suria

Bermula dron RM200, jejaka ini akui jatuh cinta sampaikan sanggup labur ribuan ringgit... lihat hasilnya, tak sangka edit guna telefon je

Johan mula berjinak-jinak dengan hobi itu pada tahun lalu.

MENIKMATI keindahan alam dari pandangan udara sudah tentu memberi kepuasan luar biasa buat jejaka ini.

Bermula dengan dron biasa, Mohammad Johan Arman kemudiannya sanggup melabur ribuan ringgit demi meneruskan minatnya yang bermula secara suka-suka sahaja sekitar tahun lalu.

Ketika dihubungi mStar, jejaka dari Kemaman, Terengganu itu mendedahkan dia sudah membeli tiga dron sejak pandemik melanda negara pada tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempak, laju lain macam! Pelajar terbangkan ‘racing drone’ atas sungai ketika berkhemah rupa-rupanya juara dunia - “Rakyat Malaysia pun boleh”

ARTIKEL BERKAITAN: Instagram kongsi gambar KLCC dirakam anak Malaysia, berbaloi jurutera ini keluar subuh angkut dron! - “Hadiah awal hari jadi saya”

"Saya mula main dron pada tahun lepas. Awalnya saya hanya beli dron biasa melalui Shopee. Harganya RM200.

"Pada waktu itu, saya memang tak ada pengalaman dan kemahiran berkaitan dron. Saya beli sekadar suka-suka, untuk hilangkan bosan.

"Pada masa sama, rasa tertarik nak cuba sebab kawan pun ada main dron," ujarnya jejaka berusia 24 tahun yang mesra disapa Johan itu.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia gigih berlatih dalam tempoh sebulan sebelum membeli sebuah lagi dron baharu berharga sekitar RM1,500.

johan4

Antara foto yang dirakam menggunakan dron oleh pemuda itu.

Akui mula jatuh cinta dengan hobi berkenaan, dalam tempoh beberapa bulan kemudian, dia turut membeli sebuah lagi dron baharu yang berharga RM4,299.

"Dron yang dibeli dari Shopee tu sememangnya sangat susah nak dikawal. Tapi saya guna juga untuk asah kemahiran.

Takut hilang, jatuh atau kena sambar dengan burung helang. Kena hati-hati khsusnya kalau terbangkan dron di kawasan pantai.

JOHAN

"Sebulan kemudian saya upgrade kepada dron lain. Dalam lima bulan lepas tu, saya tambah sebuah lagi dron baharu.

"Dron kedua saya dah jual, dron pertama pula rosak. Sekarang saya hanya ada satu saja. Saya sebenarnya sanggup berbelanja kerana dah jatuh cinta dengan bidang ini.

"Saya rasa seronok untuk edit video dan gambar. Pemandangan nampak luar biasa dari atas. Rasa puas bila dapat terbangkan dron.

"Tapi rasa risau pun ada. Takut hilang, jatuh atau kena sambar dengan burung helang. Kena hati-hati khususnya kalau terbangkan dron di kawasan pantai," ujarnya.

joohan3

Johan akui puas dapat menerbangkan dron demi memburu visual pemandangan menarik di negerinya.

Menurut Johan yang bekerja di Pelabuhan Kemaman, Terengganu, dia turut berkongsi hasil rakamannya menerusi Instagram dan TikTok.

Jelasnya, dia tidak sangka karya kreatifnya itu akan meraih perhatian ramai sehingga ada pihak mahu mengupahnya untuk projek penghasilan video.

"Saya aktif kongsi video tahun ini. Saya seronok bila ramai yang tengok hasil video saya. Ada juga orang nak upah untuk shoot video, tapi saya tak berani.

"Saya rasa belum bersedia dan belum cukup ilmu. InsyaAllah bila dah OK, nanti saya akan terima kalau ada peluang," ujarnya.

johan3

Antara hasil foto dan video yang dihasilkan Johan.

Selain videonya yang meraih puluhan ribu tontonan, Johan turut menerima banyak soalan netizen berkaitan dron.

"Ramai juga yang tanya nak beli dron apa, nak beli dron di mana dan sebagainya. Pesanan saya, kalau betul nak main dron, pastikan ada minat. Jangan sekadar ikut trend saja," ujarnya lagi.

Kata Johan, dia setakat ini hanya menerbangkan dron di sekitar Kemaman sahaja, namun berhasrat mencuba destinasi-destinasi luar pula jika diberi peluang suatu hari nanti.

Lebih menarik, semua video dron yang dihasilkan Johan hanya disunting melalui peranti telefon pintar sahaja sebelum ia dikongsi ke media sosial miliknya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain