suria

Tolong 2 individu di highway dalam perjalanan nak balik bernikah, pengantin lega ‘diselamatkan’ orang lain selepas baju terbakar sebelum ijab kabul

Shafiq selamat disatukan dengan gadis pilihannya, Dayang Siti Aisyah pada petang Selasa.

KALAU sudah viral apatah lagi kerana melakukan kebaikan pasti netizen akan cuba mencari identiti individu tersebut dengan apa jua cara sekali pun.

Begitulah yang berlaku kepada pemilik motosikal jenis RXZ berwarna kuning yang kisahnya tular selepas membantu seorang doktor menukar tayar pancit serta seorang lagi pakcik berkopiah di lebuh raya Plus pada petang Jumaat lalu.

Identiti pemuda dikenali sebagai Azharulfazlie Shafiq Azhar dikongsi netizen di ruangan komen posting Dr Asyikin Azwa yang tular baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin kejar flight ke Sarawak sempat bantu tukar tayar kereta doktor, pakcik berkopiah - “Bila dia nak sampai Melaka kalau macam tu”

Pemuda kelahiran Sri Aman, Sarawak itu ketika dihubungi mStar tidak menduga kisahnya itu menjadi mendapat perhatian netizen sehingga ada yang sanggup mencari siapa dirinya di media sosial.

"Saya dapat tahu pun dari grup di tempat kerja saya. Ada kawan tanya ‘eh Shafiq awak ke ni?’.

Dr Asyikin memuatnaik posting mengenai pengalamannya dibantu Shafiq pada petang Jumaat lalu.

"Saya sampai Sarawak barulah perasan pasal post tu. Saya takut silap orang, jadi saya pun tengok semula post dekat Facebook tu.

"Bila saya tengok gambar memang betullah tu akak yang saya tolong tempoh hari. Memang saya terkejut sebab tak sangka boleh viral macam ni," katanya.

Ditanya mengenai kejadian tempoh hari, Shafiq yang bertugas di Kem (Tentera Darat) Sangro, Taiping, Perak berkata segala yang dilakukan adalah atas dasar kemanusiaan.

"Masa tu saya dalam perjalanan nak ke rumah makcik di Jasin, Melaka. Saya bawa slow-slow sebab masa tu baru lepas hujan. Tiba-tiba ada kereta potong saya tapi tak sedar tayar kereta dia pancit.

"Jadi saya pun tunjuk-tunjuk tayar tapi dia tak ada respons. Saya terpaksa pergi sebelah kanan, tunjuk tayar dia. Lepas tu barulah akak tu berhenti. Saya patah balik tanya ada tayar spare tak dan tahu tukar tayar tak?

Identiti Shafiq berjaya dikesan melalui bantuan netizen.

"Dia kata tak tahu. Jadi saya pun tolong tukar tayar sambil-sambil tu saya cerita nak pulang ke rumah makcik Melaka sebelum dia saya hantar ke KLIA. Dia beri wang tapi saya tolak sebab saya ikhlas membantu. Saya cuma minta dia doakan saya selamat sampai," katanya.

Tambah pemuda berusia 25 itu, dia turut membantu seorang pakcik yang mengalami masalah radiator pada keretanya di lebuh raya tersebut.

Memang panik sebab baju nikah saya rosak terkena iron. Awal pagi tu saya dan tunang pergi cari baju color sama di kedai tapi tak jumpa.

AZHARULFAZLIE SHAFIQ AZHAR

Anggota tentera

"Tak lama lepas tu ada seorang pakcik berkopiah berhenti tepi jalan. Dia beritahu radiator kipas kereta tak berfungsi. Saya kat situ dalam 10 minit jugalah.

"Saya berhenti sebab kesian, takut perjalanan dia masih jauh. Lagipun saya tak kejar flight masa tu... flight saya hari Ahad. Rasa lega bila dapat tolong mereka yang dalam kesusahan," katanya yang tiba di Melaka kira-kira pukul 11 malam Jumaat lalu.

Menurut Shafiq dia selamat tiba di kampung halamannya di Sri Aman, Sarawak pada Ahad lalu dan selamat disatukan dengan gadis pilihannya, Dayang Siti Aisyah Abang Morni pada petang Selasa.

Baju nikah Shafiq (kanan) terbakar terkena seterika beberapa jam sebelum dia diijabkabul dengan gadis pilihannya.

"Saya pulang ke Sarawak sebab nak nikah. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar," katanya.

Namun di sebalik kegembiraan itu, Shafiq turut berkongsi detik cemas apabila baju nikahnya mengalami kerosakan gara-gara terbakar ketika diseterika.

"Memang panik sebab baju nikah saya rosak terkena iron. Awal pagi tu saya dan tunang pergi cari baju color sama di kedai tapi tak jumpa.

"Kebetulan pak lang saya kata dia ada baju warna sama (dusty plum) macam baju nikah saya. Alhamdulillah, memang legalah. Dahlah petang tu nak nikah, pagi tu pula iron buat hal.

"Namun saya anggap tu satu pengalaman terindah saat nikah PKP. Walaupun panik tapi segalanya dipermudahkan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain