suria

Jodoh tak kesampaian, bakal suami pergi dulu selepas 10 minit bertemu kali terakhir - “Keadaannya tak ubah seperti orang sedang pengsan”

Husnina dan Allahyarham Muhammad Ilham bersama sijil kursus perkahwinan.

"SAYANG, kenapa tinggalkan saya seorang? Awak janji nak nikah dengan saya this year, kenapa awak pergi dulu?"

Begitulah ciapan penuh meruntun jiwa oleh seorang wanita di Twitter, meluahkan kesedihannya ekoran pemergian bakal suami, sehingga membuatkan rata-rata netizen turut sama berduka.

Perkongsian tesebut sehingga kini meraih melebihi 10,000 retweet malah netizen juga memberikan kata-kata semangat buat wanita itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami buat kejutan hadiah hari jadi idaman isteri, tapi malangnya esok nahas... keadaannya 50-50 - “Baru setahun kahwin, saya rindu usikkannya”

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Nur Husnina Azman berkata bakal suaminya, Muhammad Ilham Norsham meninggal dunia pada Ahad lalu, akibat kemalangan jalan raya.

Lebih menyedihkan kata Nur Husnina, lelaki tersebut ditimpa kecelakaan ketika dalam perjalanan pulang dari rumahnya.

"Malam itu arwah baru je datang rumah keluarga saya di Klang, Selangor. Kira-kira 10 minit selepas arwah bergerak pulang, saya dapat panggilan telefon daripada kakaknya menyatakan arwah kemalangan di Lebuhraya Persekutuan.

"Saya fikir hanya kemalangan biasa. Saya kemudian cuba hubungi telefon bimbitnya, dan ia disambut oleh orang lain yang memberitahu owner telefon kemalangan. Kali kedua saya hubungi, orang di sebelah sana beritahu dia sudah meninggal dunia," ceritanya.



Husnina dan Allahyarham Muhammad Ilham sudah tujuh tahun mengenali hati budi masing-masing.

Menurut wanita ini yang senang disapa sebagai Husnina, meskipun begitu, dia enggan percaya khabar duka yang baru didengari sebentar tadi.

Lantas tanpa berlengah, dia ditemani ibu dan bapanya segera bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan lelaki tersebut.

"Sebaik sampai, dia sedang terbujur di tempat kejadian. Dia yang menunggang motosikal terlanggar sebuah kereta yang diletakkan di lorong kecemasan.

"Saya segera berlari mendapatkannya yang sedang kaku... keadaan arwah ketika itu tak ubah seperti orang yang sedang pengsan. Arwah tidak mengalami kecederaan luaran yang teruk pun.



Husnina turut berkongsi mengenai kisahnya dengan Allahyraham menerusi thread.

"Ketika itu salah seorang orang awam yang berada di situ memeriksa denyutan nadi arwah, dan mengesahkan bahawa arwah sudah hembuskan nafas terakhir.

"Saya memang tak boleh terima khabar itu, apatah lagi kami baru saja berjumpa. Siapa sangka, rupa-rupanya ia adalah pertemuan terakhir kami sebelum sempat dinikahkan," kata wanita berusia 23 tahun ini.

Menurut Husnina, mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga sekitar Oktober tahun ini selepas tujuh tahun mengenali hati budi dan keluarga masing-masing.

Apa yang saya tak boleh lupa adalah senyuman yang tak pernah lekang dari bibirnya.

NUR HUSNINA AZMAN

"Sebenarnya sebelum ini dah plan untuk bernikah tapi tertangguh gara-gara PKP dan pandemik Covid-19. Jadi kami sepakat untuk bernikah hujung tahun ini.

"Siapa sangka dia pergi terlebih dahulu meninggalkan kami. Empat hari selepas pemergiannya, kehidupan sangat berbeza. Tiada lagi insan yang rajin hantar mesej setiap hari, tiada lagi orang yang mendengar masalah.

"Hati memang kosong... pergi kerja teringat arwah, buat apa pun teringat arwah. Apa yang saya tak boleh lupa adalah senyuman yang tak pernah lekang dari bibirnya. Saya hanya mampu sedekahkan Al-Fatihah dan tatap gambar serta video arwah setiap kali teringatkannya," ceritanya.



Husnina (dua, kanan) dan Allahyarham Muhammad Ilham (tiga, kiri) bersama keluarga masing-masing ketika majlis perkahwinan kakak kepada arwah.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular di Twitter, Husnina berkata dia pada mulanya sekadar mahu mengabadikan kenangan bersama arwah.

"Tak sangka viral dan ramai beri kata-kata semangat... terima kasih saya ucapkan. Apa yang boleh saya kata, hargailah insan tersayang selagi mereka masih ada. Kita tak tahu siapa yang pergi dulu," katanya sambil menambah, perkara pertama yang akan dilakukannya sebaik sahaja ada kelonggaran merentas negeri adalah menziarahi pusara arwah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain