suria

Nak gelak ke nangis... Peniaga nasi lemak terlajak membeli tiba-tiba cemas, tercari-cari kereta tapi tak jumpa, kena curi ke?

Ali terlupa bahawa dia keluar ke pasar raya dengan menunggang motorsikal.

MANUSIA tidak pernah lari dengan sifat lupa.

Itulah yang terjadi kepada seorang pemuda yang terlupa kenderaan apa yang dinaiki semasa ke pasar raya untuk membeli barang.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh pemuda tersebut, ia memaparkan dia telah membeli banyak barang dan terlupa datang ke pasar raya tersebut dengan motorsikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kongsi kisah 5 tahun sabar tunggu zuriat, akhirnya lahir ‘si pipi labuh’ popular macam anak selebriti - “Orang lain geram, kami pun sama”

ARTIKEL BERKAITAN: Terlajak kreatif! Potret tribute arwah Siti Sarah, Shuib guna 391 kiub rubik... ramai nak tempah tapi lelaki ini terpaksa tolak - “Saya cuba selami perasaan Shuib”

Rakaman visual yang lucu itu meraih hampir 130,000 tontonan di aplikasi TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Ali Jainneh, 31, berkata, dia sebenarnya tidak teringat datang ke pasar raya tersebut dengan menaiki motorsikal dan bukannya kereta.

Jelasnya lagi, pada waktu itu dia terburu-buru mahu mengejar masa sebelum pasar raya yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam itu tutup pada pukul 7.40 malam.

"Sebenarnya saya tak teringat pun yang keluar pergi membeli barang dengan motorsikal, sebab itulah saya beli barang banyak ingatkan bawa kereta kesana.

"Biasanya saya akan bawa van atau kereta bila nak membeli barang berniaga, tapi waktu itu nak cepat sebab saya tengah buat sambal di rumah. Lagipun takut pasar raya tutup jam 7.40 malam, jadi saya pun bawalah motorsikal dan tiba disana pada pukul 7.15 malam.

"Bila dah selesai membeli barang, saya pun tercari-carilah mana kereta tapi tak jumpa. Waktu itulah baru teringat yang saya keluar tadi naik motorsikal, bukan kereta.

IMG_6753

Ali (kiri) mula menguruskan perniagaan Nasi Lemak Jambatan Tamparuli sejak tahun 2018.

"Box penuh dan nak sangkut plastik dekat pemegang pun tak boleh, sebab nipis sangat. Jadi saya terpaksa letak semua barang di bakul pada bahagian pangkuan," katanya yang telah mengusahakan perniagaan Nasi Lemak Jambatan Tamparuli sejak tahun 2018.

Mesra disapa Ali, dia mengimbau kembali detik lucu itu dan memberitahu bahawa tujuan asalnya kesana hanya kerana membeli timun sahaja untuk perniagaan nasi lemaknya di Seksyen 18, Shah Alam.

Namun tidak sangka pulang ke rumah dengan lapan beg plastik berisi barang-barang berniaga yang lain.

"Tujuan asalnya nak beli timun sahaja tapi biasalah, bila dah sampai tu saya beli sekali barang-barang lain untuk berniaga seperti lampu dan mentol. Dah alang-alang kan? Beli je lah sekali daripada nak kena keluar banyak kali.

"Bila dah selesai bayar tu adalah dalam lapan beg plastik yang saya terpaksa bawa pulang dengan motorsikal. Nasib baik perjalanan pulang dari pasar raya nak ke rumah tu tak jauh mana, ambil masa dalam enam minit sahaja.

"Waktu tengah bawa motorsikal tu adala seorang lelaki pun sama macam saya, dia pun beli barang banyak juga. Dia pandang dan menegur 'banyak barang?', saya hanya tertawa seorang diri sebab malu.

Ramai juga yang pernah alami kejadian yang sama seperti saya.

MOHD ALI JAINNEH

"Sampai sahaja di rumah, pekerja saya semua pelik kenapa banyak sangat barang. Memang tak terfikir langsung nak telefon mereka untuk tolong datang ambilkan barang sebab perjalanan tak jauh mana pun," ujarnya

Rupa-rupanya, anak kelapan daripada sembilan beradik itu tidak keseorangan kerana ramai pengguna di TikTok juga pernah alami kejadian seperti ini.

Isterinya, Nadia Azmi, 32 hanya mampu ketawa sahaja apabila melihat gelagat suaminya yang terlupa.

"Memang kelakarlah bila difirkirkan semula kejadian tu, isteri saya pun ketawa sebab dia tak dapat bayangkan macam mana boleh bawa pulang barang yang begitu banyak dengan motorsikal.

"Bila saya baca komen di TikTok, rupa-rupanya saya tak keseorangan. Ramai juga yang pernah alami kejadian yang sama seperti saya, ye lah bila dah terlalu banyak sangat fikir sampai terlupa.

IMG_6752

Nadia hanya mampu ketawa melihat gelagat suaminya yang terlupa.

"Tapi sebenarnya agak bahaya kalau kita bawa terlalu banyak sangat barang di atas motorsikal. Ia boleh mengganggu konsentrasi seseorang itu untuk mengawal motorsikal tersebut.

"Barang-barang tu pun ada potensi untuk jatuh di jalan kalau tak di simpan dalam keadaan yang betul. Harap lepas ni lebih beringat bila nak keluar membeli barang berniaga," katanya yang berasal dari Tamparuli, Sabah.

Ali merupakan seorang bekas imam dan penysyarah sambilan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak sebelum berhijrah ke Shah Alam kerana isterinya merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Seksyen 20, Shah Alam.

Kini, anak kelahiran Sabah itu menguruskan gerainya sepenuh masa yang beroperasi dari Selasa hingga Ahad dengan bantuan beberapa pekerja.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain