suria

Pengantin sporting layan pertanyaan ‘tangan bengkak, benjol’... pernah disakat teruk rakan-rakan suami sebelum kahwin

Foto kiri memaparkan Fatin menunjukkan tangannya yang kelihatan 'membengkak' sementara gambar kanan bersama suaminya.

PERKONGSIAN video seorang wanita bersama suami yang baru dikahwininya bukan sahaja dihujani ucapan tahniah, malah turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen gara-gara kedua-dua tangannya yang kelihatan seperti 'membengkak'.

Menerusi aplikasi TikTok, pengantin perempuan itu cukup 'sporting' apabila diminta netizen supaya menunjukkan tangannya yang 'membengkak' itu secara lebih dekat, malah dia sedia menjawab beberapa persoalan berkaitan tangannya.

Pengantin perempuan berkenaan, Nurul Fatinnajwa Kadiron memberitahu, dia bersama jejaka pilihannya mendirikan rumah tangga pada 4 April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpikat dengan lelaki OKU, kini dah pun jadi suami... isteri jual produk herba demi 'mata batu' - "Nampak sikit senget, ingatkan tanda lahir"

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis 'hilang' nikmat makan guna tangan sebab ekzema - "Saya sampai total lost, rasa nak potong tangan tapi..."

Wanita berusia 24 tahun itu menolak tanggapan segelintir netizen bahawa keadaan tangannya itu berpunca daripada terkena api atau air panas, sebaliknya dia menjelaskan bahawa ia disebabkan oleh penyakit keturunan yang dialaminya sejak kecil.



Keadaan tangan Fatin yang dialaminya sejak kecil.

"Keadaan ini berlaku sejak umur saya enam tahun. Mula-mula bengkak tu kecil je, tapi lama-kelamaan saiz bengkak menjadi lebih besar dan kekal sehingga sekarang.

"Sebenarnya bengkak tu bukan setakat di kedua-dua tangan sahaja, tapi juga di kaki serta beberapa bahagian lagi di badan. Ada juga benjolan di bawah mata," katanya kepada mStar.

Walaupun keadaaan fizikalnya tidak begitu serius, dia lebih mesra disapa Fatin berkata, bahagian bengkak dan benjolan itu akan terasa sakit jika ditekan dengan kuat.



Fatin dan jejaka pilihannya disatukan sebagai suami isteri pada 4 April 2021.

Dalam pada itu, kata-kata cacian disebabkan kekurangan itu bagaikan sudah lali dalam hidupnya namun wanita ini mengakui ia sebenarnya mengguris perasaannya.

"Kata-kata paling kasar sehingga membuatkan saya terasa hati apabila mereka memanggil saya cacat. Orang pandang-pandang seolah-olah saya ni tak ada perasaan.

"Tapi lama-kelamaan, kata-kata sebegitu saya tak ambil kisah dan memberi kekuatan kepada saya untuk menerima kekurangan ini," ujarnya yang berasal dari Ampang, Selangor.



Fatin menerima kekurangan pada dirinya.

Malahan anak bongsu daripada enam beradik itu bersyukur kerana mengenali seorang lelaki sejak lima tahun lalu sehingga berakhir ke jenjang pelamin.

"Walaupun kita diberi ujian, ada seseorang yang hadir dalam hidup saya menerima kekurangan diri saya. Dia layan saya seperti orang lain.

Saya pernah tanya tidakkah dia berasa malu bersama dengan orang yang nampak cacat di mata orang lain. Dia jawab kenapa perlu malu sebab dia tak pernah pandang saya begitu.

FATIN

"Paling saya terharu di awal perkenalan kami, dia sanggup mempertahankan saya apabila disakat teruk oleh rakan-rakan dia," ujarnya yang berniaga tudung secara dalam talian.

Fatin berkata, dia menyifatkan suaminya yang juga berusia 24 tahun sebagai seorang lelaki yang penyayang, merendah diri dan bertanggungjawab.



Fatin bersyukur dikurniakan seorang suami yang baik dan penyayang.

"Bila kami semakin rapat, saya pernah tanya dia adakah dia sedar yang terdapat kesan bengkak atau benjolan pada bahagian badan saya. Katanya dia perasan tapi tak nak tanya sebab bimbang perkara itu sensitif jika ditanya.

"Saya juga pernah tanya tidakkah dia berasa malu bersama dengan orang yang nampak cacat di mata orang lain. Dia jawab kenapa perlu malu sebab dia tak pernah pandang saya begitu.

"Sampai sekarang saya ingat yang dia pernah kata bagi dia... sayalah paling sempurna di mata dia. Alhamdulillah, dalam kekurangan saya Allah kurniakan saya kelebihan memiliki seorang suami yang baik," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain