suria

Tak kisah berpeluh sarung kostum Mickey Mouse, jurufoto otai ketepi rasa malu semata-mata nak ceriakan pelajar - “Lebih lucu nampak kawan hantar anak, cucu ke sekolah”

Azree mengenakan kostum Mickey Mouse pada hari pertama sesi persekolahan ketika menyambut kehadiran para pelajar.

"MULA-MULA ada juga rasa malu sebab umur dah tua, tapi demi niat nak menggembirakan pelajar, saya ketepikan perasaan tu"

Demikian kata Azree Ramli ketika bercerita mengenai pengalamannya memakai kostum karakter kartun terkenal, Mickey Mouse pada hari pertama sesi persekolahan semalam.

Seawal pukul 7 pagi lagi, Azree yang juga jurufoto sepenuh masa sudah bersiap sedia dengan kostumnya untuk menyambut pelajar Sekolah Kebangsaan Petani Jaya, Sungai Petani, Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbulan-bulan jadi 'Predator', insiden tolak motor habis minyak dedah identiti lelaki ini... semuanya angkara si anak! - “Tiba-tiba rasa macam ada peminat”

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki clown terjejas tak halang lelaki ini bersedekah... ramai tersentuh lihat nota diselit pada makanan - “Kerjaya ini buat kita dekat dengan kanak-kanak”

Berkongsi cerita bagaimana idea untuk memakai kostum itu timbul, lelaki berusia 51 tahun itu berkata semuanya berlaku secara spontan sebaik sahaja mendengar pengumuman kerajaan mengenai tarikh pembukaan sekolah.

"Saya sebenarnya seorang jurufoto yang terlibat dalam sektor pendidikan... jadi banyak pergi ke sekolah-sekolah. Saya rasa seronok apabila dikelilingi pelajar dan rasa gembira kalau tengok wajah ceria mereka.



Seawal pukul 7 pagi lagi, Azree sudah berada di hadapan pagar sekolah untuk menyambut kehadiran pelajar.

"Kita pun tahu selama pandemik ni, ramai yang stres baik cikgu mahupun pelajar sebab komunikasi yang terhad. Jadi apabila kerajaan umum 1 Mac buka sekolah, saya terfikir mengapa tidak saya buat sesuatu untuk kembalikan keceriaan murid.

"Saya bincang dengan isteri yang juga seorang guru di SK Petani Jaya... dia pun setuju. Lagipun kebetulan ada kostum Mickey Mouse yang dibeli suka-suka sebelum ini dari Shopee. Kemudian bincang dengan Guru Besar dan beliau pun setuju," kata bapa kepada tiga anak ini.



Antara aktiviti yang dilakukan Azree pada hari pertama sesi persekolahan adalah mengunjungi setiap kelas bersama guru.

Menurut Azree, sungguhpun suasana pada waktu itu hujan renyai-renyai, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangatnya untuk menyambut kehadiran pelajar apatah lagi apabila melihat senyuman terukir di wajah mereka di sebalik pelitup muka masing-masing.

"Saya berdiri di tepi pagar sekolah sambil melambai-lambai pelajar-pelajar semuanya kerana nak beri semangat untuk mereka ke sekolah... kemudian melawat setiap kelas. Bukan mereka je seronok, ibu bapa pun seronok sama.

Hampir dua jam juga pakai kostum tu... peluh memang tak payah cakaplah, tapi saya tahan je. Bagi saya, wajah ceria mereka dah cukup buat saya happy.

AZREE RAMLI

JURUFOTO

"Lebih-lebih lagi ketika ini SOP tidak membenarkan ibu bapa teman murid... jadi secara tak langsung, saya boleh dikira membantu ibu bapa juga.

"Lebih lucu, ada nampak kawan sendiri hantar anak dan cucu masing-masing ke sekolah... tapi mereka tak tahu saya di sebalik kostum tu," ceritanya yang lebih dikenali dengan nama Baba Oren.

Pertama kali berbuat demikian, Azree mengakui 'tugas' berkenaan agak memenatkan selain turut kepanasan kerana kostum yang tebal.

"Hampir dua jam juga pakai kostum tu... peluh memang tak payah cakaplah, tapi saya tahan je. Bagi saya, wajah ceria mereka dah cukup buat saya happy.



Hampir dua jam memakai kostum, Azree mengakui ia adalah 'tugas' yang mencabar dan memenatkan namun dia gembira dapat menceriakan pelajar.

"Bila tengok mereka happy maka secara tak langsung saya turut happy. Apa yang boleh dikatakan, ia letih tapi sangat fun," ujarnya yang juga anak jati Sungai Petani.

Dedah Azree lagi, dia sememangnya gemar melibatkan diri dalam apa jua aktiviti berkaitan pelajar dan sekolah, bukan sahaja kerana tugasnya sebagai jurufoto tetapi kerana isterinya yang merupakan seorang pendidik.

"Isteri saya dah 26 tahun jadi guru. Dia memang suka bab menghias kelas dan sekolah. Kalau ada projek keceriaan, memang saya akan join sekali.



Azree bersama isteri, Nor Sapina Mohd Khan yang merupakan seorang guru di SK Petani Jaya.

"Pelajar ni suka tengok suasana yang ceria dan cantik. Jadi inilah salah satu cara untuk kita tarik mereka supaya lebih bersemangat nak belajar," ujar suami kepada penerima Anugerah Guru Cemerlang ini lagi.

Bercerita lebih lanjut, Azree yang sudah hampir lapan tahun terlibat secara serius dalam bidang fotografi berkata, dia tidak menolak sekiranya ada peluang untuk mengenakan kostum pada masa akan datang.

"InsyaAllah jika tubuh badan sihat, apa salahnya. Tapi mungkin pakai kostum lain pula. Bagi saya usia bukan penghalang, yang penting niat," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain