suria

Lama kakak simpan rahsia, si adik pilih anggur nak kejutan nampak ‘real’... reaksi atuk buat ramai tersentuh - “Bila Angah belajar agama, lagilah ‘sekepala’”

Datuk kepada Adib tidak dapat menahan tangis sebaik sahaja melihat kelibat cucu kesayangan yang dirinduinya muncul di depan mata.

KERINDUAN seorang datuk terubat apabila cucu kesayangannya muncul di depan mata membuat kejutan tanpa disangka-sangka.

Video pertemuan tersebut yang dimuat naik di aplikasi Tiktok begitu meruntun hati netizen lebih-lebih tatkala memaparkan wajah datuk tersebut yang tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja cucunya membuka pelitup muka.

Sehingga kini video berkenaan meraih melebihi 740, 000 jumlah tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hajat hati nak buat prank je, tak sangka mak ambil serius video tugasan anak - “Kau apasal cakap bohong, mama tak nak lah”

ARTIKEL BERKAITAN: Entah dari mana muncul, pak guard terpaksa elak pelukan Minnie Mouse comel! Dengar maskot gelak, terus beri ‘greenlight’ peluk

Menurut Nur Arysha Najiha Jasmi, adik keduanya, Muhammad Adib Arshad, 22, atau Angah sengaja mahu melakukan kejutan buat datuk dan nenek mereka memandangkan pemuda itu sudah dua tahun tidak pulang ke Malaysia kerana melanjutkan pelajaran di Yaman.

Nur Arysha berkata, dia bertanggungjawab merahsiakan kepulangan adiknya ke tanah air seterusnya berpakat melakukan kejutan istimewa sebagaimana permintaan pemuda itu.



Adib membuat kejutan kepada datuk dan neneknya minggu lalu selepas tiba di tanah air dan menjalani kuarantin selama 2 minggu.

"Angah kali terakhir pulang Malaysia pada 2019. Dia belajar jurusan Pengajian Islam di Yaman sejak 2017. Bulan Ramadan lalu baru tamat belajar dan pulang ke tanah air seminggu selepas Syawal.

"Kami berdua saling berhubung dan Angah minta jangan beritahu sesiapa dia nak balik. Mak, ayah, sepupu dan saudara mara lain semua tak tahu sebab dia kata tak tahu lagi nak balik bila.

"Sayalah orang yang simpan rahsia ni, uruskan semua dengan kedutaan dan macam-macam sehinggalah dia selamat tiba di tanah air dan jalani kuarantin dua minggu.



Nur Arysha (kiri), kakak sulung Adib (kanan) bertanggungjawab merahsiakan kepulangannya ke tanah air daripada pengetahuan semua ahli keluarga.

"Kejadian yang dirakam itu pada Ahad lalu. Angah tiba di rumah ayah di Lubuk China, Melaka pada tengah hari selepas selesai kuarantin... petang hari baru dia ke kampung datuk nenek yang terletak sebelah taman perumahan saja untuk buat kejutan,"ujar anak sulung daripada empat adik beradik ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Nur Arysha, Angah sengaja berpura-pura menyamar sebagai 'orang asing' yang tolong menghantar kiriman buah anggur daripada seseorang, untuk mengaburi mata datuk dan neneknya.

Niat asalnya nak prank sahaja. Tapi bila buka pelitup muka dan perkenalkan diri, atok sebak dan menitiskan air mata hingga membuatkan saya pun turut sama menangis.

MUHAMMAD ADIB ARSHAD

"Buah anggur adalah buah kegemaran atuk. Masa sampai, nenek yang duduk di tangga pun tak cam Angah, datuk pun tak cam sebab penglihatan kurang jelas.

"Bila tengok dekat-dekat, dengar suara, barulah cam rupa-rupanya itu adalah cucu yang dirindui," ujar wanita berusia 24 tahun ini.

Cerita Nur Arysha, Angah adalah antara cucu yang sangat rapat dengan kedua datuk dan neneknya, malah seringkali disebut-sebut sejak pemuda itu melanjutkan pelajaran ke luar negara.



Adib (duduk, kanan) melanjutkan pelajaran ke Yaman dalam jurusan Pengajian Islam sejak 2017.

"Masa dulu-dulu, rumah atuk nenek memang jadi tumpuan kami dan sepupu sebab tinggal dekat-dekat je. Angah ni dia rajin bercakap, malah rajin tolong atuk.

"Bila Angah belajar agama, lagilah 'sekepala' dengan atuk sebab dia suka cucu dia belajar agama... boleh dia tumpang bertanya. Selalu sangat dia tanya kami bila Angah nak balik... akhirnya sekarang dah ada depan mata," ujar Arysha.

Dalam temubual yang sama, Muhammad Adib berkata dia sendiri tidak menjangka reaksi datuknya yang begitu sebak sebaik sahaja menyedari kepulangannya.



Adib baharu menamatkan pengajiannya pada Ramadan lalu.

"Niat asalnya nak prank sahaja. Tapi bila buka pelitup muka dan perkenalkan diri, atok sebak dan menitiskan air mata hingga membuatkan saya pun turut sama menangis.

"Masa saya nak sambung belajar dulu, dia pesan 'timbalah ilmu selagi boleh dan manfaatkannya untuk semua'. Alhamdulillah, di usia 87 tahun, atok sihat cuma kadang kala semput, penglihatan kurang dan tak boleh berjalan jauh.

"Saya bersyukur dapat pulang dan berpeluang jumpa atok dan nenek lagi. Dekat atau jauh kita, sentiasalah berhubung dan luangkan masa dengan keluarga kerana kita tak tahu bila ajal menjemput," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain