suria

Selepas besarkan 10 anak, barulah bapa merasa miliki scrambler idaman! Kalau isteri tak berlakon, reka ‘drama’ mungkin kejutan tak menjadi

Mohd Adam dan adik beradiknya berpakat menghadiahkan motosikal idaman bapa mereka.

TIADA apa yang menggembirakan anak-anak apabila melihat senyuman terukir di wajah orang tua mereka, lebih-lebih lagi ketika menerima kejutan hadiah.

Menerusi video yang dikongsi di aplikasi TikTok, 10 beradik mencipta kejutan dengan menghadiahkan sebuah motosikal yang sekian lama menjadi idaman bapa kesayangan mereka.

"Anak-anak berpakat nak beli motor idaman bapa, akhirnya tercapai," demikian kapsyen pada video tersebut yang sehingga kini meraih lebih 1 juta jumlah tontonan!

ARTIKEL BERKAITAN: Ringkas dan sweet! Empat beradik ajak mak ayah main Explorace sebelum serah hadiah kejutan anniversary - “Mereka pelik tapi tetap ikut nota arahan”

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai ayah! 10 anak rancang kejutan birthday, selamba je bapa hias hadiah sendiri - “Tolong sikit je, tapi nak upah banyak”

Dalam video berdurasi 24 saat itu, kelihatan si bapa terkejut saat matanya terpandang sebuah motosikal 'motorcross' model Kawasaki KLX250 yang diparkir di dalam rumah, selepas pulang dari kerja.

Menurut Mohd Adam Salleh, 31, bapanya, Salleh Ibrahim yang berusia 64 tahun sememangnya memasang impian untuk memiliki sebuah motorcross sejak zaman mudanya lagi.

"Dia memang minat sangat motor jenis motorcross ni. Namun ayah bukanlah orang yang senang sebab hanya buat bendang dan kerja kampung sahaja. Masa berkahwin dengan emak, dia sanggup jual motosikal kesayangan untuk bina hidup baru.

"Niatnya itu terpaksa dikuburkan seketika kerana nak besarkan anak-anak. Bila anak-anak dah besar sikit, ayah beli motorcross 'second hand' namun kerap kali asyik kena baiki sana sini.

"Ayah ni bukan jenis meminta-minta tapi emak yang buka cerita, beritahu ayah teringin nak beli motor idaman dia. Memandangkan kami pun dah besar, ada ramai yang bekerja, jadi kami berpakat nak belikan motosikal baru untuk ayah.

motor baru 1

Mohd Adam dan adik beradiknya gembira melihat senyuman yang terukir di wajah bapa mereka selepas impiannya untuk memiliki motosikal idaman akhirnya tercapai.

"Rancangannya, kami jual motosikal lama ayah dan nanti kos selebihnya adalah menerusi pinjaman (loan). Ayah tahu rancangan nak belikannya motosikal baru, tapi dia tak tahu bila sebab saya yang uruskan semuanya," cerita Mohd Adam yang merupakan anak kedua daripada 10 adik beradik.

Tambah Mohd Adam yang merupakan seorang tentera, dia kemudian berpakat dengan ibunya untuk mereka-reka cerita bagi menambah elemen 'dramatik' supaya bapanya tidak mengesyaki rancangan mereka.

"Duit hasil jual motosikal tu saya yang pegang. Selepas saya selesai kursus selama dua bulan, barulah ada kesempatan nak uruskan pinjaman, survey motosikal dan sebagainya.

motor BARU 3

Motosikal jenis scrambler milik bapa Mohd Adam sebelum ini.

"Namun saya dan emak berpakat... emak beritahu ayah yang duit hasil jual motosikal tu dah habis sebab saya terpaksa guna semasa berkursus. Ayah langsung tak kecewa malah dia kata, nanti ada la rezeki.

"Syukur Alhamdulillah, permohonan loan lulus. Pada hari nak buat kejutan tu ayah keluar kerja ke bendang... masa itulah saya hantar motosikal, setting dengan adik beradik lain dan park motor dekat dalam rumah sebab takut dia nampak.

motor BARU 2

Bapa Mohd Adam (kanan, berbaju kuning) bersama rakan-rakan geng motor.

"Emak pun main peranan... dia suruh ayah balik kononnya ada masalah. Ayah sampai rumah, muka dah lain dah sebab fikir masalah yang emak beritahu. Perlahan-lahan masa dia masuk rumah, baru mak tunjuk suruh dia tengok 'kejutan' untuknya. Terus mukanya berubah senyum dan nampak happy sangat," ceritanya yang menetap di Jitra, Kedah.

Tidak menyangka perkongsian yang dibuat oleh adik iparnya menjadi tular di aplikasi TikTok, Mohd Adam berkata mereka adik beradik tidak mempunyai niat lain melainkan hanya mahu mencipta kenangan untuk tatapan masa akan datang.

Ayah ketepikan dulu impiannya kerana nak besarkan kami adik beradik. Ayah bekerja gigih nak pastikan kami cukup makan, pakai dan pelajaran.

MOHD ADAM SALLEH

"Bukan niat nak menunjuk atau sebagainya. Kami juga bukan berasal dari keluarga yang senang... namun kami adik beradik sepakat untuk memberikan sesuatu kepada ayah sebagai ucapan terima kasih kami atas jasanya selama ini.

"Ayah ketepikan dulu impiannya kerana nak besarkan kami adik beradik. Ayah bekerja gigih nak pastikan kami cukup makan, pakai dan pelajaran. Alhamdulillah walaupun buat kerja kampung saja, kami tak pernah putus lagi bekalan makanan.

motor BARU 4

Keluarga besar Mohd Adam yang terdiri daripada 10 adik beradik.

"Jadi inilah masanya nak tunaikan impian ayah. Puas rasanya dapat hadiahkan motosikal idaman. Masa saya kursus tu, saya takut fikir sama ada saya atau ayah 'pergi' dulu. Kita tak tahu ajal masing-masing. Jadi selagi ada peluang, pasti kita nak berbakti kepada orang tua.

"Setiap orang ada cara masing-masing, tak semestinya berbentuk hadiah. Ramai yang komen positif... tumpang gembira bila tengok ayah happy. Ada juga yang doakan kami murah rezeki. Terima kasih sangat. Mudah-mudahan sedikit sebanyak perkongsian ini beri inspirasi dan manfaat kepada yang lain," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain