suria

Dihina pondan, MUA lega tetap ada job masuk! Dapat komen pedas petik nama mak ayah, video mekap masih mampu raih jutaan views

Sufian akui sudah terbiasa menerima komen negatif di TikTok.

JANGAN petik nama mak ayah!

Demikian pesan seorang jurusolek (MUA), Muhamad Sufian Alias apabila ada segelintir netizen yang meninggalkan komen negatif menerusi media sosial miliknya.

Menurut jejaka berusia 26 tahun itu, dia sudah lali dikecam sejak menceburi bidang tersebut, namun terkilan apabila ada yang sanggup berkata nista terhadap kedua orang tuanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Idam jadi MUA terkenal, pemuda 'dagu panjang' tak hirau digelar alien... nafi bedah wajah

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu ligat cari rezeki, tapi kerana si bongsu yang teristimewa MUA lebih selesa kerja dari rumah

"Masa awal-awal masuk bidang mekap, saya memang rasa down bila kena kecam. Tapi lama-kelamaan saya okay sebab ramai yang bagi semangat. Pada saya, bukan mereka yang bagi kerjaya pada kita.

"Dari situ saya kuatkan semangat. Kadang-kadang ada orang kecam kata saya lembut, mereka tanya bila nak berubah dan sebagainya... saya tak kisah komen-komen begitu.

"Tapi baru-baru ni, paling saya tak boleh terima mereka sebut mak ayah. Saya sangat terasa hati. Benda itu sukar saya nak terima. Mak saya lahirkan saya macam ni pun dah cukup baik," ujarnya.

Senang disapa Sufian, dia turut berkongsi satu video di aplikasi TikTok dengan komen seorang individu yang ditulis: "Kenapa nak mekap-mekap macam ni, kesian mak bapa kau dapat anak pondan."

Di sebalik segala kecaman yang diterima, anak ketiga daripada enam beradik itu tetap bersyukur apabila ramai lagi individu lain yang memberikan sokongan buatnya.

mekap1

Sufian berjinak-jinak dalam bidang itu sejak tahun 2019.

Dedah Sufian lagi, dia juga banyak menerima tawaran mekap selepas beberapa video solekannya tular di aplikasi TikTok sehingga ada yang mencecah lebih sejuta tontonan.

"Alhamdulilllah, lepas video yang dapat lebih sejuta tontonan tu, ramai yang contact nak tempah mekap bertunang, kahwin, event dan sebagainya.

"Ramai yang positif berbanding yang negatif sebenarnya. Kepada mereka yang banyak beri sokongan, saya ucapkan terima kasih. Tanpa mereka semua, siapalah saya ini?

Paling saya tak boleh terima mereka sebut mak ayah. Saya sangat terasa hati.

SUFIAN

"Cuma satu nasihat saya, gunakanlah media sosial dengan betul. Jangan komen bukan-bukan. Tak kira usia tua atau muda, janganlah kita tulis komen sehingga mengguris hati orang," ujarnya yang meminati MUA Bellaz.

Mengimbas kisah dirinya, Sufian yang juga graduan bidang Pengurusan Pejabat mula berjinak-jinak dalam dunia mekap ketika tahun 2019.

Imbas Sufian yang menetap di Tampin, Negeri Sembilan, dia pernah menyertai kelas solekan Datuk Alha Alfa dan banyak merujuk video-video tutorial di media sosial sepanjang berkecimpung dalam bidang itu.

mekap2

Sufian akui berysukur dengan sokongan yang diterimanya menerusi TikTok.

"Dulu masa belajar di kolej, kami semua kena buat grooming sebelum buat presentation. Jadi pada suatu hari, kawan perempuan minta saya tolong lukiskan kening dia. Bila saya cuba, dia berpuas hati.

"Kemudian saya cuba mekap pula. Tiba-tiba rasa terdetik nak masuk bidang ni. Dulu saya pernah masuk kelas solekan sekali saja, selain itu saya banyak rujuk video MUA lain di media sosial.

"Kepada lelaki atau perempuan yang minat nak masuk bidang ini, teruskan ke depan dan jangan dengar komen negatif. Jangan kita rasa was-was. Sampai bila-bila susah kalau asyik dengar cakap orang," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain