suria

Ala percutian di pulau, gadis ini seronok pergi cucuk vaksin dengan keluarga naik bot laju - “Lepas ni boleh makan sushi dine-in”

Foto kiri Nadirah menaiki bot laju selepas menerima dos kedua vaksin, foto kanan Nadirah di jeti di Pulau Tinggi.

IBARAT mahu menikmati percutian di pulau, seorang gadis dilihat menaiki sebuah bot laju dengan perasaan cukup teruja.

Pastinya sudah terbayang-bayang aktiviti laut seperti memancing, snorkeling dan menyelam yang menjadi kerinduan ramai pelancong.

Namun jangan salah sangka, keterujaan gadis itu menaiki bot laju sebenarnya kerana dia baru selesai menerima vaksin Covid-19 di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV).

ARTIKEL BERKAITAN: Panik but terkopak di PPV! Dah balik rumah, check IG, baru gadis ini dapat tahu selipar besar yang dipinjam milik petugas kacak - "Saya digelar Cinderella Malaysia"

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa nak baling phone selepas dapat dos kedua, sampai rumah kena gelak dengan mak pula... lelaki ini beri tip penting ketika rakam detik divaksin

Gadis berkenaan, Nur Nadirah Sakinah Mohamed Zainudin berkata, dia selesai menerima dos kedua vaksin pada 27 Ogos lalu bersama ibu, abang, nenek dan datuknya.

Lebih mesra disapa Nadirah, katanya, untuk tujuan itu mereka perlu menaiki bot ke PPV Chalet Tok Mok yang terletak di Pulau Tinggi, dekat Mersing, Johor.

"Saya sebenarnya menetap di Mersing dan bekerja bersama agensi pelancongan. Tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), aktiviti pelancongan terjejas.

"Sementara menunggu aktiviti pelancongan kembali aktif, saya pulang ke kampung atuk nenek di Pulau Tinggi dan tinggal bersama mereka," katanya kepada mStar.

vaksin di pulau 1

Nadirah menunjukkan kad vaksin selepas menerima dos kedua.

Nadirah berkata, Pulau Tinggi dengan perjalanan menaiki bot laju kira-kira 30 minit dari tanah besar juga didatangi pelancong ketika pandemik, tetapi dengan kemudahan yang terhad.

"Pulau Tinggi bukan macam pulau-pulau peranginan lain, di sini tak ada jalan raya. Tak ada motosikal, apatah lagi kereta. Pengangkutan utama adalah bot laju.

"Kalau nak beli barang keperluan pun kena pergi ke pekan Tanjung Leman di Mersing, naik bot laju antara 30 hingga 40 minit perjalanan.

"Atuk dan nenek tinggal di Kampung Teluk Tigi manakala PPV di Kampung Tanjung Balang. Nak ke PPV kena naik bot laju antara 10 hingga 15 minit.

"Saya dah standby pakai topi sebab angin kuat bila nak naik bot laju, kalau tak habis tudung saya berubah kedudukan... kena betulkan balik," ujarnya sambil menambah Pulau Tinggi dikenali dengan aktiviti memancing, snorkeling dan island hopping.

vaksin di pulau 2

Ibu Nadirah (kanan) bersama neneknya ketika menerima dos pertama vaksin.

Berkongsi pengalaman vaksinasi, anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, dia bersama tiga ahli keluarganya menerima dos pertama vaksin sebelum ini secara 'walk-in'.

"Setibanya di Kampung Tanjung Balang, kami berlima berjalan kaki ke PPV melalui laluan jeti yang diperbuat daripada kayu. Tak jauh pun, kira-kira 10 minit berjalan kaki dari jeti.

Pulau Tinggi bukan macam pulau-pulau peranginan lain, di sini tak ada jalan raya. Tak ada motosikal, apatah lagi kereta. Pengangkutan utama adalah bot laju

NADIRAH

"Proses suntikan dos kedua ni sangat cepat, kami selesai dalam tempoh 15 minit je. Tapi kami tak bergambar di photo booth sebagai kenangan dah ambil vaksin sebab atuk nak cepat.

"Masa tu ramai orang yang datang ambil vaksin kira-kira 30 orang, jadi atuk nak balik cepat untuk mengelakkan berada di tempat ramai orang terlalu lama ketika musim Covid-19 ni," katanya sambil menambah datuk dan neneknya, masing-masing berusia 75 dan 70 tahun serta mempunyai empat anak dan 10 cucu.

vaksin di pulau 3

Nadirah pulang ke kampung datuk dan neneknya susulan pelaksanaan PKP.

Nadirah yang berasal dari Mersing berkata, memandangkan aktiviti pelancongan masih belum dibuka di Pulau Tinggi, jadi masa lapangnya hanya diisi dengan aktiviti memancing dan mandi-manda di pantai, termasuk ke dusun durian di kawasan bukit apabila tiba musim buah.

Dalam pada itu, Nadirah berkata, dia tidak sabar untuk selesai tempoh dua minggu bagi melengkapkan dos vaksinnya bagi membolehkannya makan di restoran.

"Saya suka makan sushi, rindu sangat nak makan. Kali terakhir saya makan sushi pada tahun lepas. Tapi kat Pulau Tinggi ni tak ada kedai makan, apatah lagi sushi.

"Semua penduduk di sini masak di rumah. Kalau nak makan sushi kena pergi Mersing, tapi kena naik bot laju untuk pergi dine-in. Dari jeti Tanjung Leman pula kena naik kereta kira-kira 40 minit untuk ke bandar Mersing, barulah dapat makan sushi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain