suria

Dulu sedih sebab terpisah ke 2 universiti berbeza, kini ‘kembar berbakat’ sayu perlu pos ‘lukisan bersama’ ke Amerika

Hui Yan sedih tapi gembira apabila hasil karya dia dan kembarnya dibeli individu dari AS.

JARI jemari kreatif pasangan kembar berusia 27 tahun ini ternyata membawa tuah buat mereka berdua.

Selepas sekian lama mencari pendapatan sebagai pelukis sepenuh masa, nama Tee Hui Yan dan Tee Hui Mei semakin dikenali ramai sehingga mereka turut menerima tempahan dari luar negara.

Dalam satu video tular, anak sulung daripada empat beradik yang senang disapa Hui Yan itu kelihatan sedih untuk melepaskan hasil karyanya kepada seorang pembeli.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 5 kali interview arkitek tak dapat, pelajar master tak persia bakat seni... Yuna, Neelofa pun perasan! - “Rasa macam menang anugerah”

Bercerita kepada mStar, gadis itu mendedahkan 20 keping lukisan yang dihasilkan dia dan kembarnya dibeli individu dari Amerika Syarikat (AS).

Jelasnya, tempahan dibuat pada Disember 2021 dan lukisan-lukisan berkenaan baru sahaja dihantar ke AS beberapa hari lalu.

"Pembeli dari AS ini kenal kami menerusi Instagram. Dia dah tempah sejak Disember tahun lepas, tapi baru tahun ini baru kami pos kepadanya.

"20 keping lukisan itu terdiri daripada gambar kartun dan pemandangan yang kami berdua hasilkan. Tapi ini bukanlah pelanggan pertama kami dari luar negara. Sebelum ini, pernah ada pembeli dari Kanada.

kembar2

Pasangan kembar ini minat bidang seni sejak kecil dan kini bergelar pelukis sepenuh masa.

"Saya gembira sebab ada yang beli, tapi pada masa sama saya rasa sedih. Sayang dengan lukisan yang kami berdua hasilkan," ujarnya kepada mStar.

Menurut Hui Yan, dia juga terkejut apabila video memaparkan dia yang sedih untuk melepaskan koleksi lukisan tersebut menerima lebih sejuta tontonan di TikTok.

Kami dari tadika dah satu kelas, satu sekolah. Tiba-tiba kena berpisah sebab masuk universiti berbeza.

HUI YAN

Jelasnya, video itu dikongsi oleh adik lelakinya, Tee Chin Sheng, 22, yang turut berkemahiran dalam penghasilan lukisan digital.

Di ruangan komen, ramai netizen turut memuji lukisan dua gadis berbangsa Cina itu, malah ada juga yang menitipkan ucapan tahniah atas pencapaian mereka.

Kata Hui Yan, penangan video tular turut membuka ruang untuk bakat dia dan kembarnya semakin dikenali ramai.

kembar3

Antara lukisan yang dihasilkan pasangan kembar itu.

"Followers makin naik selepas kami kongsi video di Instagram dan TikTok. Kami dapat ramai pelanggan dari situ. Ramai juga yang tanya harga lukisan kami, ada juga yang nak tempat potret famili.

"Memang tak sangka kami akan viral. Jika makin ramai yang nak beli, kami perlu cetak karya asal. Artwork original ambil masa untuk dihasilkan satu-persatu.

"Tak sempat nak buat satu-satu. Mungkin juga kami akan buka jualan menerusi Shopee selepas ini," ujar gadis yang menetap di Petaling Jaya, Selangor itu.

Bercerita mengenai minatnya dalam bidang lukisan, Hui Yan mendedahkan dia mula bergiat aktif sejak zaman sekolah lagi.

Malah, dia dan kembarnya, Hui Mei turut menyambung pengajian dalam bidang tersebut di dua universiti berbeza, sekali gus memisahkan mereka yang sentiasa berdua sejak sekian lama.

"Saya masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dalam bidang Rekaan Grafik pada tahun 2015. Kembar saya Hui Mei pula sambung pengajian dalam bidang Seni Halus di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2016.

"Kami dari tadika dah satu kelas, satu sekolah. Tiba-tiba kena berpisah sebab masuk universiti berbeza. Setiap hari kami akan hantar mesej.

"Kini, kami berdua ada di rumah bersama. Kami menjadi pelukis sepenuh masa. Kami juga ada menerima tempahan potret dan pelbagai lukisan lain daripada pelanggan-pelanggan dalam Malaysia," ujarnya.

kembar4

Sebahagian lukisan pasangan kembar itu yang sudah dihantar ke AS.

Dalam pada itu, Hui Mei berpesan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai bakat agar tidak takut untuk memperkenalkan karya mereka kepada umum.

Ujarnya, dia sendiri masih jauh dalam bidang itu, namun menjadikan setiap hari mendatang sebagai proses pembelajaran untuk mencari kematangan dalam berkarya.

"Kena terus hasilkan karya lukisan. Kongsi saja di media sosial. Kita kena sentiasa terokai, latihan demi latihan akan mengasah lagi bakat kita. Teruskan melukis, suatu hari nanti pasti ada yang hargai bakat kita.

"Jangan takut-takut. Kena sentiasa yakin. Saya sendiri pun masih dalam proses untuk belajar. Tak akan pernah berhenti belajar," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain