suria

Guru tuisyen sempat bawa keluarga cipta kenangan terakhir di rumah pusaka sehari sebelum hanyut dibawa air, 35 kucing turut terkorban

Beginilah keadaan rumah pusaka ibu mentua Mohd Suhaizam yang hanyut dibawa arus air banjir.

MESKIPUN tahun baharu 2022 sudah membuka tirai, namun peristiwa yang berlaku pada tanggal 18 Disember 2021 tidak akan luput dalam ingatan lelaki ini dan keluarganya.

Pada tarikh itulah, tragedi bah besar melanda ketika dia dan keluarga pulang untuk bercuti di kampung halaman isterinya, di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

Tragedi yang berlaku hampir dua minggu lalu itu nyaris sahaja meragut nyawa mereka, selain turut menghanyutkan hampir separuh daripada rumah pusaka arwah ibu mentuanya yang dibina pada tahun 1960-an.

ARTIKEL BERKAITAN: Tolak percutian ke Langkawi, aktivis bawa anak yatim santuni mangsa banjir... biar tengok depan mata, sebelum ini tonton di TV saja

ARTIKEL BERKAITAN: Tak hujan tapi rumah ‘banjir’ paras buku lali di lewat malam, sejam bersihkan ruang dapur sendirian... mana tidaknya tahi kucing terapung di sana-sini!

Berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Suhaizam Che Endut ini berkata, ketika kejadian, dia baru dua hari tiba di kampung dari Kedah untuk berkumpul bersama adik beradik.

"Saya, isteri, Norhayati Hasim dan dua anak tiba di kampung pada 16 Disember. Di Kedah cuaca okay sahaja, tapi semasa dalam perjalanan, dah mulai hujan. Keesokannya hujan masih berterusan dan kami bersama ahli keluarga yang lain sempat buat makan-makan, barbeku pada sebelah malam.

"Pada 18 Disember, cuaca pada sebelah siang elok sahaja namun hujan mulai turun pada petang dan berterusan hingga malam. Lebih kurang pukul 8 malam, air dah naik di jalan depan.

"Dalam pukul 10 lebih, air mulai masuk rumah. Rumah pusaka ni tinggi, ada tiang. Air memang tak pernah masuk rumah tapi kali ini air masuk. Memang panik ditambah pula masa tu dah black out.

"Di atas lantai rumah kayu ni dah separas pinggang, bayangkan paras air kalau di luar... memang tenggelam dah orang rasanya," katanya yang menetap di Sungai Petani, Kedah.

Dalam situasi serba gelap gelita ditambah pula dengan paras air yang semakin tinggi, Mohd Suhaizam, 33, berkata mereka terpaksa bertindak pantas untuk menyelamatkan nyawa terlebih dahulu.

pusaka 1

Keluarga Mohd Suhaizam sempat mengadakan aktiviti makan-makan dan barbeku sehari sebelum kejadian.

"Masa air paras lutut, saya sebagai satu-satunya lelaki dewasa di rumah ketika itu cuba cari jalan nak selamatkan isteri, anak-anak, kakak ipar dan anak-anak buah.

"Saya pecahkan dinding untuk tembusi kawasan parkir yang masih dalam pembinaan. Kakak ipar memang bina kawasan parkir tu tinggi sikit. Dari parkir, kami ke rumah kakak ipar yang terletak bersebelahan... juga masih dalam pembinaan.

"Kami meniti kayu-kayu yang dijadikan titi dari parkir ke rumah kakak ipar. Di situlah kami menyelamatkan diri... sekurang-kurangnya ia binaan konkrit, jadi kukuh sikit daripada rumah pusaka yang diperbuat daripada kayu," ujarnya yang merupakan seorang guru tuisyen online.

pusaka 2

Air banjir mula mencecah paras lutut.

Selepas memastikan kesemua ahli keluarganya sudah berada di tempat yang sedikit selamat, Mohd Suhaizam kembali semula ke rumah pusaka tersebut untuk cuba menyelamatkan beberapa barangan penting.

"Saya dengan anak buah cuba alihkan peti ais dan mesin basuh. Tapi masa tu air makin deras dan hentam dinding rumah. Cepat-cepat saya selamatkan laptop, komputer, kucing dan letakkan di atas bumbung. Memang tak sempat rehat... kami cuba selamatkan apa yang boleh.

Daripada 50 ekor, hanya 15 yang masih selamat... sedih sangat tengok keadaan rumah arwah mak mentua pagi tu. Berubah sekelip mata.

MOHD SUHAIZAM CHE ENDUT

"Masa tu depan mata saya, dinding dan set sofa hanyut dibawa air. Keesokan pagi, separuh rumah pusaka arwah mak mentua 'hilang' dibawa air banjir.

"Barang-barang dan kucing yang saya letak atas bumbung pada malam sebelumnya termasuk kucing-kucing hanyut sekali. Daripada 50 ekor, hanya 15 yang masih selamat. Memang kami semua sedih sangat tengok keadaan rumah arwah mak mentua pagi tu. Berubah sekelip mata.

pusaka 3

Mohd Suhaizam dan ahli keluarganya berlindung di rumah kakak iparnya yang masih dalam pembinaan.

"Rumah itulah tempat untuk berehat daripada kerja setiap kali pulang ke kampung halaman isteri. Ogos lalu mak mentua meninggal dunia, kini rumah pusaka pula dah 'tiada'.

"Namun kami bersyukur kerana dapat menghidupkan kenangan di rumah pusaka itu pada malam sebelumnya. Meskipun rumah pusaka dah tiada, kenangan selama ini tetap tersemat dalam hati," katanya lagi.

Sehingga kini, video insiden berkenaan yang dimuat naik di laman Facebook meraih hampir 25,000 shares.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain