suria

Pernah diejek, ada kata conteng muka demi content... tapi gadis peminat Kpop ini tak kisah pun, mujur ada nenek ‘pakar motivasi’

Anis sering mendapat pertanyaan daripada warganet mengenai 'keunikan' dirinya.

GADIS ini sama seperti remaja lain, namun ada sesuatu yang membuatkan dirinya unik.

Mungkin bagi sesetengah individu, mempunyai tanda lahir yang agak ketara pada wajah dianggap 'mencacatkan' penampilan tetapi berbeza dengan remaja yang mahu dikenali sebagai Anis ini.

Gadis berusia 16 tahun ini agak aktif berkongsi video mengenai diri dan aktivitinya bersama rakan-rakan di media sosial, di mana ia sebagai salah satu cara untuk memupuk keberanian berdepan dengan khalayak.

ARTIKEL BERKAITAN: Memang rare! Dulu malu sekarang anggap diri unik, itulah gadis bertanda lahir ‘hidup’ pada wajah... warnanya berubah kalau kena air

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia cantik luaran dan dalaman, langsung tak sebut tentang tanda lahir itu...”

Berkongsi 'asal-usul' tanda lahir pada wajahnya, Anis berkata ia sememangnya wujud sejak lahir.

"Kemudian seiring dengan peningkatan usia, tanda tu ikut membesar sekali. Saya ada rujuk pakar kulit.

"Dan mereka cakap jika ada sesuatu kelainan terjadi, cepat-cepat rujuk semula dengan pakar, takut berkemungkinan boleh terkena penyakit lain seperti kanser kulit," ujar gadis yang menetap di Ipoh, Perak ini.

Tambah Anis yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik, hanya dia seorang dalam keluarganya yang mempunyai ciri unik tersebut.

Tidak terkecuali menjadi mangsa usikan kerana tanda lahir pada wajahnya, Anis berkata dia lebih suka mengambil pendekatan untuk bersikap positif.

birth mark 1

Anis berkata dia lebih suka mengambil pendekatan untuk bersikap positif.

"Masa tadika, saya baru nak berkawan. Ada juga rasa malu nak jumpa kawan-kawan takut ada yang pelik. Tapi bila dah lama-lama, just be yourself.

"Biasalah kawan-kawan waktu sekolah rendah ejek panggil 'tompok-tompok' tapi tak ambil hati sangat. Saya cuma pekakkan telinga dan buat hal sendiri.

"Selalunya nenek yang motivate. Dia selalu pesan 'kamu tu bukannya cacat cuma kulit saja terlebih sikit. Adalah hikmah tu'. Saya pun tidak ambil peduli apa yang orang kata," ujar penuntut tingkatan empat ini.

Aktif memuat naik video di aplikasi TikTok, Anis bersyukur kerana majoriti warganet memberikan komen berbentuk kata-kata semangat dan memuji sikapnya yang sangat positif.

Takkanlah setiap kali nak buat content, saya kena conteng. Mustahil orang nak conteng mukanya macam tu.

ANIS

"Tapi ada juga komen 'yang puji ni mesti perli'. Saya cuma abaikan dan ambil mana yang positif sahaja. Ada juga yang komen 'ini filter ke?'. Ada juga yang komen 'conteng muka ke?'.

"Saya pun dah penat nak jawab. Takkanlah setiap kali nak buat content, saya kena conteng. Mustahil orang nak conteng mukanya macam tu," katanya lagi.

Mahu menyebarkan mesej positif terutama kepada mereka yang kurang mempunyai keyakinan diri menerusi perkongsiannya, Anis berkata adalah penting untuk setiap individu bersyukur dengan kurniaan Tuhan.

birth mark 2

Anis merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik.

"Kalau kita tak positif, persekitaran pun tak positif, semua yang kita nampak akan jadi negatif dan dorong untuk berfikir 'kenapa aku tak cukup, kenapa aku tak lawa atau handsome macam dia?'.

"Semua ni akan attack kita dan terus overthinking. Letak mindset yang kita dah sempurna, elok, cantik. Ada orang di luar sana yang tak cukup sifat dan ada masalah lain yang lebih teruk dari kita.

"Jadi kita bersyukur dengan apa yang ada. Saya seorang peminat Kpop, dan muzik Kpop ni adakalanya pupuk sifat untuk sayangi diri sendiri.

"Dari situ saya belajar sayangi diri dan menerima kekurangan diri," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Harry Maguire jadi sasaran Chelsea