suria

Conteng-conteng, siap! Pelukis dengan ‘7 followers’ terpaksa letak syarat selepas tawar lukis potret percuma, terima 5,000 permintaan dalam masa 3 hari

Foto kanan lakaran conteng potret kanak-kanak, foto kiri Rosyaimi membuat lakaran.

WAJAH seorang kanak-kanak tak dikenali dapat dilihat dalam sebuah lukisan, namun video di aplikasi TikTok yang memaparkan cara ia dilakarkan meraih lebih 1.6 juta tontonan.

Manakan tidak, dari lakaran yang dibuat sekadar conteng-conteng, ia kemudian berubah dengan luar biasa menjadi potret yang begitu berseni, menyamai foto sebenar.

Namun, timbul persoalan kenapa pemuda berbakat ini lebih banyak melukis potret individu yang tidak dikenali berbanding figura dan selebriti terkenal.

ARTIKEL BERKAITAN: Lukis nak tak nak je, pemuda ini terkejut 'lukisan orang malas' pun ramai minat nak beli... nasib baik boleh siap cepat!

ARTIKEL BERKAITAN: Potret kanak-kanak menangis atas pinggan bikin ramai sayu, pelukis dedah kisah di sebalik 'nasi berlaukkan kicap'

Pemuda berkenaan, Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz Jailani memberitahu, dia sebenarnya memulakan kerjaya sebagai pelukis kaligrafi pada 2017.

Pelukis berusia 30 tahun itu berkata, lakaran 'conteng-conteng' itu dibuat secara spontan apabila mahu mengembangkan karya kaligrafinya di aplikasi popular itu.

"Saya fikir macam mana nak masuk, nak start dalam TikTok. Saya pun rekod video saja-saja buat lakaran santai-santai dengan teknik conteng-conteng sehingga membentuk satu potret.

"Tak sangka pula ada view, ada followers baru malah ada antara mereka request mahu saya melukis wajah mereka pula," katanya kepada mStar.

lukisan conteng percuma 2

Lakaran menggunakan teknik conteng memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong.

Lebih dikenali sebagai Rosyaimi, katanya, bermula hanya tujuh pengikut di akaun TikToknya, ia kemudian bertambah hampir 30,000 pengikut dalam tempoh tiga hari.

"Saya memang terkejut sangat. Paling tak sangka ada yang buat request meskipun ia sekadar lukisan conteng-conteng, barulah saya tahu warga TikTok ni menyukai seni.

"Bagi meraikan followers, saya pilih mana-mana yang request untuk saya lukis potret mereka secara percuma," ujarnya yang berasal Hulu Terengganu, Terengganu.

lukisan conteng percuma 5

Lakaran potret bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan lakaran yang dibuat tidak mengenakan bayaran, anak sulung daripada lima beradik itu sekali lagi dikejutkan dengan banyak permintaan yang memenuhi ruangan komen.

“Memang percuma je, jadi request cecah hampir 5,000 dalam masa tiga hari. Memandangkan dah makin ramai, saya perlu menetapkan penilaian sebelum membuat pilihan.

“Syaratnya orang tu kena follow akaun TikTok saya, kedua mesti ada content di akaunnya dan ketiga, dia merupakan follower terawal yang request di posting tersebut,” tambahnya.

lukisan conteng percuma 4

Lakaran kaligrafi potret Ustaz Azhar Idrus dan Hael Husaini.

Menurut Rosyaimi, setiap karya 'contengan' yang tidak begitu terperinci mengambil masa kira-kira setengah jam untuk disempurnakan.

"Saya conteng-conteng ikut suka hati berdasarkan lakaran bentuk potret tu. Tapi kena lebih teliti pada bahagian hidung dan mata sebab lebih kecil.

Saya tak bercadang jadikan lukisan conteng ini komersial, mahu fokus seni kaligrafi. Tapi jika ada permintaan yang sanggup bayar untuk lukisan conteng, insyaAllah saya akan buat lebih halus dan terperinci

ROSYAIMI

"Kalau conteng saja nanti nampak berterabur, jadi saya kena memperhalusi di dua bahagian ini," ujarnya.

Siapa sangka, lukisan berkonsepkan 'conteng-conteng' pertama dihasilkannya adalah potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dihasilkannya pada 2019 dan ada dimuat naik di halaman Facebook miliknya.

lukisan conteng percuma 3

Lakaran kaligrafi memaparkan potret Lee Chong Wei.

"Potret Yang di-Pertuan Agong merupakan lakaran conteng pertama sebelum saya meneruskan di TikTok. Kenapa saya stop selama dua tahun? Sebab saya tak bercadang jadikan lukisan conteng ini komersial, mahu fokus seni kaligrafi.

"Sebab itulah saya meraikan peminat seni dengan lukisan conteng secara percuma. Tapi jika ada permintaan yang sanggup bayar untuk lukisan conteng, insyaAllah saya akan buat lebih halus dan terperinci.

"Fokus utama saya masih kepada seni kaligrafi. Jadi, perkongsian saya nanti akan diselang-selikan dengan lakaran kaligrafi sama ada dalam bentuk tulisan nama, potret atau benda.

"Saya mahu kembangkan jenama kaligrafi saya, cuma karya seni saya buka tempahan secara berbayar," katanya yang menghasilkan beberapa potret kaligrafi yang memaparkan wajah figura terkenal seperti pendakwah Ustaz Azhar Idrus, penyanyi Hael Husaini, pelakon Mira Filzah dan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain