suria

“Dah macam minyak enjin!” - Posting menu terlajak hitam buat ramai terhibur, tapi ada pula persoal hukum makan dakwat sotong - “Sia-sia agamawan buat laman web”

Perkongsian seorang pelayar dalam grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni turut panas dengan komen netizen yang membangkitkan soal hukum memakan dakwat sotong.

LAMAN Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni (MATJHN) mula menjadi tumpuan netizen sejak ia diwujudkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), April lalu.

Sehingga kini, ia sudah mengumpul seramai 1.9 juta pengikut dalam masa lima bulan sahaja.

Pelbagai jenis menu dan juadah yang dikongsikan ahli grup terutama bagi masakan yang kurang menjadi atau masakan yang kelihatan agak janggal, di mana ia lazimnya mengundang komen lucu daripada pelayar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa tular ketika PKP, FB ‘Masak Apa Tak jadi Hari Ni’ tarik perhatian PM

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tak lucu! Ahli grup FB masakan popular lapor polis selepas terguris hati foto masakan dihina - “Mereka macam tak puas hati”

Dalam satu perkongsian baru-baru ini, seorang ahli grup MATJHN berkongsi gambar hidangan sotong masak hitam yang sangat terkenal di kawasan Pantai Timur.

Masakan tersebut menggunakan dakwat sotong sebagai salah satu bahan utama untuk menghasilkannya.

"Lauk fav untuk malam ini... siap sudah Alhamdulillah," tulisnya pada kapsyen gambar tersebut.



Antara komen netizen yang membangkitkan soal hukum memakan dakwat sotong.

Perkongsian tersebut dibanjiri ribuan komen netizen, dengan rata-ratanya lebih berbaur gurauan kerana hidangan tersebut kelihatan 'terlajak' hitam.

"Ya Allah hitamnya..." komen seorang netizen.

"Dah macam minyak enjin aku tengok," komen netizen lain pula.

"Kalau hitam gini, lekat tak hitam tu dekat gigi?," komen seorang lagi netizen.



Petikan jawapan mengenai hukum memakan sotong dan dakwatnya seperti yang dipaparkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Namun dalam pada ramai yang memberi ulasan masing-masing mengenai 'rupa' masakan tersebut, ruangan komen itu juga panas dengan perdebatan segelintir netizen yang mempersoalkan hukum memakan dakwat sotong.

"Dakwat tu najis sotong. Haram dimakan," tulis seorang netizen.

Bagaimanapun ada netizen yang tampil dengan petikan jawapan daripada agamawan untuk menyangkal pandangan berkenaan.



Antara hidangan yang menggunakan dakwat sotong sebagai bahan utama masakannya. Foto: The Star/Izzrafiq Alias

"Benda boleh belajar, depa (mereka) buat palatao (serba tahu), terus label haram tanpa rujuk mana-mana rujukan yang sahih. Sia-sia saja agamawan buat laman web contohnya bekas Mufti Wilayah Persekutuan siap ada telegram channel, website lagi untuk kita, tak payah susah-susah nak buka kitab tebal-tebal," tulis seorang netizen.

Mengikut laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hukum memakan sotong adalah diharuskan begitu juga dengan pasinya (dakwat) memandangkan ia sebahagian hidupan laut.

"Dalam konteks pasi sotong, ia didapati sebahagian daripada anggota sotong yang boleh dimakan dan diambil manfaat daripadanya. Ini kerana tiada sebarang nas syarak yang jelas melarang memakannya," demikian jawapan di laman berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain