suria

Kongsi kisah pernah jadi mangsa buli, Tengku Hassanal kesal rakyat Pahang bergaduh - “Pelajar sekolah, tolong jangan pukul orang!”

Tengku Hassanal melahirkan rasa dukacita dengan kejadian buli di Pahang.

SEJAK kebelakangan ini negara digemparkan dengan beberapa kes buli melibatkan pelajar sekolah di mana ia mendapat liputan meluas pihak media.

Ketika ramai netizen melahirkan kemarahan selepas satu video buli melibatkan pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh tular di media sosial, perkara tersebut turut mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IgStory), baginda menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan beberapa kejadian buli seperti yang dilaporkan berlaku di Pahang baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes buli: 10 pelajar MRSM kena buang

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik! Tular video buli pelajar disyaki di asrama ‘maktab’... bangga tumbuk perut mangsa, ada yang jerit ‘mantap gila’!

"Saya dapat tahu ada kes buli di negeri saya. Saya dukacita dan kesal. Saya nasihatkan semua untuk sentiasa berbuat baik kepada rakan-rakan," titah baginda.

Dalam perkongsian yang sama, Tengku Hassanal turut berkongsi kisahnya yang pernah menjadi mangsa buli sebelum ini.

"Dulu saya pun pernah dibuli orang asing semasa di luar negara. Dan saya amat sedih apabila rakyat saya sendiri bergaduh.

"Kepada pelajar-pelajar sekolah semua di Pahang, tolong jangan bergaduh dan jangan pukul orang!" tulis baginda.

hassanal buli 2

Perkongsian Tengku Hassanal di Instagram Story, pada Selasa.

Tengku Hassanal seterusnya bertitah kes buli mesti segera ditangani oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan persekitaran sekolah selamat.

"Saya meminta semua pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan," tuisnya sambil turut membuat memuat naik 'screenshot' mengenai berita kes buli yang berlaku di Pahang.

Pada Isnin, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan polis menerima tiga laporan kes buli membabitkan tiga sekolah di negeri itu.

Dulu saya pun pernah dibuli orang asing semasa di luar negara. Dan saya amat sedih apabila rakyat saya sendiri bergaduh.

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH

PEMANGKU RAJA PAHANG

Tiga laporan berkenaan diterima dalam tempoh empat hari iaitu antara 6 Disember hingga 10 Disember lalu.

Menurut Mohd Yusri, laporan daripada mangsa buli mendakwa mereka dipukul pelajar senior atas pelbagai alasan sehingga mengalami lebam dan bengkak.

Dalam laporan polis pertama pada 6 Disember lalu, empat pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Muadzam Shah dijadikan 'karung tinju' oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Laporan kedua yang diterima pada 10 Disember pula melibatkan seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Maran, di mana mangsa mengalami lebam pada bahagian perut kerana dipukul oleh beberapa pelajar senior kerana didakwa memotong barisan di dewan makan asrama.

Laporan ketiga yang diterima juga pada 10 Disember, melibatkan seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Kuala Lipis, yang mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian muka selepas dipukul dengan tangan oleh beberapa orang pelajar senior kerana dituduh menghisap vape di asrama.

buli

Tangkapan skrin daripada video buli yang tular di MRSM di Perak.

Ujarnya, semua pelajar terbabit sudah dikenal pasti dan pada masa ini siasatan giat dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Minggu lalu, negara digemparkan dengan kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak susulan tersebarnya video memaparkan beberapa orang pelajar menumbuk perut seorang pelajar lain.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf berkata Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) mengambil keputusan menamatkan pengajian 10 pelajar maktab berkenaan yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain