suria

Pemuda bengang! Susah-susah edit video, ada pihak selamba kongsi buat macam konten sendiri... siap padam nama pemilik

Kesal dengan apa yang berlaku, Afiq meluahkan rasa marahnya di TikTok dan Twitter miliknya sebelum pihak berkenaan tampil membuat permohonan maaf.

“LEMBU punya susu, sapi dapat nama,"

Ini yang berlaku kepada seorang pemuda yang mana video hasil suntingannya telah digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab dengan menjadikanya sebagai konten sendiri di laman Instagram miliknya.

Bukan sahaja tidak memberikan sebarang kredit kepada pemilik video asal, individu itu juga telah memadam nama pemilik di bahagian awal video tersebut.

Pemilik asal video tersebut Muhammad Afiq Jasmizal, 21, berkata membuat suntingan video adalah hobinya dan dia sering memuat naik hasil suntingan berkaitan sesuatu produk di akaun TikTok miliknya.

Video yang meraih lebih 37,700 tontonan dan 23,200 tanda 'like' itu merupakan video set Happy Meal McDonald's yang disunting pembungkusannya menjadi set edisi kumpulan muzik Korea Selatan terkenal, Blackpink.

ARTIKEL PILIHAN: Pernah makan biskut kering cicah air paip... wanita ini bangkit selepas dihina! - “Kini giliran saya bantu mereka yang terkesan“

Menerusi video yang disunting, set tersebut ditukar menjadi warna merah jambu dan hitam dan telah menarik pehatian warganet terutamanya peminat K-Pop dan kumpulan Blackpink sendiri.

Untuk rekod, syarikat rangkaian makanan segera popular di dunia itu sebelum ini pernah mengeluarkan edisi terhad set kumpulan K-Pop BTS dan ia mendapat sambutan hangat.

llll

Muhammad Afiq memberitahu pada awalnya dia sama sekali tidak mengetahui tentang perkara ini sehinggalah dimaklumkan oleh rakan-rakannya.

Ketika dihubungi mStar, Muhammad Afiq menzahirkan rasa kesal dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil hasil karya orang lain tanpa kebenaran dipercayai atas tujuan 'mengaut' pengikut dan jumlah tontonan.

“Saya tiada niat nak tularkan isu ini di Twitter dan TikTok. Saya hanya geram dengan sikap individu yang tak bertanggungjawab mengambil hasil video karya saya untuk kepentingan akaun mereka. Lebih-lebih lagi mereka membuang nama yang saya letakkan di awal video," katanya.

Kesal dengan apa yang berlaku, pereka grafik yang menetap di Jitra, Kedah ini bertindak meninggalkan komen di akaun Instagram terbabit yang sering memuat naik hantaran video mengenai makanan.

Namun, komen tersebut telah dipadam dan pengendalinya bertindak menyekat akaun Instagram yang meninggalkan komen pada posting tersebut.

“Mula-mula saya tak tahu tentang hal ini tapi kawan-kawan yang beritahu dan tunjuk akaun Instagram yang gunakan video hasil suntingan saya tanpa kebenaran.

“Saya dan kawan-kawan cuba tinggalkan komen pada posting itu namun saya dan rakan disekat dan komen-komen kami dipadam.

"Bengang saya bila dapat tahu ada orang sewenangnya “buat kerja” dengan mengambil karya orang lain tanpa kebenaran," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak berkenaan telah memohon maaf dan memadam video tersebut sambil memberi pandangan amalan 'merompak' hasil karya seseorang tidak sepatutnya berlaku.

"Pihak akaun Instagram itu dah mohon maaf kepada saya dan mereka sudah memadam video tu. Cuma saya masih kesal sebab saya rasa kita tak sepatutnya mengambil hak orang lain tanpa kebenaran. Itu sudah dikira mencuri," katanya.

mcd3

Muhammad Afiq telah menerima permohonan maaf daripada pihak yang mengambil videonya tanpa kebenaran.

Pihak akaun Instagram itu dah mohon maaf kepada saya dan mereka sudah memadam video tu. Cuma saya masih kesal sebab saya rasa kita tak sepatutnya mengambil hak orang lain tanpa kebenaran. Itu sudah dikira mencuri.

MUHAMMAD AFIQ

Muhammad Afiq berkata, sebagai seorang pereka grafik yang sudah berkecimpung dalam bidang itu selama lebih dari empat tahun, hasil karyanya boleh dijadikan sebagai portfolio dalam mencari rezeki.

Selepas apa yang berlaku, Muhammad Afiq mengambil positif dengan apa yang berlaku sambil berpesan kepada pelukis, pereka grafik atau penyedia kandungan lain supaya meninggalkan nama atau 'watermark' pada setiap hasil karya yang dihasilkan.

“Tak baik gunakan karya orang lain untuk kepentingan sendiri. Kami juga nak cari makan,

mcd4

Antara hasil karya Muhammad Afiq yang disunting mengikut kreativitinya.

“Bukan senang nak sunting sebuah video. Untuk pereka grafik dan video editor yang lain, jaga betul-betul karya anda dan letakkan nama dan atau watermark supaya lebih selamat,

“Nak hasilkan konten yang berkualiti bukan mudah. Saya pesan kepada mereka yang mempunyai hasil karya, jagalah hasil karya baik-baik. Jangan biarkan orang lain ambil kesempatan atas hasil titik peluh kita," pesannya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain