suria

Sambut birthday di PKRC, ibu terkejut bagaimana kek idaman anaknya sampai ke pengetahuan frontliners - “Saya kata nanti buat bila balik rumah”

Aidan (duduk) bersama frontliners yang membuat kejutan hari ulang tahunnya ke-4 di Maeps.

DEWAN DG di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di Serdang, Selangor pada Isnin bergema dengan lagu hari jadi menerusi pembesar suara.

Menerusi video yang dikongsi di laman sosial, sekumpulan petugas kesihatan (frontliners) memakai peralatan perlindungan diri (PPE), membawa sebiji kek dan beberapa biji belon.

Apa yang pasti kejutan itu membuatkan seorang kanak-kanak yang juga salah seorang penghuni di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Maeps tersenyum riang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai PPE, berjoget hiburkan pesakit Covid-19 cilik... petugas sanitasi insaf kerja di pusat kuarantin - "Saya dulu bidang hiburan, tengok orang seronok-seronok"

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah positif Covid-19 dibawa ke Maeps 1 Syawal... anak menangis abah usahakan sesuatu tak dijangka dari dalam bas cermin gelap

Ibu kepada kanak-kanak bertuah itu, Nor Ashikin Baharudin berkata, dia tidak menyangka sekumpulan frontliners di PKRC membuat kejutan buat anaknya, Muhammad Aidan Nukman Noor Azman yang menyambut ulang tahun ke-4 pada Isnin.

Wanita berusia 43 tahun itu memberitahu, dia dan anaknya bersama lima lagi ahli keluarga dimasukkan ke PKRC Maeps selepas disahkan positif Covid-19.

"Hari Ahad, anak saya Aidan cakap yang dia nak potong kek untuk birthday. Dia kata nak kek yang ada hiasan macam padang bola, ada pemain bola kata atas kek. Saya kata okay, nanti buat bila balik rumah.

"Anak saya peramah, rajin tegur dan suka bercerita dengan makcik-makcik yang kuarantin kat Maeps. Sampaikan frontliners pun tahu dia teringin potong kek birthday," katanya kepada mStar.

kejutan birthday maeps 2

Kek hari jadi yang disediakan oleh frontliners.

Nor Ashikin yang merupakan peniaga di Tanjong Karang, Selangor berkata, reaksi yang ditunjukkan anak keenam daripada tujuh beradik itu turut menggambarkan bahawa dia tidak menyangka hari jadinya dikejutkan dengan kek dan belon gara-gara berada di pusat kuarantin.

"Anak saya tercengang tapi sangat gembira dengan kejutan tu. Dia suka makan kek, lebih-lebih lagi kek coklat. Kebetulan kek coklat yang frontliners bawakan untuk anak saya.

kejutan birthday maeps 3

Aidan seorang kanak-kanak ceria dan suka bercerita.

"Aidan (panggilan anak) kata kek tu sedap, terima kasih frontlines sebab bagi kek kat Aidan. Memang kami terharu dari mana mereka sempat carikan kek birthday.

"Pagi dah bagi buku mewarna, jajan dan nyanyikan lagu birthday, petang dipasang pula lagu birthday satu dewan dengar siap bawa kek dan belon-belon," ujarnya sambil menambah mereka sekeluarga dijangka dibenarkan pulang pada Jumaat ini.

kejutan birthday maeps 5

Nor Ashikin (kanan) bersama Aidan.

Sementara itu, salah seorang frontliners yang membuat kejutan itu, Anusieah Abdullah, 23, berkata, dia dan rakan-rakan setugas dipertemukan dengan kanak-kanak berkenaan menerusi pemeriksaan rutin harian di PKRC.

"Dia petah bercakap, jadi kami sembang-sembang. Dia bercerita beritahu hari ini (Isnin) birthday dia... dia teringin nak kek, kek ada 'padang bola' (hiasan).

Anak saya peramah, rajin tegur dan suka bercerita dengan makcik-makcik yang kuarantin kat Maeps. Sampaikan frontliners pun tahu dia teringin potong kek birthday

NOR ASHIKIN BAHARUDIN

"Mak dia kata dari awal birthday dia nak sambut ada kek. Saya syif pagi, jadi hanya mampu beri apa yang ada berupa goodies biasa yang tersedia. Ada jajan dan buku mewarna.

"Dia okay bila kami kata tak ada kek sebab tak ada kedai kat sini. Dia cakap tak apa, dapat tu pun dah cukup. Kami tersentuh dengan rendah diri dia walaupun masih kecil," katanya yang berpengalaman sebagai petugas kesihatan selama lebih dua tahun.

kejutan birthday maeps 4

Tasya (kiri) bersama rakan setugas berbual dengan Aidan.

Lebih mesra disapa Tasya, dia memaklumkan mengenai telatah kanak-kanak yang mencuit hati itu kepada penyelianya, Engku Nazri Engku Mansor yang kemudian menempah kek.

"Kami order kek dan belon dan datang kat dia dan maknya pada pukul 4 petang sambil pasang lagu hari jadi di Dewan DG Maeps. Dia memang happy.

"Siap ajak saya jalan-jalan pusing dewan sebab nak tunjuk kat orang yang dia dapat goodies. Kami happy sebab dapat menggembirakan orang yang menjalani kuarantin. Kami nak mereka rasa dihargai," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain