suria

Sebak hingga menitik air mata... roti canai, teh tarik, air Milo ‘wish list’ anak yatim – “Bagi kita macam simple je tapi...”

Roti canai, teh tarik dan minuman Milo merupakan antara wish list sekumpulan anak yatim.

SATU senarai makanan dan minuman yang dimuat naik di laman Twitter mengundang sebak.

Antara senarai tersebut adalah susu, nasi ayam, roti canai, teh tarik, teh O ais, coklat termasuk minuman Milo.

Bagaimanapun, ia bukan menu sajian di sebuah restoran, sebaliknya merupakan senarai permintaan atau wish list sekumpulan anak yatim di sebuah rumah kebajikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan – "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo"

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak tahu berapa jumlah duit syiling tapi bunyi keceng, keceng" - Guru sebak pelajar duduk rumah papan 'biasa-biasa' derma bantu 3 beradik yatim piatu

"Aku baca wish list je terus menitik air mata aku. Itu pun kita tak reti nak bersyukur lagi," tulis seorang netizen menerusi ruangan bebenang.



Nasi ayam turut menjadi wish list anak yatim.

Pemuda yang berkongsi senarai tersebut, Ariff Hamzah Muhamad berkata, dia pada mulanya menerima mesej daripada isterinya mengenai satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat isterinya bekerja.

Bagaimanapun, suami berusia berusia 31 tahun itu dimaklumkan senarai tersebut mengundang kesedihan isterinya.

"Dia (isteri) kata dia sedih. Bila saya tengok gambar wish list tu saya tersentuh juga. Sebab senarai mereka tu bagi kita ni macam simple je tapi benda tu lah yang mereka teringin.

"Dia membuatkan kami rasa bersyukur dengan apa yang ada dan pada masa sama kasihan dengan nasib kanak kanak tu," katanya kepada mStar.



Perkongsian Ariff di Twitter mengundang sebak netizen.

Ariff berkata, isterinya tidak menguruskan program CSR tersebut, tetapi difahamkan gambar senarai itu dikongsikan kepadanya bagi memaklumkan bahawa syarikat berkenaan membuka ruang kepada mana-mana kakitangan yang sudi menghulurkan sumbangan.

Turut difahamkan, syarikat isterinya itu akan membuat serahan sumbangan kepada rumah kebajikan di Bangi, Selangor itu dalam waktu terdekat.

Ramai terfikir sejenak untuk sentiasa selalu bersyukur dengan apa yang kita ada dan mengingatkan kita pada orang lain yang tidak senasib dengan kita.

ARIFF HAMZAH MUHAMAD

Bapa kepada seorang cahaya mata lelaki berusia tiga tahun itu bagaimanapun tidak menyangka perkongsiannya membuatkan ramai terkesan sehingga menjadi tular.

"Saya sebenarnya terharu juga sebab ramai yang terkesan dengan tweet saya tu. Berdasarkan maklum balas yang saya dapat, ramai terfikir sejenak untuk sentiasa selalu bersyukur dengan apa yang kita ada dan juga mengingatkan kita pada orang lain yang tidak senasib dengan kita.

"Alhamdulillah rakyat Malaysia masih ramai yang berhati mulia. Terdapat juga komen-komen daripada saudara serumpun kita di Indonesia juga prihatin tentang isu ini," ujar Ariff.



Senarai permintaan anak yatim untuk program CSR sebuah syarikat.

Ditanya mengenai pengalaman sendiri berkaitan wish list, jurutera itu bersyukur keluarganya stabil dari segi kewangan, malah sering mendapat apa yang dihajati.

"Semasa membesar dulu kalau nak dapat makanan, permainan, pakaian... ayah saya mampu belikan, tak ada masalah. Hujung minggu selalu keluar pergi makan atau jalan-jalan ke mall.

"Cuma barang-barang special macam PlayStation, basikal, komputer tu selalu dapat sebagai hadiah kalau keputusan peperiksaan cemerlang," tambahnya.



Ariff (kanan) bersama isteri dan anak lelakinya.

Menurut Ariff, perkongsiannya itu sebenarnya menunjukkan betapa mudah untuk seseorang itu untuk membuat kebaikan di media sosial.

"Terpulang kepada kita macam mana gunakan media sosial. Diharapkan peristiwa saya ini dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk menyebarkan perkara yang positif," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain