suria

Suami dipuji buat kejutan untuk isteri guna kereta buruk dan berkarat, petik bunga kertas di masjid... betul ke ada Mustang di rumah?

Nisa menerima kejutan daripada suaminya ketika mereka keluar bersama.

UKURAN kepada kebahagiaan sesebuah rumah tangga bukan terletak pada harta dan kekayaan tetapi lebih kepada cara seseorang itu menghargai pasangan.

Sudah semestinya setiap wanita mengimpikan seorang suami yang dapat membahagiakan diri mereka walaupun lelaki itu tidak berharta atau datang dari keluarga kaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 2 tahun tak jumpa, isteri sebak suami tak cam wajahnya ketika buat kejutan di Singapura

ARTIKEL BERKAITAN: Berbulan rancang nak surprise suami, isteri dapat ‘kejutan’ terlebih dahulu... kek birthday terbelah di tangan runner tak jujur - “Kenapalah dia tak fikir”

Baru-baru ini, satu video yang dikongsikan, Anisa Suhaila, 25 mendapat perhatian apabila dia memuat naik rakaman menerima kejutan daripada suaminya ketika mereka keluar bersama.

Lebih menjadi perhatian warganet apabila suaminya Muhammad Shafiq, 24, berusaha dengan gigih melakukan kejutan istimewa dengan meletakkan hadiah yang dihias dengan bunga di dalam but kereta.

“Masa kejadian petang tu, saya tak sangka langsung suami nak buat surprise sebab dalam kepala saya nak pergi berniaga macam biasa. Saya dan suami berniaga waffle stick di gerai tepi jalan di Arena Square dekat Dungun, selain tu saya jual losyen pemutih juga.

“Biasanya saya pakai pakaian biasa saja untuk pergi berniaga. Cuma kebetulan dalam video tu nampak saya macam bersiap sebab dah janji nak pergi jumpa pelanggan.

“Tiba-tiba dalam perjalanan suami berhentikan kereta di tepi jalan. Dia ajak saya turun dan pergi dekat but kereta. Saya pun pelik tapi ikut saja. Rupa-rupanya dia buat surprise untuk saya,” jelasnya yang mesra disapa Nisa.

Namun pada masa sama, apa yang menjadi perhatian netizen bukanlah kejutan itu sebaliknya kereta lama, lusuh dan sudah berkarat jenis Datsun Sunny yang digunakan si suami untuk membuktikan kasih sayangnya kepada isteri.



Nisa sudah mendirikan rumah tangga sejak 8 Ogos 2020.

Jelas wanita yang menetap di Sura Tengah, Dungun, Terengganu, ini dia sendiri terharu dengan usaha suaminya sehingga sanggup merancang dan menyiapkan kejutan tersebut bersendirian.

“Memang terharu sangat dengan kejutan suami tu. Tak sangka dia boleh buat sampai kreatif macam tu sekali. Mati-mati saya ingat yang bertabur banyak-banyak tu bunga ros tapi rupanya bunga kertas.

Pasal kereta dalam video tu saya tak kisah dan tak malu pun sebab sebelum ni suami hanya bawa motosikal roda tiga saja pergi berniaga.

ANISA

“Lepas kejadian tu saya ada tanya suami, mana dia dapat bunga kertas banyak tu letak dalam but kereta. Saya tergelak bila dia beritahu petik bunga tu dekat masjid sebab nak bagi nampak cantik sekeliling hadiah jam tangan jenama Alba tu,” jelas Nisa.

Tambah wanita ini, sebenarnya ada sebab suami membuat kejutan pada petang itu, walaupun ia bukan kali pertama menerima kejutan daripada pasangan sepanjang perkahwinan mereka sejak 8 Ogos 2020.

Ibu kepada seorang cahaya mata berusia sembilan tahun yang merupakan hasil perkahwinan pertamanya ini berkata, dia langsung tak kisah atau malu dengan kereta usang yang dipandu suaminya.

“Suami saya memang selalu buat surprise macam ni. Memang romantik, tapi biasalah rumah tangga akan ada perselisihan faham sikit. Sebenarnya dia buat semua tu untuk pujuk dan minta maaf dengan saya.

“Pasal kereta dalam video tu saya tak kisah dan tak malu pun sebab sebelum ni suami hanya bawa motosikal roda tiga saja pergi berniaga. Tapi Allah bagi rezeki lebih berniaga jadi kami beli kereta yang dalam video tu.



Motosikal roda tiga yang digukan oleh Nisa dan pasangan untuk berniaga.

“Kereta tu dah tiga bulan kami beli. Itu pun selepas dah dua tahun berniaga. Kami beli kereta tu pun nak elak barang-barang niaga kena hujan panas. Kalau naik roda tiga tu memang susah sebab setiap kali hujan kena berhenti,” kata Nisa sambil menambah kereta itu dibeli pada harga RM1,000.

Bercerita lanjut mengenai video yang sudah meraih lebih 600,000 jumlah tontonan itu, Nisa menerima juga menerima komen sindiran mengenai kereta yang digunakan dan tindakan suaminya.

Bagaimanapun dia tidak menghiraukannya kerana mengganggap segala tuduhan tersebut tidak bernas dan salah.

“Bila video tu viral saya pun terkejut dan ramai puji cakap yang baik-baik saja tapi ada juga perli cakap tu marketing perniagaan saya saja.



Nisa dikatakan penipu kerana menggunakan kereta buruknya sebagai marketing.

“Mereka cakap saya ada Ford Mustang dan Toyota Alphard kat rumah. Memang betul saya ada kereta lain dekat rumah. Kereta saya guna dalam video tu untuk pergi berniaga saja.

“Kereta yang ada di rumah Satria Neo bukan seperti apa yang mereka cakap tu,” ujar Nisa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain