suria

Selepas ‘konvo’ depan rumah dengan abang J&T, bakal hakim Mahkamah Syariah akhirnya naik pentas... siap pakai 2 selempang!

Iskandar menerima transkrip daripada pekerja penghantaran J&T pada Disember sebelum menghadiri konvoksyen pada 6 April lalu.

KEHIDUPAN kampus yang suatu masa lalu meriah dan menyeronokkan berubah secara mengejut tatkala pandemik Covid-19 melanda dunia.

Selain proses pengajian yang diubah kepada kaedah dalam talian, upacara graduasi turut ditunda dan dibatalkan demi mengekang risiko penularan wabak itu.

Tidak terkecuali, Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar, yang juga graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa buka bisnes donat... walau laku keras masih nak guna cara lama, tak mahu bantuan mesin!

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat ‘degree’... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - “Saya bukan slow learner”

Dia pada Disember lalu menerima transkrip pengajian yang dihantar ke rumah sahaja memandangkan majlis graduasi tidak dapat dijalankan.

Mesra disapa Iskandar, dia pada waktu itu turut bergambar kenang-kenangan dengan petugas penghantaran J&T dihadapan rumahnya di Pasir Gudang, Johor.

Namun siapa sangka, pemuda yang memperoleh Ijazah Kelas Pertama akhirnya dapat merasai pengalaman menghadiri upacara graduasi sebenar pada 6 April lalu.

Iskandar bersama kedua ibu bapanya.

"Transkrip dihantar ke rumah pada Disember tahun lepas. Jadi saya secara suka-suka ambil gambar dengan abang J&T. Masa tu Covid-19 sedang menular teruk, saya fikir mungkin dah tiada majlis konvo.

"Jadi gambar pegang transkrip dengan abang J&T tu boleh disimpan sebagai kenangan sampai bila-bila. Kemudian Februari lalu saya dapat tahu bahawa majlis konvo akan diadakan.

"Pada Mac pula saya dapat tahu yang saya menjadi penerima Anugerah Canselor. Akhirnya dapat naik ke pentas pada 6 April lalu," ujarnya kepada mStar.

Bersaing bukan berlawan, kerana berlawan sifatnya menjatuhkan tetapi bersaing perlukan kita lebih baik daripada orang lain.

ISKANDAR

Menurut Iskandar, dia bersyukur apabila dapat menggembirakan hati kedua orang tuanya dengan pencapaian itu.

"Saya rasa sangat gembira, memang saya pasang impian nak bagi mak ayah pakai selempang first class. Alhamdulillah dapat pakai dua selempang termasuk yang Anugerah Canselor tu.

"Saya rasa, tanpa sokongan mak ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan pensyarah, saya pasti tak dapat capai keputusan sebegini," ujarnya lagi.

Iskandar bercita-cita menjadi hakim Mahkamah Syariah.

Kata Iskandar yang kini sedang menyambung pengajian dalam Diploma Lanjutan Amalan Kehakiman an Guaman Syarie di universiti sama, dia menyimpan hasrat untuk bergelar seorang hakim Mahkamah Syariah suatu hari nanti.

Sepanjang pengajian, Iskandar juga pernah menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kelab Debat dan Sekretariat Pelajar Fiqh dan Fatwa.

Dia menjadikan tip bijak mengatur masa dan tidak bertangguh melakukan sesuatu kerja sebagai rahsia kejayaannya.

"Saya berpegang kepada satu nasihat yang menjadi pedomannya selama ini... bersaing bukan berlawan, kerana berlawan sifatnya menjatuhkan tetapi bersaing perlukan kita lebih baik daripada orang lain.

"Percayalah usaha tak akan mengkhianati hasil," ujarnya lagi.

Iskandar turut menerima Anugerah Canselor pada 6 April lalu.

Tambah Iskandar, dia bersyukur apabila diberi peluang menaiki pentas utama untuk menerima anugerah daripada Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar.

Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 USIM yang akan berakhir pada Ahad ini telah disempurnakan pembukaannya oleh Tuanku Aishah selaku Canselor pada 6 April lalu bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain