suria

Lelaki guna van uzur terkejut pekerja hotel hulur kunci kereta baharu masa birthday isteri! Peristiwa terserempak mak lap cermin di tepi jalan ‘melekat’ di hati anak

Seorang bapa dikejutkan dengan hadiah sebuah kereta daripada anak-anak selepas majlis sambutan hari jadi isterinya.

SEORANG lelaki warga emas tidak menyangka kereta Proton Saga warna kelabu yang dihiasi dengan reben besar di perkarangan sebuah hotel adalah miliknya.

Pada mulanya lelaki berkenaan yang sedang berjalan keluar dari hotel bersama ahli keluarganya secara tiba-tiba ditegur oleh seorang pekerja hotel di pintu utama.

Menerusi video yang dikongsi di aplikasi TikTok, lelaki warga emas itu kehairanan apabila menerima kunci kereta daripada pekerja hotel berkenaan, sebelum anak-anaknya memaklumkan bahawa kereta yang dihiasi reben merah itu adalah kejutan hadiah buatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Last menangis masa dapat SPM 10A, kali ini ayah 'banjir' lagi... nyaris kantoi sebelum kejutan kereta baharu menjadi! - "Ayah nak bertenang dulu"

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya linangan air mata gambarkan perasaan bapa OKU, tak sangka kereta impian ada di depan mata - "Ayah susah menangis, kali terakhir sewaktu ibunya meninggal dunia"

Salah seorang daripada anaknya, Rozita Ahmad Rosly berkata, kejutan dibuat selepas makan malam sempena ulang tahun ibunya ke- 63, baru-baru ini di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah.



Ibu Gee Ieta menyambut ulang tahun ke-63.

Wanita berusia 36 tahun itu memberitahu, kereta tersebut telah diletakkan di perkarangan hotel tanpa disedari oleh bapanya yang merupakan seorang pesara.

"Kereta baru ayah tu dah letak luar hotel dengan kerjasama pihak pengurusan sejak petang. Makan sekitar pukul 8 malam, selesai pukul 10 malam barulah buat kejutan.

"Ayah dan mak naik kereta bersama kami ke hotel. Jadi, ayah memang terkejut bila ada pekerja hotel serahkan kunci kat dia sebab tak tahu siapa pemiliknya," katanya kepada mStar.



Bapa Gee Ieta (kanan) tidak menyangka menerima hadiah pada sambutan hari jadi isterinya.

Lebih dikenali sebagai Gee Ieta, katanya, bapanya juga sebenarnya tidak memiliki kereta sejak menggunakan van lebih 10 tahun lalu.

Malah katanya, van tersebut juga telah uzur dan mengalami masalah sistem penyaman udara sehingga perlu membuka tingkap .

"Tapi ayah saya tidak pernah merungut, apatah lagi meminta. Sebelum ini anak-anak pernah menyuarakan untuk membeli kereta baru untuknya, tapi ayah tolak.

"Van yang pada asalnya digunakan untuk tujuan bisnes servis penyaman udara, banyak berjasa dalam membantu mengangkut barang-barang kepunyaan jiran dan rakan," ujarnya sambil menambah bapanya seorang yang sporting dan disenangi.



Bersama van yang digunakan lebih 10 tahun.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, dia sendiri bersama suami melihat sendiri kesulitan yang dialami bapa dan ibunya ketika menaiki van tersebut.

"Kami pernah bertembung dengan ayah dan mak yang ketika itu dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Tiba-tiba hujan dalam perjalanan.

Saya nampak mak sibuk mengelap cermin depan yang berkabus berikutan hujan dan van ayah tidak dipasang aircond kerana rosak. Tingkap pula hanya dibuka sedikit bagi mengelakkan tempias hujan.

ROZITA AHMAD ROSLY

"Saya nampak mak sibuk mengelap cermin depan yang berkabus berikutan hujan dan van ayah tidak dipasang aircond kerana rosak. Tingkap pula hanya dibuka sedikit bagi mengelakkan tempias hujan.

"Bagi ayah dan mak mungkin rasa selesa dengan keadaan macam tu, tapi kami yang tengok pula berasa sebak," ujar Gee Ieta yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu.



Gee Ieta (kanan) bersama ibu bapa (tengah) dan adik-beradik.

Walaupun bapanya bertegas enggan dibelikan kereta baharu, namun demi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, enam beradik itu mula merancang untuk menghadiahkan kereta baharu buat bapa mereka sejak awal tahun ini.

"Dengan kerjasama pengedar Proton bahagian utara di Sungai Petani dan pihak hotel, kami berpakat dengan pekerja hotel untuk serahkan kunci pada ayah bila kami semua nak keluar dari hotel. Memang dia terkejut sampai menangis tak mampu berkata apa-apa bila dapat kejutan kereta baru.

"Ayah tak sangka dapat hadiah pada sambutan hari jadi mak, cuma mampu kata dia terkejut sampai tak pasti boleh ke pandu kereta tu balik ke rumah meskipun perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 20 minit.

"Kami kata kat ayah, tak apa pandu perlahan-lahan. Kami anak-anak kesemua enam beradik konvoi dengan kereta masing-masing ikut kereta ayah dari belakang, jadi beraraklah kami semua satu famili sampai ke rumah," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain