suria

Meraung “nak adik” di bilik mayat, menangis enggan berganjak dari kubur... kain batik tutup jenazah jadi pengubat rindu kakak

Nur Afra Eryna, 3, tidak mampu menahan tangis ketika menziarahi kubur arwah adiknya.

USIANYA baru tiga tahun setengah, namun si cilik ini penuh dengan sifat kasih sayang seorang kakak terhadap adiknya yang sudah meninggal dunia.

Kerana terlalu merindui arwah yang hanya sempat ditatap seketika sejurus sebelum dikebumikan, si kakak menangis hiba ketika mengunjungi pusara adik yang meninggal dunia lebih sebulan lalu.

Video si cilik yang menangis dan enggan berganjak dari tanah perkuburan sebagaimana yang sempat dirakam oleh ibunya, benar-benar meruntun hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidap asma teruk masa hamil, ibu reda bayi sulung meninggal sehari selepas dilahirkan akibat sesak nafas - “Mirip wajah saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sayu, lebih 2 tahun bapa enggan ke mana-mana sebab nak ziarah kubur ibu setiap hari - “Dah tak naik Honda City sejak mama meninggal”

Berkongsi cerita dengan mStar, Nurnasuha Abd Ghani berkata anak keduanya, Mohamad Affan Mohamad Shahrul Afdal hanya sempat melihat dunia kurang dari dua jam selepas dilahirkan kerana komplikasi jantung.

"Ketika dalam kandungan lagi doktor dah beritahu bayi saya mengalami komplikasi jantung dan mempunyai harapan tipis. Kata doktor, kalau bayi menangis sewaktu dilahirkan, mungkin ada sedikit peluang untuk survive.

"Ketika dilahirkan pada 6 November lalu sekitar pukul 6.19 petang, saya terdengar tangisannya dan berdoa agar anak saya dapat survive. Namun tak sangka, rupa-rupanya tiada harapan juga.

"Selepas bersalin, jururawat bawa ke wad NICU dan ketika itu, anak saya dah hembuskan nafas terakhir sekitar pukul 7.40 malam. Saya tak dimaklumkan kerana bimbang pitam atau sebagainya sebab baru bersalin. Saya hanya dapat lihat jasadnya yang tidak bernyawa namun saya reda walaupun sangat sedih," ujar wanita berusia 32 tahun ini.

Menurut Nurnasuha, selain dia dan suami, anak sulungnya Nur Afra Eryna juga sangat terkesan dengan pemergian ahli keluarga baru mereka.
kubur 1

Anak sulung Nurnasuha, Nur Afra Eryna tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika adiknya dikebumikan.

"Anak sulung yang kami panggil kakak memang nampak matang walaupun baru berusia tiga tahun setengah. Kakak sedih sangat bila dapat tahu baby meninggal dunia sebab dia paling excited tunggu adik lahir. Namun dia tak sempat jumpa, hanya dapat lihat jenazah dekat bilik mayat.

"Masa tu dia dah menangis meraung beritahu 'nak adik... nak adik'. Sampai ke kubur pun dia tak berhenti menangis lagi. Dalam video yang saya upload di TikTok tu, itulah kali pertama kami bawa dia ke kubur adik selepas lebih sebulan disemadikan.

"Masa nak balik, dia macam duduk diam tak nak berganjak sambil matanya dah berair. Kami hanya pujuk dan beritahu adik di syurga. Ambil masa lebih kurang 15 minit juga nak pujuk," ujarnya sambil menambah, jenazah anak keduanya disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang, iaitu berdekatan dengan kediamannya.

Saya tak kuat sebenarnya... apatah lagi saya sendiri masih berpantang. Tengok barang kelengkapan bayi pun air mata dah meleleh.

NURNASUHA ABD GHANI

Tambah Nurnasuha, anak sulungnya itu gemar memegang kain batik yang menutup jenazah arwah untuk melepaskan rindu.

"Saya tak kuat sebenarnya... apatah lagi saya sendiri masih berpantang. Tengok barang kelengkapan bayi pun air mata dah meleleh. Namun semangat kuat sebab kakak. Kadang bila dia rindu dan merengek, saya bawa ke rumah jiran rapat kami yang juga ada bayi hampir sebaya dengan arwah adik untuk lepaskan rindu," ujarnya yang menjalankan bisnes secara online.

kubur 2

Nurnasuha memangku anak keduanya, Allahyarham Mohamad Affan yang meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga melebihi 500,000 jumlah tontonan di TikTok, Nurnasuha berkata dia amat terharu dengan komen positif serta doa yang dititipkan netizen untuk arwah anaknya.

"Ada juga yang share pengalaman sama. Mereka kongsi cerita dekat DM. Bila baca kisah mereka, rupa-rupanya ada yang diuji lebih teruk daripada saya. Bila ramai kongsi kata-kata semangat, dari situ saya dapat kekuatan juga. Tak terbalas rasanya nak ucapkan terima kasih kepada semua," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain