Hiba! Bayi 2 bulan kerap sawan... Si ibu ketakutan urus sendirian, suami dah 8 bulan terkandas di seberang - “Tengah malam terpaksa ketuk rumah jiran minta bantuan”

Dr Kamarul Ariffin (gambar kecil) berkongsi kisah hiba seorang isteri yang terpaksa menguruskan anak-anaknya bersendirian kerana suaminya terkandas di Singapura. Gambar hiasan

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak penghujung tahun lalu meninggalkan impak yang bukan calang-calang.

Bukan sahaja menjejaskan kedudukan ekonomi sesebuah keluarga, malah wabak ini turut menyebabkan segelintir daripada kita menanggung penderitaan emosi lantaran terpaksa berpisah dengan orang tersayang kerana tuntutan kerja.

Kisah yang dikongsikan oleh seorang doktor ini benar-benar meruntun jiwa, di mana ia mengisahkan seorang ibu kepada tiga anak yang terpaksa menguruskan sendiri hal keluarga, kerana suaminya sudah lapan bulan terkandas di negara seberang kerana tuntutan tugas.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mana awak?” - Terkandas di Singapura, ramai beremosi lihat kegigihan lelaki ini nak ‘bertemu’ anak isteri di Malaysia... terima kasih adik beri idea!

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh bulan tak jumpa bapa, isteri kongsi kisah di sebalik ‘drama’ tiga anak peluk tukang repair aircond - “Anak kedua yang sedar dulu...”

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, ibu berkenaan mengunjungi kliniknya pada satu malam dalam keadaan cemas dengan membawa bersama bayi kecil yang diserang sawan.

"Ada seorang ibu, bawa anaknya dalam keadaan kejang kaki dan tangan, anak mata terpusing ke atas, bibir dah mulai biru. Ibunya menangis-nangis, dan tak keruan. 'Tolong anak saya, doktor! Tolong anak saya!'

"Itu sahaja dia ulang-ulang. Saya tanya apa pun, itu je dia ulang. Bersama dia, ada dua anak lagi. Dua-dua itu pun menangis melihat adik bongsu mereka dalam keadaan begitu.



Dr Kamarul Ariffin banyak membuat perkongsian mengenai kesihatan, keibu bapaan dan hal semasa di Facebook.

"Tangan saya bekerja sendiri, mengiringkan budak berumur dua bulan yang sedang mengalami sawan itu, periksa mulut, pasang topeng oksigen, dan periksa suhu badannya. 40.2°C!

"Saya dan pembantu klinik pun sedaya upaya turunkan suhu badan budak tu, dan hentikan sawannya. Alhamdulillah berjaya," tulis Dr Kamarul Ariffin menerusi catatan di Facebook.

Selepas keadaan bayi tersebut pulih daripada sawan, doktor itu kemudiannya menemui wanita berkenaan dan mencadangkan supaya dia segera membawa anak kecilnya ke hospital untuk pemantauan lanjut.

Namun tanpa disangka, perkhabaran tersebut membuatkan muka si ibu tiga anak itu kembali suram dan kelihatan seolah-olah berada di dalam masalah.

Saya doakan agar si suami dapat mengerti sebesar mana pengorbanan isterinya ini. Saya doakan agar bila anak-anaknya nanti, akan jadi orang yang berjaya, dan dapat menggembirakan hati ibu bapa.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

DOKTOR

"Dia bergegas keluar dari bilik rawatan. Saya jenguk ke luar bilik, nampak dia telefon seseorang. Tak lama selepas itu dia datang balik. Dia terus bertanya sama ada dia kena bawa anaknya ke hospital malam itu juga atau boleh tangguh. Saya kata elok pergi malam ini.

"Datang dua orang berbangsa Cina, lalu berdiri di belakang si ibu. Saya jadi terganggu kerana ada orang lain yang sibuk ambil tahu. 'Tak apa doktor. Itu jiran saya. Dia orang yang bawa saya ke klinik. Suami saya di Singapura'. Dipendekkan cerita. Mereka ke hospital malam itu dengan bantuan si jiran," tulis Dr Kamarul Ariffin.

Menurut doktor itu lagi, selepas episod sawan pertama itu, bayi tersebut beberapa kali dibawa kembali oleh si ibu ke kliniknya kerana demam dan hampir diserang sawan.

Keadaan tersebut membuatkan wanita berkenaan rasa kurang selesa dan agak segan kerana kerap kali meminta bantuan jiran.



Si isteri tak mampu terus bersendirian menguruskan tiga anak yang masih kecil tanpa suami di sisi. Gambar hiasan

"Ada sekali tu, dah tengah malam, dia terpaksa ketuk rumah jiran untuk mohon bantuan hantar anaknya yang demam ke hospital. Tanpa beri banyak alasan, si jiran pergi hantar.

"Siap tawar suruh ahli keluarganya untuk jaga dua orang lagi anak sementara hantar si ibu dan anak yang demam itu ke hospital. Walaupun dah segan minta bantuan, tapi dia tak ada sesiapa lagi di Johor.

"Tak ada kenderaan. Tak kenal ramai orang. Suami pula kerja di Singapura, dah lapan bulan tak balik. 'Saya dah beritahu suami, Disember ini kalau sempadan buka atau tak, saya nak dia balik juga. Dah lapan bulan saya hidup dalam ketakutan.'

"Saya dengar sahaja dia meluahkan hati. 'Jaga yang ini, asyik demam sahaja. Jaga anak dua orang tu lagi. Saya dah penat hadapi seorang diri di sini. Saya dah tak kuat lagi dah. Saya perlukan dia. Saya dah malu dengan jiran saya'. Berjuraian air mata dia," doktor itu mengimbas kembali perbualan dengan wanita berkenaan.

Mengerti bebanan yang ditanggung wanita tersebut, doktor itu mengakui betapa kental dan besarnya pengorbanan yang dilakukan sepanjang ketiadaan suami di sisi.

"Namun, kalau suami balik ke sini, kena kuarantin di sini dua minggu. Nak balik sana semula, kena lagi kuarantin dua minggu. Dia tak boleh cuti sebegitu panjang, ada risiko kena hilang pekerjaan.



Pasangan itu terpisah sejak lapan bulan lalu kerana si suami terkandas di Singapura gara-gara pandemik Covid-19. Gambar hiasan

"Kalau tak ada kerja, siapa nak tanggung makan minum isteri dan anak-anak tiga orang. Ia sebuah keputusan yang sukar buat keluarga ni. Serba salah. Sepanjang dia mengadu pada saya, telinga saya mendengar, tapi hati saya memanjatkan doa.

"Saya doakan agar si suami dapat mengerti sebesar mana pengorbanan isterinya ini. Saya doakan agar bila anak-anaknya nanti, akan jadi orang yang berjaya, dan dapat menggembirakan hati ibu bapa. Sesungguhnya ibu bapa mereka dan banyak berkorban buat mereka.

"Saya doakan juga si jiran dipermudahkan segala urusan, kerana mereka dah permudahkan urusan anak beranak yang benar-benar memerlukan," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 863 shares selain dibanjiri ratusan komen netizen yang turut sama berkongsi pengalaman masing-masing, di samping memberikan kata-kata semangat buat mereka yang senasib seperti wanita berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain