysia yang dikongsi menerusi TikTok akan meraih perhatian ramai.

"Umur 20-an kerja di KL, tinggal di apartment view Menara KL. Gimana sih rasanya?" ujar Brenda dalam video yang meraih lebih 250,000 tontonan itu.

Di Malaysia saya paling suka Pulau Langkawi dan Pulau Redang. Saya juga suka Pulau Pinang.

BRENDA

Rata-rata netizen mengakui cemburu melihat panorama indah dari kediaman Brenda, malah ramai yang turut memberikan komen-komen positif buatnya.

Kata Brenda, dia terkejut dengan reaksi yang diterima di TikTok, malah menganggap ia sebagai kenangan manis sebelum meninggalkan Malaysia pada Julai ini.

"Saya buat video itu untuk berkongsi perjalanan saya, untuk beri tunjuk ajar kepada mereka yang nak bekerja di luar negara. Selepas viral, ramai juga yang mesej saya, tanya cara untuk bekerja di Malaysia.

brenda2

Tangkap layar daripada video tular.

"Ini kali pertama video saya viral. Saya harap mesej dalam video itu sampai kepada ramai orang,. Tapi saya rasa agak terkilan kerana lambat kongsi video. Bulan depan saya dah nak balik Indonesia. Saya dah berhenti kerja.

"Saya dapat tawaran lain di Indonesia. Pada masa sama, saya juga nak balik dan mulakan bisnes sendiri di negara saya," ujarnya yang turut menggelarkan diri sebagai corporate slave atau 'hamba korporat' menerusi video tular itu.

Menurut Brenda, dia pasti akan merindui Malaysia dan berhasrat untuk datang semula sebagai pelancong pada masa akan datang.

brenda3

Antara komen yang diterima menerusi TikTok.

Kata Brenda lagi, dia juga mahu adik perempuannya datang bekerja di Malaysia jika menerima tawaran yang berbaloi pada masa akan datang.

"Di Malaysia saya paling suka Pulau Langkawi dan Pulau Redang. Saya juga suka Pulau Pinang, bagi saya ia hampir sama dengan Medan.

"Saya memang nak datang lagi ke Malaysia. September ini pun saya akan datang, untuk menghadiri perkahwinan kawan di Sarawak.

"Jadi, kedatangan pada September ini bolehlah mengubat rindu saya kepada Malaysia," ujarnya berseloroh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain