suria

Di sebalik hadiah jambangan duit... anak simpan kisah pilu membesar di rumah kongsi, lewat bayar yuran - “Dulu saya dihina sebab ayah pendatang”

Foto kanan bapa Sheyra ketika sambutan hari jadi, foto kiri Sheyra (kanan) bersama bapa.

'KASIH bapa sepanjang masa'... begitulah gambaran kasih sayang seorang bapa yang bersusah-payah membesarkan anak-anak.

Pengorbanan yang tidak ternilai itu dihargai seorang anak menerusi satu kejutan berupa jambangan bunga duit sempena hari ulang tahun bapanya.

Tiada kata-kata yang dapat meluahkan perasaan lelaki tersebut, sebaliknya hanya mampu memberi tersenyum dan mengesat air mata ketika reaksinya dirakamkan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bapa B40' buka cerita tak habis sekolah... akui kerap termenung, menangis di tempat kerja kenangkan nasib anak-anak - "Tak mahu mereka jadi seperti saya"

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ikut anak pergi kerja selepas diarah cuti tanpa gaji, makan tepi jalan sambil tunggu job masuk - "Ayah kata lebih baik kerja sampai 8 malam"

Shaira Edi memberitahu, kejutan tersebut dibuat sempena hari ulang tahun bapanya ke-55 pada 17 Ogos, tetapi baru dilakukan pada 29 Ogos lalu.

Lebih dikenali sebagai Sheyra, bapanya merupakan warga Indonesia yang datang ke Malaysia pada 1988 untuk mencari rezeki, sebelum berkahwin dengan ibunya yang merupakan rakyat tempatan.

"Ayah dari dulu sampai sekarang kerja di kilang proses kayu balak, dan rezeki itu ayah membesarkan kami sekeluarga.

"Dulu sewaktu di sekolah, saya selalu dihina kerana ayah seorang pendatang. Tapi ayah bekerja secara sah di Malaysia. Memang sedih dihina, tapi saya bangga dengan ayah atas pengorbanannya yang begitu besar," katanya kepada mStar.

ayah pendatang 2

Sheyra (kiri) bersama bapa (tengah) dan ibu tiri ketika membuat kejutan hadiah hari jadi.

Berkongsi pengalaman, wanita berusia 23 tahun itu berkata, bapanya membesarkan mereka empat beradik di rumah kongsi dekat kilang kayu dan kemudian berpindah selepas adik bongsu iaitu anak kelima dilahirkan.

"Walaupun ayah tak mampu bayar yuran sekolah kami, dia tak pernah sekalipun beritahu yang dia tak dapat bayar. Ayah tetap usahakan walaupun lambat bayar.

"Nak pastikan kami bersekolah, ayah sanggup pinjam duit kat bos, atau kadang-kadang balik lambat untuk kerja lebih masa bagi dapatkan upah lebih," ujarnya yang menetap di Temerloh, Pahang.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, bapanya yang berasal dari Sumatera, Indonesia sebenarnya belajar hidup susah dan berdikari seawal usia lima tahun.

ayah pendatang 6

Bapa Sheyra (kanan) bekerja di kilang kayu.

Mengakui bapanya adalah seorang yang garang sebelum ini, Sheyra yang merupakan usahawan kosmetik menjelaskan bahawa ia merupakan cara lelaki itu dalam mendidik anak-anak.

"Ayah begitu tegas dalam didikan. Dia selalu marah saya kalau ada perkara yang dia tak suka, dia pantau dengan siapa saya berkawan dan saya tak boleh keluar sesuka hati.

Walaupun ayah tak mampu bayar yuran sekolah kami, dia tak pernah sekalipun beritahu yang dia tak dapat bayar. Ayah tetap usahakan walaupun lambat bayar

SHEYRA

"Saya sedih juga sebab tak dapat banggakan ayah dengan belajar tinggi-tinggi, hanya setakat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sebab tak mampu," katanya sambil menambah bapa dan ibunya yang berusia 46 tahun telah berpisah beberapa tahun lalu.

Namun kata Syira, perubahan yang tidak disangka-sangka berlaku pada bapanya selepas dia mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun.

ayah pendatang 3

Sheyra (kanan) dan keluarga bersama bapa.

"Dari seorang yang sangat garang bertukar jadi kelakar dan lebih penyayang. Ayah memang susah nak kata sayang. Tapi suatu hari ayah call, dia beritahu dia bersyukur dan sayang anak-anak.

"Itulah pertama kali saya dengar ayah sebut sayang, selepas saya berkahwin dan ada dua anak. Tak dapat digambarkan betapa gembiranya dan terharu saya sampai menangis," katanya sambil menambah bapanya telah mendapat status pemastautin tetap sejak 2016.

Sehubungan itu, kata Sheyra, walaupun dilahirkan dalam keluarga susah, dia tetap bersyukur kerana dikurniakan seorang bapa yang penyayang dan bertanggungjawab.

"Susah macam mana pun ayah kita, sebagai anak kita harus bangga. Bersyukurlah Allah pinjamkan kita ada keluarga, ayah dan mak," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain