suria

Hanya selamatkan 12 ekor bulus dan komputer masa banjir, pasrah tengok freezer jadi ‘sampan’ - “Tersedar jam 1.30 pagi sebab kucing bertempiaran lari’’

Kucing milik Norsyirul kini ditempatkan sementara di rumah kakaknya.

BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini boleh dikatakan agak teruk dengan belasan ribu rakyat dipindahkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan rumah mereka ditenggelami air.

Dalam keadaan paras air yang naik dalam tempoh yang singkat, perkara yang paling penting untuk diselamatkan adalah nyawa.

Bukan hanya manusia, haiwan-haiwan peliharaan juga perlukan bantuan bagi menyelamatkan nyawa mereka yang turut terkandas disebabkan bencana ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sempat duduk pun atas pelamin’’ - Pengantin tak tangguh photoshoot, rela basah abadikan momen perkahwinan dalam banjir

ARTIKEL BERKAITAN: “Penat tapi kenalah buat juga’’ - Pengantin ‘murah senyuman’ tetap menonjol di hari bahagia, video tenang dalam banjir raih lebih 7 juta tontonan

Mempunyai lima ekor anak bulus, Norsyirul Ain berkata dia dan suami hanya terlintas untuk menyelamatkan haiwan peliharaan terlebih dahulu apabila kediaman mereka mula dinaiki air pada Jumaat malam lalu.

Bukan hanya anak bulus mereka, Norsyirul turut menyelamatkan kucing milik ibu mentua yang kebetulan tinggal bertentangan dengan rumahnya yang terletak di sebuah taman perumahan di Meru, Klang.

"Ibu mentua saya terpaksa dipindahkan ke PPS, jadi kami selamatkan kucing-kucingnya. Mula-mula kami tempatkan si bulus yang kesemuanya berjumlah 12 ekor dalam sangkar tiga tingkat.

KUCING 1

Norsyirul hanya sempat menyelamatkan kucing dan komputer sewaktu banjir melanda rumahnya, dua hari lalu.

"Tapi tak lama kemudian air naik, jadi kami angkut sekali kesemua 12 ekor ke rumah kakak saya yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah saya. Dalam 12 ekor tu, ada seekor kucing betina baru melahirkan anak dua hari sebelum tu. Kesian ia 'dalam pantang'.

"Rumah kakak saya naik juga air tapi dah surut. Namun paras air di rumah kami masih tinggi iaitu sekitar paras pusat meskipun sudah hari ketiga banjir. Saya dan suami kini menumpang sementara di rumah kakak," ujar wanita berusia 26 tahun ini.

KUCING 4

(Kiri) Kawasan perumahan Norsyirul yang dinaiki air, (kanan) Pajero milik suaminya yang digunakan untuk membantu urusan perpindahan.

Norsyirul berkata, selain si bulus, mereka hanya sempat menyelamatkan sebuah set komputer milik suaminya kerana kekangan masa lantaran air naik dengan pantas.

"Masa malam Jumaat hari tu, saya tertidur awal. Kucing-kucing memang saya lepaskan dalam rumah. Tiba-tiba terjaga pukul 1.30 pagi. Masa tu tersedar sebab kucing-kucing bertempiaran lari nak selamatkan diri.

Dalam 12 ekor tu, ada seekor kucing betina baru melahirkan anak dua hari sebelum tu. Kesian ia 'dalam pantang'.

NORSYIRUL AIN

"Rupa-rupanya air dah naik ke paras buku lali ketika itu. Tak lama kemudian, paras air terus meningkat.

"Suami saya sempat bantu rescue orang dekat taman perumahan ini ke PPS terlebih dahulu menggunakan kereta pacuan empat roda Pajero. Berpuluh-puluh trip juga dia berulang alik," ujarnya yang juga seorang pereka multimedia di sebuah syarikat.

KUCING 2

Perabot rumah hampir ditenggelami air ketika hari pertama banjir, Jumaat lalu.

Norsyirul berkata, banjir pada kali ini adalah yang terburuk sepanjang dia menetap di taman perumahan tersebut.

"Saya dah tinggal di taman perumahan yang sama sejak kecil iaitu lebih 20 tahun lalu. Kalau hujan lebat dan banjir pun sebelum-sebelum ini, air naik hanya setakat pagar. Tak pernah lagi air masuk rumah.

KUCING 3

Si bulus milik Norsyirul dan ibu mentuanya kini ditempatkan sementara di rumah kakaknya.

"Namun kali ini sangat teruk. Selepas sehari air naik, kami datang semula untuk tengok-tengok apa yang boleh diselamatkan. Freezer tempat mak saya simpan kuih frozen untuk bisnesnya dah jadi macam sampan!

"Banyak barang dan perabot tak dapat nak diselamatkan. Hanya pejam mata sajalah tengok rumah dinaiki air. Ini adalah ujian buat kami dan mangsa-mangsa yang lain," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain