suria

Penat berlari kejar bas, dah sampai pemandu tutup pintu! Netizen panas hati, Rapid Bus lancarkan siasatan cari kapten bertugas

Individu yang dikatakan mengejar bas Rapid namun tidak dapat menaikinya.

PELBAGAI insiden dan aduan dilaporkan terjadi antara pengguna dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Malah isu membabitkan pemandu perkhidmatan bas henti-henti antara bandar yang dikatakan biadab dan kurang ajar terhadap pengguna juga bagaikan tiada kesudahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah viral terpalit tindakan 'cancel culture'? Ramai bimbang... ada sanggup musnah reputasi, cetus masalah kerana habuan di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Sampai hati biarkan ayah usung tangki oksigen! 5 anak lali dimarah orang sekeliling... akui orang tua degil, mak pun pernah ditinggalkan

Terbaharu, pengguna Twitter Azlan Sulaiman mendakwa seorang pemandu bas bertindak menutup pintu tanpa menghiraukan kehadiran penumpang yang sudah berada di depan pintu.

Difahamkan kejadian berlaku di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur sekitar jam 3.10 petang, Sabtu lalu.

"Driver Rapid ni memang ramai sangat kurang ajar. Dia dah penat lari kejar bas dan sudah sampai (depan) pintu, kau boleh tutup. Bas tak penuh pun," ciapnya di Twitter bersama sekeping gambar.

Perkongsian ringkasnya itu kemudian menarik perhatian pengendali akaun Twitter @AskRapidKL yang kemudian mengajukan pertanyaan berhubung kejadian berkenaan.

"Hi, maaf ya. Kejadian berlaku jam berapa? Berlaku di mana dan menghala ke mana? Boleh dapatkan nombor laluan bas?" tanya pengendali akaun tersebut.

Seorang warganet berkongsi aduan yang dibuatnya kepada RapidKL.

Seorang warganet berkongsi aduan yang dibuatnya kepada RapidKL.

Bagaimanapun, pertanyaan itu ditemplak warganet dan ada yang mendakwa pihak terbabit tidak mengambil tindakan sewajarnya sehingga menyebabkan lebih ramai pemandu bas kendalian mereka bersikap kurang ajar.

Malah ada juga yang mendakwa pihak Rapid KL hanya sekadar mengambil aduan yang dibuat pengguna namun tiada tindakan susulan.

"Sejujurnya, tindakan yang mereka akan buat ialah setakat lapor dan simpan. Paling teruk pun mereka akan tukar pemandu tersebut ke laluan lain, mereka tidak akan tamatkan perkhidmatan sebab sejujurnya, mereka kekurangan pemandu bas," ciapnya.

Pemandu juga dikatakan pernah menengking pengguna bas.

Pemandu juga dikatakan pernah menengking pengguna bas.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman tidak menyenangkan dengan servis syarikat berkenaan.

"Kebanyakan pemandu Rapid KL memang kurang ajar terutama dengan warga asing. Kemudian ada yang bawa macam esok tak mahu hidup kerana melakukan brek kecemasan sehingga penumpang hampir terjatuh... yang baik, terlalu baik pula.

"Aku sendiri pernah masuk bas, kaki dah dalam bas dia boleh tutup. Sangkut kaki kat dalam bas dan dia nak bergerak, aku ketuk pintu bas. Dia buka dan tutup balik terus bergerak. Memang komplen, nak tahu apa dia balas? Tiada balasan selepas itu.

Antara netizen yang berhadapan situasi sama.

Antara netizen yang berhadapan situasi sama.

"Hi Rapid KL, perkara ini pun selalu terjadi pada saya. Laluan menghala Leboh Ampang, tolong nasihatkan pemandu jangan buat orang macam ni. Ada satu masa rasa nak nagis, penat tau. Tapi ada pemandu perempuan, cantik kakak tu.

"Pemandu Rapid memang kebanyakannya perangai macam tu. Tak tepati masa, pernah sekali tunggu bas sangat lama kemudian pemandu boleh berhenti tepi untuk beli sarapan. Semua penumpang dalam bas rasa 'panas' tengok... selalu ya benda ni jadi," demikian luahan pengguna perkhidmatan bas antara bandar berkenaan.

Susulan perkongsian yang diulang kicau lebih 13,600 pelayar Twitter dan menerima 22,500 tanda suka, Rapid KL menerusi akaun Twitter rasminya @AskRapidKL mengeluarkan kenyataan.

Kami memandang serius dakwaan tentang kejadian tersebut yang melibatkan etika dan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan Rapid Bas.

RAPID BUS SDN BHD

Ujarnya, Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengoperasi bas henti-henti Rapid KL melancarkan siasatan serta merta untuk mengenal pasti kapten bas terbabit agar tindakan susulan dapat diambil.

"Kami memandang serius dakwaan tentang kejadian tersebut yang melibatkan etika dan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan Rapid Bas," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, siasatan awal menggunakan data kotak hitam yang dirakam secara automatik menunjukkan bas terbabit telah berhenti di perhentian tersebut.

Bas Rapid lancarkan siasatan dan kenal pasti pemandu yang didakwa bersikap kurang ajar. - Gambar hiasan

Bas Rapid lancarkan siasatan dan kenal pasti pemandu yang didakwa bersikap kurang ajar. - Gambar hiasan

Bagaimanapun, katanya Rapid Bas akan meneliti rakaman litar tertutup serta menemu ramah kapten bas bagi melangkan siasatan dan sekiranya dia didapati bersalah, tindakan tatatertib sewajarnya akan diambil.

Rapid Bas juga memohon maaf atas kejadian tersebut dan memberi jaminan tindakan susulan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang di masa hadapan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan diminta untuk menghubungi talian bantuan Rapid KL di 03-78852585 bagi membantu siasatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain