suria

Tragedi kedai ayam goreng! Ibu macam nak gila dapat tahu anak terduduk dalam periuk minyak panas, terus tutup bisnes

Rayyan melecur pada bahagian pinggang ke bawah gara-gara terduduk dalam periuk berisi minyak panas.

SUNGGUHPUN empat bulan sudah berlalu, namun tragedi yang berlaku pada tanggal 19 Oktober 2021 menjadi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh wanita ini seumur hidupnya.

Tarikh tersebut cukup meninggalkan trauma sehingga membuatkan wanita ini berubah menjadi seorang ibu yang terlalu berhati-hati dan 'protective'.

Bagi Umi Kalsom Md Saleh, 35, kesakitan yang ditanggung anak bongsunya, Muhammad Izz Rayyan, 5, akibat terkena minyak panas, menjadi mimpi ngeri yang tidak mahu dilalui sekali lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Disebabkan ‘tragedi mi segera’, gadis ini fobia cerek... idea rendam kaki dalam air sejuk sia-sia - “Tak sakit, sampai hospital melecur tahap 4”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Padah’ nak tunjuk stunt paling gempak, pengakhirannya amat menyedihkan - “Dia suka acah-acah samseng tapi tak ada yang takut”

Bercerita dengan mStar, wanita ini berkata kejadian yang menimpa anak lelakinya itu berlaku dalam sekelip mata sahaja ketika pekerjanya sedang melakukan proses penukaran minyak masak.

"Kejadian berlaku di kedai kami di Rengit, Batu Pahat. Saya berniaga kuih bangkit dan dalam masa yang sama turut berniaga ayam goreng. Ketika itu pekerja saya nak tukar minyak sisa gorengan ayam kepada minyak baru.

"Minyak yang panas itu dituang dalam periuk besi dan periuk itu atas lantai. Belum sempat nak diangkat ke atas meja, Rayyan kebetulan lalu dan entah macam mana, dia terjatuh dan terduduk dalam periuk berisi minyak panas itu.

"Ketika itu saya ada urusan di luar, hanya ada ibu dan pekerja di kedai. Masa dia jatuh, ibu kata Rayyan cuma menjerit kesakitan tapi tak menangis.

"Bila dapat panggilan daripada pekerja, saya ingat terpercik minyak saja. Tapi bila mereka beritahu keadaan Rayyan, rasa macam nak gila," imbasnya.

lecur 1

Rayyan melecur 19 peratus pada bahagian pinggang ke bawah.

Menurut Umi Kalsom, kulit anaknya melecur 19 peratus iaitu daripada bahagian pinggang ke bawah.

Ujarnya, disebabkan kecederaan tersebut, anaknya terpaksa menjalani pembedahan 'skin graft' di mana kulit bahagian belakang badan terpaksa diambil untuk ditampal pada kulit yang rosak akibat lecuran.

"Empat minggu Rayyan dirawat di hospital dan saya turut berkampung di sana untuk menjaganya. Memang detik yang sangat sukar lihat anak kecil sakit, tambahan pula suami bertugas di Dubai ketika itu.

"Kalau boleh kesakitan tu saya nak dipindahkan kepada diri sendiri sebab tak sanggup lihat keadaan Rayyan. Sedih tapi saya tak boleh menangis depan dia... saya kena kuat untuknya.

lecur 2

Rayyan perlu menjalani pembedahan 'skin graft' di mana kulit di bahagian belakangnya diambil untuk ditampal pada paha.

"Rayyan ni anak yang kuat, dia tak banyak mengadu sakit. Yang betul-betul nampak dia rasa sakit hanya lepas kesan bius hilang ketika hari pembedahan.

"Namun saya bersyukur, tak henti-henti orang doakan kesembuhan Rayyan. Malah kawan-kawan dan penduduk setempat turut buat solat hajat," cerita ibu kepada dua cahaya mata ini lagi.

Kini empat bulan sudah berlalu, Umi Kalsom mengakui keadaan anaknya sudah mula beransur pulih dan mampu melakukan aktiviti seperti kanak-kanak lain meskipun pergerakannya sedikit terhad.

Kalau boleh kesakitan tu saya nak dipindahkan kepada diri sendiri sebab tak sanggup lihat keadaan Rayyan.

UMI KALSOM MD SALEH

"Rayyan dah boleh berjalan perlahan-lahan, boleh ke sekolah, dan bermain. Alhamdulillah, lega tengok keadaan Rayyan sekarang. Kini Rayyan perlu follow-up setiap bulan.

"Tapi saya akui, kami berdua masih trauma. Doktor pernah cadangkan saya bawa Rayyan bertemu pakar psikiatri sebab dia kerap mengigau ketika awal-awal insiden dulu. Tapi sekarang dia dah okay.

"Saya pun sangat trauma, sehinggakan tak berani lagi nak tengok rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai hingga sekarang. Saya memang sangat protective, tak bagi anak-anak ke kawasan dapur dah.

"Selepas kejadian, saya ambil keputusan untuk tutup terus kedai ayam goreng. Hanya kedai biskut saja beroperasi," ujarnya lagi.

Menurut Umi Kalsom, perkongsian kisah Rayyan yang dibuat di aplikasi TikTok baru-baru ini hanyalah sekadar mahu mengimbas tragedi pahit tahun lalu dan dalam masa yang sama mahu mengingatkan ibu bapa di luar sana agar peka dengan anak-anak.

lecur 3

(Kiri) Rayyan kini beransur sembuh. (Kanan) Rayyan bersama kakaknya.

"Kita faham anak-anak kecil memang tengah lasak, jadi kena awasi kawasan yang boleh mendatangkan bahaya.

"Keduanya, andai kata kes macam ni berlaku kepada sesiapa selepas ini, siram bahagian tubuh yang melecur dengan air dan biar mengalir. Jangan lumur apa-apa, tapi siram air.

"Kita tak minta tapi dah tertulis benda nak jadi. Ini ujian untuk kami dan mungkin teguran untuk saya sebagai ibu. Namun pasti ada hikmah atas apa yang berlaku.

"Yang penting kena reda dan tawakal," katanya lagi.

Sehingga kini perkongsian video yang dimuat naik di aplikasi TikTok meraih sehingga 8.3 juta jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain