suria

Lima beradik panik selepas intai ‘shopping cart’ ibu, sambutan birthday terpaksa diawalkan - “Ada tiga pilihan, kami beli yang paling berkualiti”

Foto kiri ibu Amirul bersama hadiah meja mengajinya, manakala foto kanan ibu Amirul bersama bapa yang memegang hadiah hari jadi berupa baju dan dompet.

ALANGKAH bertuahnya menerima kejutan, apatah lagi ia adalah hadiah sempena hari jadi.

Begitulah yang dirasai oleh seorang ibu yang menyambut hari ulang tahunnya diiringi kejutan daripada anak-anak.

Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok, kejutan itu dibuat di surau mini di kediaman wanita itu bersama keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terpinga dapat hadiah casing telefon, senyum di akhir cerita sebab boleh sambung main game 2 bulan tertangguh - "Gaji kami masing-masing terjejas"

ARTIKEL BERKAITAN: 11 anak berdepan cabaran buat kejutan gubahan duit, 3 hari keluar-masuk 7 bank... silap langkah ibu merajuk - "Mana kami pergi, mak akan ikut"

Salah seorang anak, Amirul Syahmi Ahmad Amran berkata, kejutan itu dibuat di kediaman keluarga di Sungai Buloh, Selangor sempena ulang tahun ibunya ke-52 pada 23 Jun.

Pemuda berusia 22 tahun itu bagaimanapun memberitahu, ibunya diraikan lebih awal pada 7 Jun ketika menyambut hari jadi bapanya yang ke-56.

"Surau mini tu baru siap pada Mei lalu selepas pengubahsuaian di atas tapak halaman rumah, yang merupakan hajat mak ayah sebelum ini.

"Walaupun surau tersebut sudah boleh digunakan, tapi masih ada sesuatu yang mak kata belum lengkap dan kami anak-anak merealisasikan hajat mak itu dengan memberinya sebagai hadiah hari," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Amirul, katanya, ibunya sebelum ini sering mengadu memerlukan meja untuk mengaji al-Quran kerana sakit lutut sekiranya duduk bersila di lantai atau atas sejadah.



Keadaan dalam surau mini.

Pada masa sama jelasnya, ibunya juga ada membuat tinjauan di laman web beli-belah popular bagi merancang untuk membuat pembelian meja bagi memudahkan aktiviti mengaji.

"Mak selalu mengadu sakit lutut bila duduk bersila mengaji meskipun al-Quran diletakkan atas rehal. Jadi, mak memerlukan meja yang lebih sesuai untuk mengaji.

"Kami check ada tiga pilihan meja dalam shopping cart (troli beli-belah) di aplikasi Shopee kat telefon mak. Kami pasti itu pilihan meja yang hendak dibelinya untuk surau mini," ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu.



Ibu (kiri) dan bapa Amirul.

Menurut Amirul, dia bersama adik-beradiknya membuat keputusan untuk membeli meja yang paling berkualiti dan menarik sebagai hadiah tanpa pengetahuan ibu mereka.

"Bila kami tahu ada senarai pilihan barang dalam shopping cart kat telefon mak, bila-bila masa mak boleh order untuk membelinya sendiri.

Ada senarai pilihan barang dalam shopping cart kat telefon mak, bila-bila masa mak boleh order. Kami cuba melengah-lengahkan mak buat keputusan untuk membeli.

AMIRUL

"Kami cuba melengah-lengahkan mak buat keputusan untuk membeli, dan bermacam-macam alasan diberikan termasuk ada meja lain di rumah boleh sebagai ganti.

"Pada hari kejutan, kami minta ayah bawa mak keluar beli barang bagi membolehkan kami bawa masuk peralatan dan memasangnya di surau mini. Sebab itulah mak terkejut tiba-tiba ada meja mengaji," katanya sambil menambah ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa.



Amirul (hadapan, kanan) bersama keluarganya ketika sambutan hari jadi ibu.

Amirul yang baru menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Sunway di Petaling Jaya, Selangor berkata, meja berharga kira-kira RM500 itu dilengkapi lampu dan kerusi untuk kegunaan di surau mini yang boleh memuatkan lima jemaah pada satu-satu masa.

"Mak terharu bila dapat meja mengaji tu sebab itulah yang dia inginkan dan kami tunaikan senyap-senyap sebagai hadiah hari jadi.

"Lampu meja seperti ring light itu membolehkan mak untuk mengikuti kelas mengaji bersama ustazah menerusi WhatsApp video call. Memang terang macam orang buat live tu.

"Bukan saja meja mengaji, tapi juga dijadikan sebagai meja mekap untuk mak bersiap. Memang mak excited sebab meja tu dihias mak bagi lebih cantik," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain