suria

Bikin gamat dalam TikTok ‘Kemaman Airline’, rupa-rupanya pemuda ini pramugara dibuang kerja – “Di mana ada rezeki, di situlah saya pergi”

Azhar (kiri) ketika menyahut cabaran TikTok membuat pengumuman penerbangan. Foto Twitter AzharRamlie

APLIKASI TikTok kini muncul dengan 'cabaran' baharu dengan para pengikut cuba meniru membuat pengumuman penerbangan oleh seorang kru kabin.

Kegilaan itu turut melanda pengguna TikTok di Malaysia yang melakukannya dengan gaya dan kreativiti mereka tersendiri.

Ini termasuklah seorang pemuda berbaju Melayu dan bertanjak, yang mencuri tumpuan apabila membuat pengumuman penerbangannya menggunakan loghat Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN: Inilah masanya! Tiga pramugari cun tonjol bakat buat 'konsert', ada yang kata suara mirip Tok Ti - "Meremang sebab cuma kami bertiga, tak pakai minus one"

ARTIKEL BERKAITAN: Dari awan biru ke gerai sate, Shazam bukan calang-calang ‘adiwira’... kata kuncinya selamat - "Penat memang penat"

"Kemaman Airline, free keropok lekor dengan kopi Hai Peng," tulisnya di laman Twitter dengan memuat naik video TikTok tersebut, yang diulang kicau lebih 21,000 kali.



Azhar membuat video TikTok sekadar hiburan. Foto instagram azharramlie

Pemuda berkenaan, Azhar Ramlie berkata, dia tidak menyangka video TikTok yang dibuatnya itu mendapat sambutan di luar jangkaan kerana ramai lagi yang turut melakukan pengumuman berkenaan menerusi aplikasi popular itu.

Anak muda berasal dari Kemaman, Terengganu itu memberitahu, apa yang dilakukannya itu sekadar suka-suka untuk menghiburkan rakan-rakannya di laman sosial.

"Tapi kalau saya tiru bulat-bulat macam pramugari di dalam video itu, saya akan nampak biasa. Jadi, saya perlu menampilkan kelainan.

"Saya dibesarkan di Terengganu, kenapa tidak saya buat pengumuman penerbangan dalam loghat Terengganu. Alang-alang buat kan," katanya yang berusia 24 tahun kepada mStar.



Azhar pernah bertugas sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Azhar bagaimanapun menjelaskan bahawa pemakaian baju Melayu dan tanjak itu bukanlah dibuat untuk rakaman video TikTok semata-mata.

"Sebelum itu, saya ada buat video tutorial mengenai cara bagaimana untuk memakai tanjak menggunakan kain samping.

"Dengan loghat negeri, pakai baju Melayu siap dengan tanjak nampaklah ke'Terengganu'an dalam pengumuman penerbangan tu.

"Saya ada sebut tentang penyu bertelur dan disambung dengan satu lawak yang menyentuh perkara sensitif. Saya bagaimanapun mohon maaf sekiranya mana-mana pihak kurang senang dengan gurauan saya itu," ujarnya.



Azhar memulakan bisnes menjual bantal selepas diberhentikan dari syarikat penerbangan.

Siapa sangka, anak bongsu daripada lima beradik itu rupa-rupanya pernah bertugas sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan.

"Saya pernah buat pengumuman penerbangan dalam loghat Terengganu di dalam pesawat dengan keizinan ketua pramugara atau ketua pramugari beberapa kali.

Saya pernah buat pengumuman penerbangan dalam loghat Terengganu di dalam pesawat, dari atau ke Terengganu

AZHAR RAMLIE

"Biasanya saya buat pengumuman dalam loghat Terengganu dalam penerbangan dari atau ke Terengganu. Tapi saya masih cakap dalam bahasa Melayu untuk penumpang faham," katanya yang mula bertugas sebagai pramugara pada Ogos 2019.

Menurut Azhar, dia bagaimanapun diberhentikan kerja pada April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.



Reda dengan pemberhentiannya, Azhar kini mahu menumpukan perniagaan yang diceburinya.

Mengakui terkilan, dia bagaimanapun reda dengan perkara yang menimpanya kerana menyedari pandemik itu menjejaskan operasi syarikat penerbangan.

Azhar kemudian mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam perniagaan menjual bantal dan wangian menggunakan modal hasil simpanannya, seminggu selepas menerima berita mengenai pemberhentiannya.

"Memang terkilan, tapi saya tahu bukan satu-satunya yang diberhentikan kerja. Ramai lagi yang mengalami nasib yang sama.

"Alhamdulillah, bisnes bantal dan perfume saya berjalan dengan baik. Bagi saya, di mana ada rezeki, di situlah saya pergi dan kini saya mahu menumpukan dalam bisnes," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain