suria

Bekas guru akui ‘struggle’ selepas berhenti kerja! Jual kek batik dikata bodoh... pernah bawa periuk, bungkus sate dalam kereta demi teruskan hidup

Razif berkata, dia kuat meneruskan bisnes demi ibu serta tiga anaknya.

TUJUH tahun berkhidmat sebagai guru, terlalu banyak kenangan yang diukir jejaka ini bersama murid-muridnya.

Namun, Razip Danial Riban mengambil keputusan untuk berhenti kerja dua tahun lalu untuk fokus terhadap restoran keluarga di Johor Bahru, Johor.

"Saya pernah bertugas di sekolah menengah swasta selama tujuh tahun. Saya mengajar subjek Geografi, Perdagangan dan Ekonomi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lupakan hasrat jadi cikgu, jejaka ini yakin dengan kerjaya pilihan mak ayah - “Tak jangka kena cuci najis tapi saya OK”

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu dikenali sebagai ‘Abang Kesian’ raih populariti luar biasa, tak melatah terima komen pertikai karakter lembut - “Rasa macam artis walau sendu”

"Kemudian saya berhenti kerja pada tahun 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda. Saya berhenti sebab ada bisnes. Nak fokus restoran.

"Pada waktu itu, saya sibuk mengajar dan terlalu percayakan orang. Dia buatkan saya rugi. Ia merupakan restoran keluarga, tapi saya yang handle," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Razif, dia mengakui terkesan apabila restoran yang berusia kira-kira 15 tahun itu terpaksa ditutup sementara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu.

Enggan terus bersedih, dia tampil dengan idea kreatif dan memulakan perniagaan kek batik, sate serta gubahan bunga untuk menampung kehidupannya.

Razif berkata, dia kuat meneruskan bisnes demi ibu serta tiga anaknya.

Razif sibuk berniaga sehingga kadang-kala terpaksa membungkus sate di dalam kereta.

"Semenjak PKP pertama pada Mac 2020, restoran tutup. Jadi saya berniaga kek batik secara online. Antara feedback yang saya dapat, pelanggan kata kek batik saya sedap, tapi rupa buruk sangat.

"Masa tu saya rasa sedih sebab saya buat sendiri dan belajar melalui YouTube saja. Banyak kali saya cuba. Akhirnya saya buat kek batik tower, saya juga buat lima jenis topping untuk kek batik. Jadi ia nampak menarik.

Walaupun banyak cabaran. Saya pantang mengalah. Bila pelanggan gembira, saya lagi gembira.

RAZIF

"Pada masa sama, saya mula jual sate. Kadang-kadang tak sempat siap, pelanggan dah call. Jadi saya bawa periuk dalam kereta. Masa anak buah drive, saya cedok kuah dan uruskan bungkusan sate," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.

Tambah Razif, dia bersyukur apabila bisnes tersebut makin mendapat sambutan dan turut menyimpan hasrat membuka kafe suatu hari nanti.

Mengimbas pengalaman bergelar pendidik selama tujuh tahun, Razif mengaku menyesali keputusannya, namun tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengubah masa lalu.

razif3

Razif akui rindu nak kembali mengajar.

"Sebenarnya dari hati saya, memang menyesal. Sebab peluang ini datang sekali saja. Dah berlalu, tak boleh nak ulang balik.

"Saya rindu nak masuk kelas dan dengar suara murid-murid ucap salam. Rindu situasi dalam kelas. Saya juga rapat dengan murid-murid saya.

"Ada juga rakan yang perli keputusan saya. Mereka kata... dulu cikgu, sekarang jual kek batik bodoh, sate bodoh. Mereka cakap bodoh. Saya kecewa, tapi ambil sebagai pembakar semangat," ujar Razif lagi.

razif2

Selain sate dan kek batik, Razif turut menawarkan khidmat gubahan bunga.

Ujar Razif, dia cekal meneruskan usahanya itu demi ibu tercinta, Rosidah Mohamad, 70 tahun.

"Walaupun banyak cabaran. Saya pantang mengalah. Bila pelanggan gembira, saya lagi gembira. Walau hasil jualan sikit, saya tetap akan bagi pada mak, minta dia doakan bisnes saya laku.

"Sekarang saya dah tak uruskan restoran, anak saudara saya yang handle sekarang. Saya fokus bisnes makanan saya saja," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain