suria

Kaki lima pangsapuri disinari ‘pelangi’ waktu malam, rupa-rupanya runner terpaksa berlari 10 saat – “Ada pasu bunga, kotak, basikal... nasib tak ada mesin basuh”

Seorang runner (kiri) membawa batang lampu berlari membuat pusingan di kaki lima sebuah blok pangsapuri dalam sesi fotografi. foto instagram HeartPatrick

WALAUPUN bukan sambutan perayaan mahupun majlis keraian, waktu malam di sebuah pangsapuri diceriakan dengan sinaran cahaya berwarna-warni.

Namun, ia sebenarnya teknik rakaman foto yang dilakukan oleh seorang lelaki yang berlari sambil memegang 'lampu berwarna' mengelilingi kediaman itu di sepanjang kaki limanya.

Menerusi klip video pembikinan rakaman foto tersebut yang dimuat naik di laman instagram HeartPatrick, lelaki tersebut berlari memegang lampu pelbagai warna tersebut bagi setiap aras pangsapuri berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow gempak! Video TikTok bukan biasa-biasa... jalan undur 50 meter hasilkan foto Jalur Gemilang berlatarkan KLCC memang menyengat - "Ia nasi lemak terbaik saya rasa"

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Hanya guna telefon, foto ala Doctor Strange ibarat 'mesin masa' - "Saya nak ke tahun 2024 di mana Covid-19 perkara lampau"

Sebanyak enam lingkaran cahaya yang menyinari sebahagian pangsapuri iaitu warna biru, hijau, kuning, jingga, merah jambu dan merah.



Aksi seorang runner membuat pusingan sambil membawa 'light stick'.

Jurugambar berkenaan, Teow Koon Meng berkata, rakaman foto dibuat pada minggu lalu di sebuah blok pangsapuri 14 tingkat di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Lebih dikenali sebagai Patrick, katanya, fotografi tersebut berkonsepkan light painting yang juga merupakan teknik pengimejan menggunakan pergerakan sumber cahaya.

"Saya buat kat sana (pangsapuri) sebab saya memang suka pangsapuri lama dan simetri bangunan tersebut dari sudut tu cantik. Ketika itu sekitar pukul 7.30 malam.

"Saya pernah datang ke sana sebelum ini dan saya sukakan bangunan ini," katanya kepada mStar sambil memberitahu foto dirakamkan menggunakan telefon pintar.



Antara cahaya lampu berwarna di setiap aras pangsapuri. foto instagram HeartPatrick

Patrick berkata, bagi menghasilkan imej yang diinginkan, seorang pembantu dijadikan sebagai runner ditugaskan untuk membawa batang lampu atau light stick yang boleh ditetapkan berlainan warna bagi setiap aras.

Tambahnya, rakaman hanya membabitkan enam tingkat pangsapuri dan runner perlu berlari kira-kira 10 saat bagi setiap aras untuk membawa light stick membuat satu pusingan.

Ada simbolik di sebalik meletakkan model sebegitu. Saya mahu menunjukkan keadaan seseorang yang sedang menaruh harapan (pelangi) dalam waktu sukar

PATRICK

"Setiap aras berlainan warna lampu. Nasib baik tak ada orang kat koridor masa tu. Tapi terdapat beberapa objek di sepanjang koridor jadi runner terpaksa berlari di tepi.

"Ada pasu bunga, basikal dan kotak-kotak. Dia terpaksa berlari juga di antaranya, nasib tak ada mesin basuh," ujarnya secara berseloroh.



Seorang wanita berdiri di kaki lima sambil merenung sesuatu dengan penuh harapan.

Dalam pada itu, jurugambar yang berpengalaman selama 12 tahun itu mengakui terdapat rakaman yang perlu dibuat semula sepanjang sesi fotografi selama kira-kira sejam.

"Ada yang perlu dirakam semula sebab terdapat bahagian (aras) yang dia tak sempat pusing habis dalam 10 saat. Jadi, dia perlu berlari sekali lagi," katanya.

Sebelum ini, Patrick menjadi perhatian apabila menggunakan teknik fotografi yang sama untuk kelihataan seperti Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-63, Ogos lalu.



Antara karya fotografi Patrick yang pernah menjadi tular. foto instagram HeartPatrick

Seronok dengan sesi fotografi tersebut, Patrick mendedahkan terdapat model wanita ketika rakaman dibuat, menunjukkan wanita itu sedang berdiri di kaki lima merenung sesuatu.

"Ada simbolik di sebalik meletakkan model sebegitu. Saya mahu menunjukkan keadaan seseorang yang sedang menaruh harapan (pelangi) dalam waktu sukar.

"Seperti sekarang, waktu sukar ketika pandemik Covid-19. Sinaran cahaya pelangi itu membawa maksud satu harapan semuanya kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain