suria

Anak order kuih untuk mak merungut kena bayar kos delivery, tauke ‘daki’ tingkat 12 flat hantar sendiri... terkejut dapat tahu siapa pelanggannya!

Bermula daripada pesanan otak-otak yang diminta dihantar ke tingakt 12 sebuah flat, hubungan wanita ini dengan seorang warga emas ibarat ibu dan anak. Foto: Bernama/ The Star

SIAPA sangka, asbab daripada pesanan otak-otak, terjalin hubungan ibarat ibu dan anak antara dua individu yang saling tidak mengenali.

Begitulah hikmah indah yang diatur Tuhan sebagaimana yang diceritakan menerusi perkongsian seorang pelayar Facebook ini.

Menerusi perkongsian tersebut, Norehan Rahmat berkata, segalanya bermula apabila dia menerima pesanan kuih daripada seorang pelanggan yang memintanya menghantarkan makanan tersebut di sebuah flat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori tak sangka ada mata perhati gerak gerinya bersama pakcik bertongkat... tau-tau dah viral - “Rakan beritahu, berderau juga darah...”

ARTIKEL BERKAITAN: “Peraturan tetap peraturan” - Jual kuih ‘air tangan’ ibu di sekolah, muka murid 10 tahun berubah ditegur ‘salah’ oleh guru tegas

“Kisahnya bermula bila anak makcik ni order otak-otak. Lepas itu minta hantar ke rumahnya di tingkat 12. Aku bagitau untuk penghantaran ke flat hanya di bawah saja. Kalau sampai ke tingkat 12 ada caj RM3. Nadanya agak marah bila dia kata 'aku salah pilih runner'... sebab berkira sangat dengan orang tua, ” tulisnya.

Norehan yang sering menerima tempahan kuih muih berkata, dia pada mulanya agak terkejut dengan respon pelanggan berkenaan sehingga hampir bertindak untuk menyekat nombor telefonnya.

Bagaimanapun wanita ini berkata dia tidak jadi berbuat demikian kerana memikirkan pelanggan tersebut berkemungkinan tidak menipu apabila mengatakan ibunya tidak boleh turun ke bawah flat untuk mengambil pesanan kuih tersebut.



Posting seorang pelayar Facebook yang berkongsi kisah mengenai seorang warga emas menjadi tular di laman sosial.

“Dari ceritanya, dia tidak tinggal dengan mak. Saya (pelanggan) di Johor, mak tinggal seorang diri. Aku beritahu, tak apalah. Biar aku yang hantar ke rumah mak dia tapi lepas habis COD (cash on delivery) dulu. Dia kata OK.

“Aku beritahu dekat anak aku... kalau betul apa yang anak dia (pelanggan) cakap, aku rela hantar tiap-tiap hari makanan untuk makcik tu, ” tulisnya lagi.

Wanita itu berkata, dia kemudian bertindak menghantar sendiri pesanan tersebut ke rumah pelanggannya tanpa menggunakan khidmat runner.

Sampai depan pintu... memang betul. Dalam rumah ada tongkat kaki tiga dan kerusi roda. Nasib baik makcik tu boleh jalan lagi. Alhamdulillah... dia masih kuat lagi.

NOREHAN RAHMAT

PELAYAR FACEBOOK

Ketika tiba di rumah yang dimaksudkan, wanita ini sama sekali tidak menyangka dengan apa yang dilihatnya.

“Sampai depan pintu... memang betul. Dalam rumah ada tongkat kaki tiga dan kerusi roda. Nasib baik makcik tu boleh jalan lagi. Alhamdulillah... dia masih kuat lagi. Aku cuba siasat tanya semua.

“Dia bekas pekerja Hospital Kuala Lumput (HKL). Anak-anak semua dekat luar negara. Anak yang order makanan tu tinggal dekat Batu Pahat. OK lah... aku terima alasan yang munasabah.

“Aku tanya makcik tu nak makan apa esok? ‘Nak tepung pelita... sebab tak ada gigi’. Tak boleh makan yang keras katanya, ” kongsi wanita itu lagi.



Karipap frozen antara kuih yang dijual oleh Norehan. Foto: FB Norehan Rahmat

Menurut Norehan, anak kepada warga emas itu kemudian menghubunginya beberapa hari kemudian bagi mengucapkan terima kasih kerana menghantarkan makanan buat ibunya yang uzur.

“Rupanya anak dia seorang frontliner. Patutlah dia agak tertekan bila aku cakap runner tak boleh hantar sampai atas. Dia tertekan dengan masalah kerja dalam masa yang sama rasa bimbang takut mak dia tak ada juadah berbuka.

“Hari ni Makcik Raja dapat makan nasi beriani. Esok nak tepung pelita lagi. InsyaAllah, selagi aku sihat, aku bantu Makcik Raja, ” tulisnya pada akhir perkongsian tersebut.

Sehingga kini posting tersebut meraih 6,600 shares dan puluhan ribu komen netizen.



Antara komen netizen yang memuji tindakan mulia Norehan.

Rata-ratanya memuji tindakan mulia wanita tersebut yang melayani seorang warga emas ibarat ibu sendiri.

“Alhamdulillah, bertaut kasih bagai bonda sendiri. Moga Allah mudahkan urusan anda. Amin, ” komen seorang netizen.

“Pedih mata sis bila fikir frontliner, makcik Raja dan kamu yang berhati putih, semoga kebaikan di dunia dan akhirat menjadi milikmu, ” komen yang lain pula.

“Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa mempermudahkan dan memberkati perjalanan hidupmu selalu dik, kerana mempermudahkan urusan insan-insan yang benar-benar memerlukan bantuan di kala ini, ” komen seorang lagi netizen.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
otak-otak, flat, warga emas, kos, kuih, tauke

Artikel Lain

Wanita berang mentua melahap kek perkahwinan