suria

Suami puas dapat AS$1 sebab tak buang minyak dalam sinki, mujur isteri beritahu - “Bayangkan keluarga besar dan selalu masak”

(gambar kiri) Ikhwan bersama isteri. (gambar kanan) Ikhwan menunjukkan bayaran yang diterimanya selepas menghantar sisa makanan seberat 4kg. Foto ihsan Ikhwan Nazri Mohd Asran

SEKARANG ini banyak perkara boleh buat duit, asalkan tahu caranya.

Paling mudah adalah 'sampah' yang boleh ditukar kepada duit, dengan menghantarnya untuk dikitar semula.

Kertas, suratkhabar, tin, plastik, aluminium dan kotak pastinya terbayang dalam fikiran anda.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna minyak masak berulang kali penyebab batuk, sakit tekak

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Pahlawan Melayu ala The Hunger Games, sanggup bakar baju sendiri untuk beraksi - "Satu kereta bau minyak masak"

Tapi seorang pemuda ini berkongsi sesuatu yang mungkin jarang dilakukan oleh masyarakat hari ini untuk dikitar semula.



Posting Ikhwan mengenai sisa minyak masak meraih perhatian.

"Jangan buang minyak masak ke sinki. Kitar semula dapat duit. 4kg RM4.40. Bolehlah dapat 1 USD," tulisnya di laman Twitter sehingga diulang kicau lebih 14,000 kali.

Pemuda berkenaan, Ikhwan Nazri Mohd Asran berkata, dia pernah menghantar barang-barang untuk dikitar semula tetapi lebih tertumpu kepada kotak-kotak dan suratkhabar.

Dia bagaimanapun berkata, di era paperless yang mengurangkan penggunaan kertas menyebabkan tidak banyak item seperti itu dihantarnya lagi untuk dikitar semula.

"Sebenarnya minyak masak terpakai bukan benda baharu, tapi mungkin ramai tak tahu. Saya juga pun tak sedar sehinggalah isteri yang beritahu mengenainya.

"Lagipun minyak masak selalu kita guna, tapi ke mana kita buang sisanya? Di sinki, di longkang atau di dalam tong sampah," ujar pemuda berusia 35 tahun itu kepada mStar.



Sukatan dan penggunaan minyak masak harian oleh Ikhwan dan isteri.

Ikhwan berkata, dia juga tidak menyangka barang kecil seperti minyak masak dapat memberikan hasil yang menarik apabila dihantar untuk dikitar semula.

"Saya hanya tinggal berdua bersama isteri. Untuk dapatkan RM4.40 itu adalah hasil sisa minyak antara tiga hingga empat bulan.

"Biasanya selepas dua kali diguna semula untuk memasak, baru sisa minyak diasingkan. Bayangkanlah kalau keluarga besar dan selalu masak, pasti lebih banyak sisanya," ujarnya yang menghantar sisa minyak masak itu di pusat operasi dan belian semula barang kitar semula Alam Flora Sdn Bhd di Kuala Lumpur.



Ikhwan di pejabat Facebook ketika kunjungannya ke AS, baru-baru ini.

Mengenai kewajarannya meletakkan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai tarikan, dia yang bertugas di sebuah syarikat penerbitan itu sekadar mengaitkannya dengan nilai mata wang yang sering dilihatnya ketika membuat pembelian aplikasi mudah alih.

"Jika kita lihat setiap kali nak muat turun mana-mana aplikasi, kebanyakannya dari AS atau diletakkan nilai harga dalam mata wang dolar AS.

Benda kecil, mungkin tak nampak. Tapi impaknya cukup besar.

IKHWAN NAZRI MOHD ASRAN

"Saya biasa lihat begini sebab muat turun aplikasi, game dan lagu. Bila difikirkan, dengan 4 kilogram sisa minyak masak, dianggarkan 1USD (AS$1) saya boleh dapat," katanya sambil menambah ia juga mengingatkannya ketika berkunjung ke negara Uncle Sam itu.

Menurut Ikhwan, selain menjaga kebersihan alam sekitar terutama sungai dengan mengitar semula sisa minyak masak, ia juga membantu menjimatkan perbelanjaan tanpa disedari.



Antara senarai barang yang boleh dihantar ke Alam Flora.

"Contohnya, saya menetap di Damansara Damai, Selangor dan bekerja di Kuala Lumpur, yang memerlukan saya melalui sekali tol dengan kadar RM2.10 setiap hari.

"Dengan duit minyak masak 1USD itu, saya dah boleh jimat tol untuk perjalanan dua hari. Benda kecil, mungkin tak nampak. Tapi impaknya cukup besar," katanya.

Menurut halaman Facebook rasmi Alam Flora, terdapat 16 jenis barangan kitar semula yang boleh ditukar dengan harga mengikut pasaran semasa dan tidak tetap.

Antaranya adalah sisa minyak masak, tin, suratkhabar, plastik, kertas, kotak, aluminium, CPU, monitor, notebook, server, pencetak, televisyen, kertas campur dan kertas hitam putih.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain