suria

Pemuda cuak seorang je dalam bas nak balik Kedah dari KL... terimbas detik ‘kena jual di Siam’, rasa macam anak VIP pun ada juga!

Firdaus berkongsi pengalaman sewaktu menaiki bas untuk pulang ke kampung di Kedah.

KECOH mengenai seorang pemuda yang menjadi satu-satunya penumpang menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kedah.

Ia susulan perkongsian satu video menunjukkan dirinya keseorangan di dalam sebuah bas.

"Seriuslah dia hantar aku seorang je? Aku pula rasa serba salah," demikian antara keterangan video yang kini tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah, dah macam rombongan Cik Kiah! Bapa beli bas sendiri, bawa keluarga besar balik Jelebu sambil nyanyi lagu Apo Nak Dikato

ARTIKEL BERKAITAN: Video tular penumpang menari kena 'tegur', pemandu bas buka mulut kongsi kisah sebenar - "Jangan celupar kalau tak tahu cerita"

Berkongsi pengalaman, pemuda itu, Muhammad Firdaus Mohd Nor berkata, dia menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Anak muda berusia 26 tahun itu mengakui dia merupakan satu-satunya penumpang sebaik membeli tiket bas ekspres bagi perjalanan ke kampungnya di Kuala Ketil, Kedah.

"Saya ambil cuti kecemasan kerana ibu saudara meninggal dunia. Disebabkan saat akhir, saya tak dapat booked secara online dan perlu ke kaunter di TBS untuk membeli tiket bas.

"Masa di kaunter untuk pilih seat, memang tiada penumpang lain. Saya tiba kira-kira 15 minit sebelum bas dijadualkan bertolak pada pukul 10.30 pagi," katanya kepada mStar.

seorang dalam bas 5

Reaksi Firdaus ketika menunggu bas untuk memulakan perjalanan.

Tekaannya tepat kerana sebaik menaiki bas berkenaan di platform hanya dia seorang yang berada di dalam kenderaan tersebut.

"Terdetik dalam hati, eh biar betul saya seorang ni? Takkan driver nak bawa bas semata-mata nak hantar saya seorang ke Kedah?

"Bas belum bergerak dan driver tu berjalan mundar-mandir ke sana ke sini sambil bercakap menggunakan telefon. Apa yang berlaku sebenarnya," ujarnya yang berasal dari Kuala Ketil.

seorang dalam bas 1

Firdaus pulang ke kampung pada saat akhir atas urusan keluarga.

Bersangka baik, anak bongsu daripada enam beradik itu menunggu selama 20 minit sebelum memberanikan diri menegur pemandu bas kerana tersasar dari jadual yang ditetapkan.

"Saya tanya 'Saya seorang je ke bang?'. Driver tu barulah menjawab minta saya tunggu ke jadual berikutnya pada pukul 11.30 pagi.

Terdetik dalam hati, eh biar betul saya seorang ni? Takkan driver nak bawa bas semata-mata nak hantar saya seorang ke Kedah?

MUHAMMAD FIRDAUS MOHD NOR

"Saya tak kisah menunggu asalkan bas boleh bergerak. Selepas menunggu selama sejam, barulah ada tujuh lagi penumpang iaitu empat dewasa dan tiga kanak-kanak masuk ke dalam bas sebelum bas memulakan perjalanan," katanya.

Hanya lapan penumpang yang menaiki bas berkenaan, Firdaus memaklumkan dia selamat tiba di Kuala Ketil pada kira-kira pukul 6 petang.

"Saya sebelum ini balik kampung naik bas masa hujung minggu, jadi ramai orang. Ini first time saya balik pada hari bekerja, itu yang mungkin tak ramai orang," tambahnya.

seorang dalam bas 2

Firdaus mengimbas kembali insiden menaiki bas ketika bergelar pelajar UMT.

Firdaus yang bertugas di sebuah syarikat kurier berkata, ia bukan kejadian pertama dia menaiki bas dengan jumlah penumpang sedikit kerana pernah mengalaminya sewaktu belajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, pada 2018.

"Masa tu ada urusan di Kuala Lumpur dan nak balik naik bas ke UMT pada pukul 10 malam. Hanya ada tiga penumpang termasuk saya.

"Tiba-tiba saya dikejutkan dari tidur dalam bas ketika di tengah perjalanan. Kami diminta untuk turun dari bas dan menaiki sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna) Toyota Alphard.

"Memang cuak sebab masih tengah mamai, tiba-tiba kena suruh masuk dalam kereta. Risau juga, mulanya sangka kami kena jual kat Siam," katanya berkongsi detik cemas.

Firdaus yang kini mencari peluang dalam suara latar (VO) berkata, perasaan cemas mulai hilang apabila perjalanan mereka menaiki MPV semakin hampir ke destinasi, awal pagi.

"Saya adalah penumpang terakhir yang dihantar. Dari mula-mula rasa cuak, saya rasa macam anak Tan Sri bila dihantar guna Alphard terus sampai ke kolej (asrama)," ujarnya secara berseloroh

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain