suria

Suka tiru wartawan, tak malu baca berita merata tempat... ibu berangan jadi penyampai ‘tarik’ anak jadi rakan setugas selepas sering gagal uji bakat!

Dua beranak ini suka meniru aksi pembaca berita televisyen.

KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Tujuan asal cuma mahu buat content parodi suka-suka tetapi siapa sangka gelagat dua beranak ini menjadi perhatian ramai.

Begitulah apa yang berlaku kepada Nor Salynata Salim, 40, dan puteri sulungnya, Putri Nur Arisya, 18, apabila aksi bersahaja mereka membaca berita di media sosial seperti penyampai profesional mendapat perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak ini sama-sama jelita... tapi si ibu lebih ‘laju’ dapat info dirinya jadi perhatian - “Mak saya tahu bukan dari saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Parodi Upin & Ipin buat pemuda ini raih jutaan pengikut Malaysia dan Indonesia, pergi uji bakat berlakon ditawar jadi penyanyi

"Saya memang minat berlakon baca berita sorang-sorang dari kecil lagi. Suka tiru gaya pembaca berita di televisyen. Saya akan baca surat khabar dan berita-berita dekat website macam portal mStar... baca ala-ala wartawan.

"Saya tak ambil kelas khusus pun, memang tak ada basic langsung dalam bidang penyampaian. Content semua untuk suka-suka je tapi pada masa sama saya harap jika ada peluang dalam bidang penyampaian saya nak cuba.

"Video pertama dekat TikTok tu saya post September tahun lepas. Masa tu dalam kereta, spontan je dengan anak buat lintas langsung tunggu mak tengah bersiap. Tak sangka pula video tu tular sampai ramai puji kami anak beranak macam pembaca berita sebenar," ujar wanita yang mesra disapa Saly ini.

Saly yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa turut mendedahkan bahawa dia pernah menyertai Baca Berita Challenge anjuran TV3 dan ketika itulah mendapat pengalaman membaca berita dalam sebuah studio di Sri Pentas.



Saly dan Putri kerap melaporkan berita secara spontan di TikTok

Imbas wanita yang kini menetap di Johor Bahru, Johor ini, dia juga pernah hadir ke uji bakat di Bernama TV untuk penyampai berita namun nasib tidak menyebelahinya.

Bagaimanapun, Saly gembira mendapat seorang teman apabila anaknya juga kini berminat untuk menjadi pembaca berita secara spontan sehingga ibunya menggelarkan cucunya itu sebagai 'rakan setugas'.

Bila orang tengok saya boleh buat walaupun tak ada basic, saya harap orang lain anggap tak ada yang mustahil bila kita cuba

SALY

"Dekat rumah saya dah terbiasa kalau bercakap memang macam baca berita. Anak-anak tengok je saya punya gelagat tapi mereka semua jenis introvert kecuali anak sulung. Dia minat menyanyi dari kecil tapi bila saya dengar suara dia, saya rasa dia ada potensi jadi pembaca berita. Jadi setiap kali buat video saya ajak dia untuk jadi rakan setugas. Sampai saya dah terbiasa panggil dia rakan setugas.

"Contohnya video terbaharu saya dekat Stulang, Johor... saya dan anak saya cabar diri bercakap dan rakam depan khalayak. Kalau nak ikut malu memanglah malu sebab kita ni bukan sesiapa pun, tapi bila fikir nak buat ni untuk hiburan dan dah selalu buat, terus jadi semangat dan dah tak kisah rakam depan orang ramai," ujarnya.

Walau hajat menjadi pembaca berita masih belum tercapai, Saly tetap bersyukur kerana masih ada keluarga serta masyarakat luar yang masih menyokong serta memberikan kata-kata positif kepadanya sehingga dia menerima beberapa tawaran reviu produk disebabkan jumlah pengikut yang semakin meningkat.

Ibu kepada empat cahaya mata ini juga sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk membuat reviu berbayar bagi sebuah produk pada Disember tahun lalu namun ditakdirkan menjadi salah seorang mangsa banjir apabila keretanya tenggelam.



Saly mengambil peluang untuk menonjolkan bakat dalam Baca Berita Challenge.

"Saya berangan masa tu nak buat reviu berbayar dan content dekat Kuala Lumpur. Lagipun ada kawan-kawan ajak jumpa dekat KL jadi saya pun pergi sana.

"Saya tak sangka kawasan hotel saya tu akan kena banjir. Pengurus hotel ada cakap kawasan tu tak pernah banjir, nak dijadikan cerita ia berlaku masa saya datang. Sampai sekarang kereta masih di bengkel di Gombak sebab rosak akibat banjir," ujarnya.

Tambah Saly, dia percaya walaupun masih belum ada rezeki sebagai pembaca berita namun dia percaya terdapat rezeki lain yang sudah ditentukan untuk dirinya.

Wanita ini turut menegaskan bahawa dia sentiasa berhati-hati dan memeriksa kesahihan sesuatu berita sebelum menyampaikannya di akaun TikTok supaya tidak salah memberikan maklumat kepada masyarakat.



Putri Nur Arisya merupakan anak yang mempunyai minat sama dengan ibunya sehingga digelar 'rakan setugas'.

"Pesanan saya, jangan malu nak mulakan sesuatu. TikTok ni antara platform mudah untuk semua orang nak mula tonjolkan bakat. Macam saya sendiri pun tak ada latar belakang penyiaran, tapi saya suka tengok pembaca berita lain.

"Bila orang tengok saya boleh buat walaupun tak ada basic, saya harap orang lain anggap dalam hidup ni tak ada perkara yang mustahil. Kalau ada minat bidang apa-apa pun jangan putus asa dan terus berlatih," katanya.

Posting pertama Saly dan anaknya membaca berita yang dimuat naik di TikTok mendapat lebih 800,000 jumlah tontonan dan rata-rata komen netizen terhadap dua beranak ini adalah positif.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain