suria

Susah nak ajak dating, jumpa mak ayah cuma sejam... selepas kahwin baru suami dari Pakistan buka rahsia kenapa ‘first date’ hanya 5 minit

Yumni (kanan) bersama suami ketika 'first date' pada Mei 2018, sebelum bernikah pada Ogos 2020 (gambar kecil).

SETAHUN mendirikan rumah tangga, wanita ini berkongsi kegembiraan meraikan ulang tahun perkahwinan pertama di aplikasi TikTok.

Bertemu jodoh dengan warga Pakistan, detik perkenalannya bersama jejaka pilihan itu sebenarnya tidak semudah yang disangka.

Nurulhuda Yumni Mohd Yasir berkata, usia perkahwinannya bersama jejaka yang berasal dari Karachi, Pakistan itu genap setahun pada 8 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Minta akaun 'FB tak aktif', batal flight ke Jepun... gadis terpikat dengan kesungguhan lelaki Arab kenal di ekspo walau minat jejaka 'jambu'

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tak solo! Kaki travel bertemu jodoh dengan tour guide, 'cair' keberanian jejaka Kashmir - "India bukan dalam senarai percutian saya"

Berkongsi pengalaman, katanya, dia mula mengenali suaminya di tempat kerja yang mana ketika itu suaminya merupakan pekerja senior pada awal 2018.

"Saya buat part time job selepas tamat pengajian. Date pertama kami pada Mei 2018, itu pun selepas empat kali ajak. Dia sebenarnya susah nak keluar dengan mana-mana perempuan.

"Jika ada pun, dia akan keluar beramai-ramai dan kebiasaannya bersama rakan-rakan sekerja," kata wanita berusia 27 tahun ini kepada mStar.

Lebih mesra disapa Yumni, katanya, pertemuan pertama mereka di luar waktu kerja bagaimanapun tidak berlaku seperti yang dirancang.

jodoh pakistan 1

Yumni dan suaminya di awal perkenalan.

"Sebenarnya kami rancang nak tengok wayang berdua, tapi dia tak sihat. Sebelum tu kami minum teh panas di restoran, itu pun macam nak cepat je.

"Dia tiba-tiba kata tak sihat. Kami minum dalam lima minit, lepas tu kami masing-masing balik. Lima minit je first date kami," ujarnya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.

jodoh pakistan 3

Sewaktu sesi fotografi pra-konvo.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, tempoh pertemuan yang begitu singkat membuatkan dirinya menganggap pekerja Pakistan itu tidak berminat dengan dirinya.

"Tapi dia sebenarnya okay. Saya kemudian ajak dia temankan saya untuk sesi fotografi pra-konvo. Tak sangka pula dia sudi," ujarnya yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pentabiran Perniagaan (Kewangan Islam) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Yumni berkata, hubungan mereka kemudian semakin rapat, namun pada masa sama dia mengakui bimbang ibu bapanya tidak dapat menerima lelaki warga asing sebagai pilihan.

"Saya beritahu kalau dia serius nak kenal dengan saya, kenalah jumpa mak ayah di kampung. Dan dia setuju," katanya sambil menambah suaminya yang berusia 32 tahun itu berperwatakan pemalu, lemah-lembut, menghormati orang lain dan boleh bertutur dalam Bahasa Melayu.

jodoh pakistan 2

Yumni bernikah dengan jejaka pilihan pada 8 Ogos 2020.

Namun, rancangan jejaka Pakistan itu untuk menemui ibu bapanya di Kelantan nyaris tidak menjadi apabila lelaki berkenaan terlepas penerbangan waktu pagi dari Kuala Lumpur.

"Dia beli tiket baru untuk flight tengah hari. Tiket balik sebelah petang kerana dia hanya mempunyai sehari cuti seminggu dan tak dapat mohon cuti tambahan ketika itu.

"Ayah pada mulanya tak yakin dia nak datang. Tapi ayah kemudian nampak effort dia beli tiket baru, sanggup datang ke Kelantan balik hari, esoknya dia nak kerja lagi.

Ayah pada mulanya tak yakin dia nak datang. Tapi ayah kemudian nampak effort dia beli tiket baru, sanggup datang ke Kelantan balik hari, esoknya dia nak kerja lagi.

YUMNI

"Masa tu, kalau dia datang ke Pasir Puteh dari lapangan terbang di Pengkalan Chepa yang mengambil masa kira-kira 45 minit sehala, tak sempat nanti ke airport untuk kejar flight.

"Saya, ayah dan mak menjemputnya di airport dan kami meluangkan masa bersama di kedai makan berdekatan lebih kurang sejam sebelum hantar dia ke airport untuk flight ke KL," tambahnya.

jodoh jejaka pakistan 3

Yumni (kanan) dan suami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Bermula dari kesungguhan itu, hubungan mereka direstui dan bernikah pada Ogos 2020, dan kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia tiga bulan.

"Alhamdulillah urusan kami untuk disatukan dipermudahkan selepas mendapat restu keluarga. Selepas berkahwin, kisah first date dibangkitkan semula dan suami mendedahkan hal sebenar.

"Suami beritahu dia sebenarnya tak pandai nak keluar dengan mana-mana perempuan. Jadi dia nervous masa keluar dengan saya dan tak tahu nak bagi alasan apa selain demam.

"Maka terbongkarlah rahsia selepas kahwin. Dia sebenarnya bukanlah tak sihat masa first date, tapi dia pemalu sangat," ujarnya secara berseloroh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain