suria

Pakai PPE, berjoget hiburkan pesakit Covid-19 cilik... petugas sanitasi insaf kerja di pusat kuarantin - “Saya dulu bidang hiburan, tengok orang seronok-seronok”

Video Aysha dan beberapa petugas syarikat sanitasi menghiburkan seorang pesakit cilik di PKRC MITC menjadi tular di media sosial.

BIARPUN penat dan berpanas dalam sut kelengkapan pelindung diri (PPE), namun beberapa petugas kelihatan ceria melayani seorang pesakit cilik di sebuah pusat kuarantin.

Gelagat mereka memasang lagu di telefon bimbit dan menari bersama kanak-kanak tersebut meraih perhatian ramai selepas video tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan memuji petugas berkenaan kerana masih sempat menggembirakan pesakit walaupun penat dengan tugasan masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum ini hanya di belakang tabir... peluang 2 minggu jadi sukarelawan di Sabah, wanita ini dapat pengalaman tak dijangka - “Pernah diacukan kayu sebab ajak buat ujian swab”

ARTIKEL BERKAITAN: Lima bulan dikelilingi pesakit Covid-19, baru kini doktor dedah perkataan ‘lumpuh’ paling ditakuti barisan frontliners - “Kami menangis...”

Menurut Aysha Khairuddin yang merupakan salah seorang individu yang memakai PPE di dalam video tersebut, ketika itu dia dan rakan-rakannya baru selesai menjalankan tugas sanitasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

"Kami bukan doktor mahupun jururawat tetapi kakitangan New Allwell Pest & Cleaning Sdn Bhd yang merupakan sub-kontraktor MITC. Kami menjalankan sanitasi harian di MITC sejak ia mula beroperasi sebagai PKRC lagi.

"Memang dah kenal ramai dengan pesakit di sini, bersembang dan ada buat aktiviti bersama mereka selepas kami selesai kerja. Doktor dan jururawat sibuk dengan tugas hakiki seperti ambil darah dan periksa pesakit, jadi kami saja bantu hiburkan pesakit.

"Si cilik dalam video itu adalah adik Firaas dan berusia dua tahun. Dia masuk PKRC dengan ibu dan kakaknya, manakala ayahnya di hospital. Biasanya pesakit kanak-kanak termasuk Firaas akan alami simptom ringan dan mereka akan banyak meragam.

"Jadi kami bantu nak ceriakan mereka. Mula-mula tu dia baring sahaja, bila kami pujuk ajak berjoget, barulah dia bangun dan mood terus happy," ujar gadis berusia 24 tahun ini.



Aysha (kanan) dan rakannya menghiburkan adik Firaas selepas selesai melakukan tugas sanitasi di PKRC MITC.

Bercerita mengenai tugasannya, Aysha berkata ia sememangnya perkara yang mencabar ditambah lagi perlu memakai PPE dan menjalani prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

"Setiap kali masuk dalam ruangan kurantin untuk sanitasi, masa maksima hanya tiga jam. Selepas itu kena mandi dan sarung PPE baru. Malah lapisan dalam PPE pun bukan baju sendiri, sebaliknya yang disediakan.



Aysha menyertai syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sanitasi harian di MITC sejak ia mula beroperasi sebagai PKRC, Mei lalu.

"Memang SOP sangat ketat sebab kita perlu berdepan dengan mereka yang positif Covid-19. Penat dan panas tu benda biasa, tapi apabila dapat lihat senyuman mereka, bersembang... sedikit sebanyak hilang penat kami.

"Kesian sangat bila tengok pesakit yang dah tua. Bila kita bersembang dengan mereka, secara tak langsung boleh ceriakan dan naikkan kembali semangat mereka," ujarnya yang berasal dari Ayer Keroh.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Aysha, lapangan kerjanya ketika ini sungguhpun mencabar, namun menghadirkan seribu satu keinsafan dan pengalaman bermakna buat dirinya.

Kadang-kadang ada nampak pesakit sawan tiba-tiba, ada pesakit yang pengsan dan macam-macam lagi.

AYSHA KHAIRUDDIN

"Sebelum ini, saya daripada bidang entertainment dan pengurusan acara (event) hampir dua tahun. Tapi sejak pandemik Covid-19, event dah berkurang. Apabila ada peluang sertai kerja baharu, saya tak lengah-lengah dan terus mohon untuk sertai.

"Apa yang boleh saya katakan, bidang baharu ni buat kita rasa insaf dan mensyukuri nikmat kesihatan. Kadang-kadang ada nampak pesakit sawan tiba-tiba, ada pesakit yang pengsan dan macam-macam lagi.



Aysha (dua, kiri) mempunyai pengalaman bekerja dalam lapangan hiburan dan pengurusan acara selama dua tahun.

"Perkara ini beri kesedaran dan keinsafan buat saya... sebelum ini di bidang hiburan, kita tengok orang seronok-seronok, tapi di sini, kita tengok situasi yang berbeza 100 peratus.

"Kes pun makin banyak sekarang ni, jadi patuhilah SOP... sama-sama kita bantu putuskan rantaian Covid-19," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Dulu pengemis, kini bertanding ratu cantik