suria

Sibuk kongsi di Twitter minta viral, mangsa langgar lari disekolahkan netizen... Rupanya belum buat laporan polis!

Perkongsian seorang wanita di Twitter tentang kenderaannya yang dilanggar lari.

KEJADIAN langgar lari terutamanya membabitkan kenderaan yang diparkir seringkali dikongsikan di media sosial.

Tanpa sedikit pun rasa bersalah, pelaku membiarkan sahaja kenderaan yang dilanggar tanpa meninggal sebarang nota atau membuat permohonan maaf.

ARTIKEL BERKAITAN: Berang kerenah insurans selepas kereta teruk dilanggar, 98 hari masuk bengkel... wanita tuntut penjelasan, apa sebenarnya berlaku?

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa langgar lari patah rahang, abang rayu saksi, pemandu kereta Alphard tampil, “Lari macam mana pun dia akan kena balik”

Perkara sama turut berlaku kepada seorang wanita yang berkongsi tentang hal itu di Twitter pada malam Sabtu lalu.

Dakwa wanita terbabit, keretanya dilanggar lari di hadapan Eco Ipoh Parade, Ipoh, Perak.

Namun wanita itu bernasib baik kerana terdapat saksi yang menyaksikan insiden berkenaan malah sempat mencatat dan meninggalkan nota mengandungi nombor pendaftaran pelaku tersebut.

Ciapan yang dibuat mangsa.

Ciapan yang dibuat mangsa.

Wanita tersebut kemudiannya berkongsi maklumat berkenaan di Twitter secara terbuka.

"Ada orang letak nota dekat kereta. Sesiapa yang ada info atau pemilik ALB 23** boleh DM (mesej langsung) saya, kita settle tepi atau nak report," ciapnya ringkas.

Selain nombor pendaftaran, saksi turut memaklumkan kenderaan yang melanggar kereta wanita tersebut adalah jenis Mercedes Benz.

Bagaimanapun perkongsian wanita itu dilihat tidak disenangi warganet kerana dia memililih untuk menularkan hal tersebut di Twitter berbanding membuat laporan di balai polis.

Keadaan kerosakan kereta mangsa.

Keadaan kerosakan kereta mangsa.

"Kak buat laporan polis dahulu... tu kerja yang akak patut buat sekarang. Bukan kerja nak kena fikir tu valid atau tidak. Buat report baru tindakan selanjutnya boleh dibuat. Kalau sembang kat Twitter, lama-lama boleh dapat maki kak. Yang asas pun tak buat, dah ajak satu Malaysia sembang.

"Tak kisah kalau tidak ada saksi... yang penting report dahulu. At least nombor plat kereta dah ada.

"Lapor bagi pihak polis yang trace. Takut orang tu tak main Twitter.

Antara reaksi warganet.

Antara reaksi warganet.

"Buat report polis saja, nanti boleh check area situ ada CCTV (kamera litar tertutup) atau tidak," ujar beberapa netizen.

Menyedari tindakannya itu mendapat maklum balas negatif daripada warganet, dia kemudian mengehadkan ruangan komen.

Dalam pada itu mStar mendapatkan penerangan daripada Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhammad Nasroul Mohd Sukeri tentang langkah yang perlu diambil sekiranya berdepan situasi sama.

Kenal pasti kerosakan yang dialami, ambil gambar atau rakam video sebagai bukti dan buat laporan polis.

MUHAMMAD NASROUL

JPJ WILAYAH PERSEKUTUAN

Ketika dihubungi mStar, beliau menyatakan bahawa mangsa terlebih dahulu perlu mengenal pasti kerosakan yang dialami.

"Kenal pasti kerosakan yang dialami, ambil gambar atau rakam video sebagai bukti.

"Kemudian, buat laporan polis di balai polis terdekat. Cabarannya di sini, apabila maklumat kenderaan yang melanggar kita tidak dapat dikenal pasti.

Muhammad Nasroul memberi tips jika menjadi mangsa langgar lari

Muhammad Nasroul memberi tips jika menjadi mangsa langgar lari

"Jadi pihak polis akan bertanyakan secara terperinci lokasi berlakunya kemalangan sama ada terdapat CCTV (kamera litar tertutup) atau tidak kerana kebiasaannya kenderaan individu yang langgar lari tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan seperti nombor plat fancy atau kecil," ujarnya.

Menurutnya lagi, agensi penguatkuasa sangat menitikberatkan kesalahan melibatkan teknikal kenderaan kerana ia membolehkan pelaku dikenal pasti sekiranya berlaku kesalahan seperti kes langgar lari.

Tambahnya, untuk membaiki kenderaan pula, mangsa perlu mengemukakan salinan laporan polis yang lengkap kepada syarikat insuran.

Namun katanya, jika maklumat berkaitan pelaku tidak dapat dikenal pasti, kos kerosakan adalah tanggungjawab mangsa sepenuhnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain