suria

Pemuda dimaki staf UPM pertahan diri, persoal apa motif permohonan maaf tapi dituduh pandu berbahaya - “Semua orang stres sekarang, bukan doakan perkara bukan-bukan”

Insiden di mana Fadzmin hampir bertembung dengan seorang pensyarah UPM dan dihambur kata-kata kesat ekoran membunyikan hon keretanya.

"SAYA terkejut kerana sebaik sahaja dia buka tingkap kereta, terus hamburkan kata-kata sebegitu"

Demikian kata pemandu kereta yang dimaki seorang pengguna jalan raya dalam kejadian pada Selasa lalu, sebagaimana video tular di media sosial baru-baru ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Fadzmin, pemuda itu turut menjelaskan insiden berkenaan bukan disebabkan kekeliruan lampu isyarat sebagaimana yang didakwa segelintir netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah staf UPM! Wanita maki, doakan pemuda kena Covid-19 selepas buat u-turn kini disiasat

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu wanita maki pemuda buat permohonan maaf, minta sebarkan positiviti - “Jika saya betul, saya maafkan semua”

Malah pemuda berusia awal 20-an ini juga menyangkal dakwaan kononnya dia yang memulakan provakasi terhadap pemandu wanita yang juga kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Ketika kejadian pagi Selasa itu, saya dari Kajang menuju ke satu lokasi di Serdang. Setibanya di hadapan Hospital Serdang, tiba-tiba muncul kereta daripada sebelah kanan yang buat u-turn... kawasan itu tidak boleh u-turn, dan ia adalah laluan untuk belok ke Hospital Serdang.

"Saya bunyikan hon sekadar nak ingatkan. Tapi sebaik saja melepasi keretanya, dia mengekori dan menghimpit dari sebelah kiri sambil tekan hon panjang.

"Saya ralit perhatikan keretanya bimbang berlaku pergeseran, sebab tu tak perasan saya sedikit ke tengah... tapi bukannya saya provok. Bila berhenti je di lampu isyarat di depan, dia turunkan tingkap dan terus keluarkan kata-kata kesat sambil tunjuk stetoskop miliknya.



Perkongsian Fadzmin mengenai insiden yang berlaku pada Selasa lalu yang menyebabkannya hampir bertembung dengan staf UPM berkenaan.

"Yang tak boleh terima, ketika kita di tengah-tengah pandemik, dia doakan saya dan keluarga dijangkiti Covid-19 pula," katanya kepada mStar.

Terdahulu, Fadzmin memuat naik video daripada rakaman papan pemuka (dashcam) di Twitter, yang memaparkan keretanya hampir sahaja bertembung dengan kereta wanita berkenaan yang membuat pusingan U secara melulu.

Dalam rakaman berasingan yang turut dimuat naik di Twitter, pemandu wanita pertengahan umur itu mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika mereka berhenti di lampu isyarat.

Dalam riak wajah marah, pemandu wanita berkenaan mendoakan agar dirinya dijangkiti wabak Covid-19.

Bagi saya, benda seperti ini tak boleh didiamkan. Makin lama makin ramai yang ada berperangai seperti ini. Bila tular, barulah ramai pihak ambil perhatian

FADZMIN

Situasi tegang itu berlangsung selama hampir seminit sebelum kedua-duanya mula bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau.

"Kalau dia berhenti tepi dan memohon maaf, saya okay sahaja. Bagi saya, benda seperti ini tak boleh didiamkan. Makin lama makin ramai yang ada berperangai seperti ini. Bila tular, barulah ramai pihak ambil perhatian," katanya yang juga seorang penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Dalam pada itu, pemuda ini juga mengesahkan sudah memberikan keterangan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada Khamis, selepas diminta berbuat demikian susulan pemandu wanita berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden itu pada Rabu.

"Pemandu itu dalam laporannya mendakwa saya yang memandu secara berbahaya. Terkejut juga bila dia buat tuduhan macam tu. Saya sudah beri keterangan pada Khamis. Sekarang ni polis sudah pun membuka kertas siasatan. Saya serahkan semuanya kepada pihak berkuasa," katanya.



Tular satu posting permohonan maaf yang dipercayai daripada akaun milik staf UPM berkenaan.

Tambahnya lagi, dia bersedia menerima permohonan maaf sekiranya pemandu wanita berkenaan menghubunginya.

"Tapi buat masa ini, saya tidak dihubungi oleh pihak di sana. Saya seorang yang terbuka. Saya tiada masalah pun untuk maafkannya. Berhubung permohonan maaf yang dimuat naik di Instagram, saya tak tahu jika ia daripada akaunnya yang sah. Tapi jika mohon maaf, kenapa pula buat tuduhan terhadap saya? Apa motif dia?

"Kalaupun ada yang kaitkan dengan stres, bagi saya semua orang tengah stres sekarang... tapi bukanlah dengan doakan perkara yang bukan-bukan.

"Saya berharap apa yang terjadi ini membuka mata semua pihak dan ambil pengajaran daripada insiden ini," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain