suria

Baju raya si comel dah siap, hajat bergelar ibu Aidilfitri kali ini tak kesampaian... Bayi sulung ‘pergi’ selepas 7 hari keluar hospital

Bayi sulung pasangan itu meninggal dunia pada 13 April lalu.

RASA pilu dalam hati, tak siapa mampu mengerti.

Begitulah rintihan Nurul Shafina Mazani, 26, yang pasti bukan mudah baginya untuk menempuhi hari-hari mendatang selepas puteri sulungnya, Afeeya Mikayla dijemput Ilahi pada 13 April lalu, sekali gus meninggalkan ruang kosong dalam jiwanya.

Bercerita lanjut, anaknya yang meninggal dunia pada usia tiga bulan 12 hari didiagnosis menghidap beberapa komplikasi berkaitan usus sejak dilahirkan pada 1 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita derita kanser lidah pergi jua... sempat tulis pesanan terakhir buat 5 anak

ARTIKEL BERKAITAN: Anak hilang kekuatan, ibu meninggal selepas 13 tahun tanggung 5 penyakit... hanya pusara pengubat rindu!

"Lepas lahir baru dapat tahu dia sakit. Selepas beberapa hari, dia masih tak buang air besar. Jadi doktor ambil sampel usus untuk ujian makmal. Doktor maklumkan usus kecil dan usus besar bayi kami tiada saraf, jadi ia tak dapat berfungsi.

"Sejak lahir sampai umurnya tiga bulan, dia duduk di hospital. Kemudian doktor panggil kami, maklumkan dah tak ada rawatan untuk teruskan. Jadi doktor akan off ubat dan drip air dia. Sebelum bawa balik, doktor pun dah maklumkan apa akan jadi.

fina4

Bayi comel ini dijemput Ilahi selepas lebih tiga bulan menerima rawatan di hospital.

"Doktor kata, dia hanya mampu bertahan dalam tujuh hari ke bawah. Tapi Alhamdulillah, bayi kami bertahan tujuh hari. Sepanjang tempoh itu, saya dan suami ada bagi dia susu dan air zam-zam. Tapi sebanyak mana kuantiti yang kami bagi, sebanyak itu juga yang keluar.

"Pada 13 April, tepat pukul 12 malam dia dah tak ada. Genap tujuh hari dia dibawa balik ke rumah. Sebelum dia pergi, setiap hari saya doa agar urusan dipermudahkan, tak sanggup tengok dia seksa. Jadi saya reda dia pergi," ujarnya sebak.

fina3

Fina dan suami reda dengan ketentuan Ilahi.

Senang disapa Fina, dia akui masih cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas puteri kesayangannya pergi buat selama-lamanya, minggu lalu.

Enggan terus berduka, Fina berkata, dia hanya mengambil cuti selama tiga hari sebelum kembali bekerja bagi meredakan kesedihannya.

Pada 2020, saya jaga mak yang sakit kanser lidah sehingga ke akhir hayatnya. Kali ini anak sulung saya pun sudah tiada.

FINA

Menurut Fina yang menetap di Penaga, Pulau Pinang, dia dan suami, Muhammad Faisal, 25, juga sudah membuat persiapan lebaran termasuk membeli pakaian buat anaknya.

Namun kata Fina, dia reda dengan ketentuan Allah dan menganggap tiada rezeki untuknya meraikan Aidilfitri sebagai seorang ibu pada tahun ini.

"Saya sebenarnya dah beli baju raya untuk dia, siap beli gaun. Tapi tak apalah, Allah lebih sayangkan dia. Baju raya saya dan suami belum beli lagi, tiada semangat nak raya tahun ni.

fina2

Fina bersyukur dikurniakan suami yang banyak memberi kekuatan.

"Tapi saya bersyukur, suami banyak beri kekuatan. Dia pun sedih, tapi dia perlu kuat untuk saya. Selain itu, adik-beradik, keluarga dan kawan-kawan pun banyak bagi semangat," ujarnya yang baru mendirikan rumah tangga pada Oktober 2020.

Untuk rekod, Fina pada Mac 2020 pernah mendapat liputan mStar apabila ibunya, Allahyarham Rosimah Ismail meninggal dunia akibat kanser lidah.

Ujar Fina lagi, dia reda dengan ujian yang bertalu-talu dalam tempoh singkat, di samping berterima kasih atas titipan doa netizen buat keluarganya.

fina8

Kisah pemergian ibu Fina kerana kanser lidah mendapat liputan mStar pada 2020.

"Orang tahu, saya diuji bertalu-talu. Pada 2020, saya jaga mak saya yang sakit kanser lidah sehingga ke akhir hayatnya. Kali ini anak sulung saya pun sudah tiada.

"Saya ingat 2022 ada berita gembira, tak seperti 2020. Tapi sama saja. Saya reda, baby pergi jumpa nenek dia. Terima kasih kepada semua netizen yang doakan kami, terharu baca doa anda semua," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain